Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, February 1, 2011

PERMAI 2010: Yang Tersirat di Sebalik Yang Tersurat

Oleh: Najib 'Afif bin Arip

Berakhirnya Sebuah Penantian

Telah sekian lama kumenanti tibanya hari Program Eksplorasi Murabbi bersama Masayarakat Orang Asli 2010 (PERMAI ‘10). Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Akhirnya program ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada 5 hingga 7 November baru-baru ini. Program ini telah direncanakan sedari awal semester.

Program ini pada asalnya hanya ingin dilaksanakan secara sederhana. Pada peringkat awal, ia hanya melibatkan dua pihak iaitu USIM dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Namun, atas beberapa faktor, program ini menjadi program besar. Program ini merupakan program anjuran Program Pendidikan USIM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asl(JHEOA), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Hasan Bin Malek, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.


Program PERMAI ’10 ini adalah program yang dijalankan bagi memenuhi keperluan 4 subjek Program Pendidikan iaitu Sosiologi Dalam Pendidikan, Kaunseling Dalam Pendidikan, Falsafah Dalam Pendidikan dan Psikologi Dalam Pendidikan. Ini bermakna, program yang kami jalankan ini sebenarnya antara aspek yang diambil kira untuk penilaian markah peperiksaan kami. Sesungguhnya program ini telah mengajar kami banyak perakara khususnya yang melibatkan soal pengurusan program.


Tidak sedikit pengorbanan yang diperlukan untuk menjayakan progam PERMAI ini. Jadual pembelajaran kami yang padat hampir setiap hari menjadi antara cabaran utama dalam usaha menjayakan program tersebut. Tanpa gerak kerja yang terancang, sukar rasanya untuk kami melalui tempoh gerak kerja yang bermula sedari awal semester. Namun, Ahlamdulillah, berkat kerjasama semua dengan gerak kerja terancang yang diatur, tempoh tersebut berjaya dilalui. Hasil usaha kami selama ini membuahkan hasil. Benarlah firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39:


وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى

Maksudnya:
Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya

Ikhlaskan Hati

Tahniah dariku buat semua atas kejayaan ini. Sungguh pengorbanan kalian suatu yang amat mulia di sisi Allah SWT sekiranya didasari keikhlasan. Ingatlah Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh bukhari dan muslim yg bermaksud:

“Setiap amalan dimulakan dengan niat dan bagi setiap orang apa yang telah diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa hijrahnya karena dunia yang akan diperolehi atau wanita yang akan dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.”

Panjangkanah pandangan kita dalam melihat pelaksanaan sesutu program bukan sekadar untuk misi jangka pendek. Tetapi lebih dari itu, lihatlah misi jangka panjang sebagai sasaran kita. Itulah dia matlamat demi mencari keredhaan Allah SWT. Sesungguhnya dalam setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini, walaupun ianya bukan ibadah secara khusus, namun ia akan menjadi ibadah sekiranya kita niatkan demi mencari keredhaan Allah SWT

Ketahuilah bahawasanya andai perkara yang kita lakukan itu adalah kerana Allah, pasti perlakuan itu akan mampu mendekatkan hati kita dengan Allah SWT. Adakah kita dapat melihat ruang ibadah di sebalik program PERMAI atau apa jua program yang kita laksanakan? Marilah kita telusuri di manakah ruangnya ibadah pada pelaksanaan PERMAI itu sendiri.

Sahabatku, bukankah program PERMAI itu mampu membina kemahiran insaniah kita? Tahukah kita apakah perlunya kemahiran ini pada diri kita? Yang jelasnya kemahiran ini perlu ada pada seorang guru tapi untuk apa? Lihatlah ruang ibadah yang ada dengan kita memiliki kemahiran tersebut. Guru tidak sekadar seorang pendidik bahkan juga seorang pendakwah. Kemahiran ini gunanya kelak untuk kita membina dan membangunkan nilai manusiawai pada insan-insan di sekeliling kita. Senjata dakwah antaranya ialah lisan iaitu kemahiran komunikasi. Dengan kita menguasai kemahiran komunikasi sebenarnya kita sedang mempertajamkan senjata dakwah kita. Untuk apa kita berdakwah. Sudah tentulah untuk mengajak masyarakat bersama-sama mentatati Allah. Bukankah ini suatu ibadah dalam usaha mencari redha Allah.

Galilah lagi permata ibadah yang mampu kita dapati dalam program PERMAI, pasti akan kita temui lebih dari yang kunyatakan tadi. Alangkah ruginya sahabat-sahabatku anadai penat lelah kita dalam kehidupan di dunia ini, faedahnya tidak melangkaui hingga ke akhirat sana. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini terlalu singkat untuk kita mensia-siakan peluang beramal dan mendapat pahala yang tersedia di hadapan kita.

Kita Seorang Daie

PERMAI misinya menyemai. Menyemai benih keimanan di pohonan hati-hati manusia. Dengan erti kata lainnya kita sebenanya membawa misi dakwah kepada masyarakat orang asli.Inilah antara misi paling utama yang kita bawakan. Misi ini suatu ibadah buat kita.

Memperkatakan tentang dakwah adalah memperkatakan tentang Islam itu sendiri. Ini adalah kerana dakwah merupakan tuntutan dalam Islam. Islam meletakkan taraf pendakwah (daie) sebagai taraf yang amat mulia dengan firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحاً وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata:”Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”
(Fussilat:33)
Melalui dakwah dengan erti kata yang sebenar, sama ada secara individu atau berorganisasi , akan memastikan pembangunan meneyeluruh seseorang isnsan, masyarakat, negara dan tamadun. Yang dimaksudkan dengan pembangunan menyeluruh insan adalah pembangunan roh, qolb, nafs, akal dan jasad. Pembangunan diri ini hanya dapat dibangunkan sekiranya potensi insan dapat dibangunkan sepenuhnya.

Oleh yang demikian, sebagai seorang bakal pendidik sebenarnya persiapan kita bukan sahaja berlegar di sekitar akademik. Soal akhlak juga turut menjadi keutamaan kita. Sebagai seorang pendidik, akhlak pendidik tersebut merupakan perkara yang amat penting dalam proses pembentukan peribadi anak-anak muridnya. Hal ini kerana pendidik sebenarnya merupakan seorang pendakwah kerana peranannya dalam membentuk sahsiah anak muridnya, apatah lagi kita sebagai golongan yang bakal menjadi guru agama. Bagaimanakah seorang pendakwah itu mampu mendekatkan diri para mad`unya kepada Allah sekiranya keperibadiannya tidak mencerminkan cirri-ciri seorang pendakwah?.

Sekiranya kita singkap kembali sejarah kegemilangan Islam di Zaman Rasulullah SAW, maka kita akan dapati bahawa keperibadian Rasulullah SAW itu sendiri merupakan antara faktor kejayaan dakwah Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Islam. Justeru, persiapkanlah diri kita dengan ilmu yang secukupnya dan sertailah ilmu-ilmu tersebut dengan perlakuan akhlak yang mulia.