Ada orang kata marah ni tak elok, cepat tualah, orang tak respectla. Ade juga yang kata kalau takde sifat marah nanti ramai orang pijak kepala kita. So, camne? Marah ni bagus ke tak. Mungkin saye bole kongsi serba sedikit maklumat yang saya dapat pasal marah ni untuk panduan kita bersama.
Marah sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif. Namun sejauh manakah kebenarannya? Bukankah marah itu merupakan sifat semulajadi yang Allah kurniakan kepada manusia? Manusia tidak perlu belajar untuk menjadi marah kerana ianya lahir secara semulajadi.
Menyebut berkenaan marah Hamka di dalam bukunya yang berjudul Tasauf moden mengatakan bahawa kemarahan itu sesuatu yang perlu ada bagi manusia. kerana tanpa marah manusia akan hilang daya pertahanan. Kemarahan adalh menjadi sebab wujudnya sensitiviti terhadap sesuatu perkara. Tanpa sifat marah, maka seseorang manusia itu tidak ubah seperti makhluk yang tidak bernyawa.
Persoalannya ialah sejauh manakah kita sebagai umat Islam meletakkan perasaan marah itu sesuai pada tempat, waktu dan keadaannya supaya ianya mampu memeberi impaks yang positif buat diri kita? Marah yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia hendaklah dikawal oleh akal. Marah merupakan sifat yang timbul daripada nafsu. Oleh yang demikian, sekiranya akal tidak mengwal rasa marah, nafsu akan mengambil alih peranan kawalan secara total sehingga timbullah beermacam-macam perkara negatif antaranya dendam dan hasad dengki yang akhirnya boleh mengakibat kesan yang lebih buruk seperti membunuh.
Seharusnya kita sebagai manusia menjadikan akal sebagai raja kepada kerajaan diri yang terdiri daripada hati dan nafsu. Akal memainkan peranan penting agar keduanya dapat bergerak secara seimbang. Lantaran kepincangan pada akal dalam meneraju kerajaan dirilah yang akan menjadikan nafsu bertindak di luar batasan.
Dek kerana dahsyatnya bahana yang dibawa oleh perasaan marah tanpa kawalan, maka timbullah seperti yang dimisalkan oleh Hukama, “Orang yang marah adalah laksana gua batu yang terbakar, api terkurung di dalamnya dan angina masuk juga mengipasnya sehingga terkumpullah di dalam gua asap dan wap, yang menambahkan panas. Kedengaran api memakan kelilingnya, habis semuanya jadi bara. Meskipun diusahakan menyiram ,maka air yang disiram itu akhirnya akan menjadi laksana minyak tanah, maenambah maraknya api.”
Demikianlah ibaratnya andai kemarahan tidak dikawal sebelum menjalar.
Tatkala nafsu marah menguasai diri, manusia akan lupa kebenaran, pekak telinganya meskipun diajari bahkan adakalanya pengajaran yang diberikan itu menambah marahnya juga. Menurut Imam Ghazali, kemarahan manusia bermacam-macam. Sesetengahnya marah, lekas tenang dan lekas hilang. Sesetengahnya pula, lambat untuk marah dan lekas pula hilangnya. Yang terakhir itulah yang terpuji.
Lalu di sini timbul persoalan, bagaimanakah marah yang dibenarkan oleh Islam itu sendiri? Dalam hal ini, ahli tasauf Islam menerangkan bahawa marah itu terpuji hanya dalam dua perkara saja iaitu marah mempertahankan kehormatan dan marah mempertahankan agama.
Hamka, dalam perkara ini menerangkan bahawa orang yang tiada perasaan marah dalam hal mempertahankan agama, merupakan orang yang bersifat dayus. Disebabkan hal inilah Islam memuji orang yang cemburu di dalam menjaga isterinya.Cemburu yang juga merupakan ranting yang tumbuh daripada dahan marah mesti ada pada lelaki supaya nasab dan keturunannya terpelihara dan tidak rosak.
Dalam soal mempertahankan maruah agama pula, begitu juga halnya. Rasulullah S.A.W pernah memuji sahabatnya-sahabatnya kerana sifat mereka yang sangat keras terhadap orang yang ingkar terhadap suruhan Allah di samping sangat berkasih-kasihan di antara sesama mereka. Perkara ini dijelaskan di dalam sabda Rasulullah S.A.W, ‘’Yang sebaik-baik umatku ialah yang sikapnya keras di dalam menjalankan hukum agama.” Dalam menjalankan hukum Islam terhadap orang yang bersalah, di dalam Al-quran ada mengingatkan kita, “Jangan kenal kasihan di dalam menjalankan hukum Allah.”
Namun demikian, tidaklah bermakna ayat al-quran dan hadis tersebut dapat menjadi alasan bagi seseorang untuk mengnhukum sesuka hati golongan yang ingkar terhadap suruhan Allah. Dalam soal hukuman ini, islam telah pun meletakkan garis panduan yang perlu diikuti sebelum seseorang itu boleh dijatuhkan hukuman.
Bagi seorang muslim, kemarahan yang hadir itu hendaklah terbit dari hati yang ikhlas dalam merperjuangkan agama Allah supaya nafsu tidak mengambilalih peranan akal dalam mengendali sifat marah tersebut. Kata Hamka, “Marah kerana diri menutup keadilan dan marah kerana agama mencari keadilan”. Hujah ini turut dikuatkan lagi dalam sebuah kisah yang berlaku kepada Saidina Ali di dalam sebuah peperangan. Beliau yang hampir berjaya membunuh seorang lawannya dalam peperangan, melepaskan musuh tersebut semata-mata kerana musuh tersebut telah meludah ke mukanya sebelum sempat tikaman pedang Saidina Ali mengenai musuh tersebut. Tindakan beliau tersebut lantaran sifat beliau yang ikhlas dalam memperjuangkan agama Allah. Beliau bimbang andainya sewaktu membunuh musuh tersebut, rasa marah kerana dirinya diludah mengatasai rasa marah kerana agama.
Juteru, sifat marah yang ada pada diri kita ini hendaklah dikendalikan secara bersederhana supaya sifat marah ini dapat menjadi elemen pelengkap dalam mengecap kebahagiaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan Imam Ghazali. Kata beliau, “Kesempurnaan bahagia itu bergantung kepada tiga kekuatan iaitu kekuatan marah, kekuatan syahwat dan kekuatan ilmu. Ini bermakna marah dan syahwat yang tumbuh daripada dahan nafsu akan membuahkan kesan yang positif sekiranya akal dapat mengawal dan mengimbangi pengaruhnya di dalam diri seseorang.
Secara kesimpulannya sifat marah ini merupakan suatu anugerah daripada Allah kepada manusia. Tanpa sifat ini, manusia tidak mungkin mampu mendaki tangga bahagia. Jelaslah di sini bahawa sifat marah yang Allah kurniakan kepada manusia, bukan untuk kita terperosok dan tertawan di bawahnya sebaliknya sebagai kenderaan dalam menuju destinasi bahagia.