Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, February 25, 2010

Cintakah Kita kepada Nabi Muhammad SAW?

oleh: Najib `Afif b. Arip

12 Rabiulawal merupakan tarikh yang amat penting bagi umat Islam keseluruhannya yang mana telah lahir seorang kekasih Allah, pembawa rahmat ke seluruh alam. Itulah baginda Nabi Muhammad SAW. Tarikh keramat ini turut dikenali sebagai hari maulidurrasul. Menjadi kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia merayakan sambutan maulidurrasul saban tahun. Banyak acara yang akan diatur ketika sambutan tersebut. Antara upacara yang tidak asing lagi bagi umat Islam di Malaysia dalam meraikan sambutan tersebut adalah perarakan beramai-ramai sambil berselawat ke atas nabi Muhammad SAW. Semua ini dilakukan sebagai tanda kecintaan ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Persoalannya, apakah cukup untuk kita membuktikan kecintaan kita kepada baginda dengan sekadar menyambut perayaan Maulidurrasul?

Sabda Rasulullah SAW:

لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من ولده ووالده والناس أجمعين

Ertinya:

Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, orang tuanya dan manusia seluruhnya.

Sahabat-sahabat, apakah telah ada di hati kita perasaan cinta ini kepada baginda Nabi SAW?Cinta yang mengatasi cinta manusia seluruhnya? dan sekiranya kita mengaku kita cintakan Rasulullah SAW apakah sudah kita membuktikannya melalui amal dan perbuatan kita?

Sesungguhnya belumlah lagi dinamakan cinta sekiranya kita tidak menterjemahkan lafaz cinta itu melalui amal dan perbuatan kita. Cinta itu hanya akan terbukti dengan adanya pengorbanan. Pengorbanan melawan nafsu demi memenuhi tuntutan Islam dan meninggalkan larangannya selari dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Maka bukanlah kesungguhan kitadalam meraikan sambutan maulidurrasul itu yang menjadi ukuran kecintaan kita kepada baginda Nabi SAW. Apalah ertinya jika maulidurrasul dirai tetapi syariat diketepi. Namun apa yang utama ialah sejauh mana kita meneladani keperibadian yang ditonjolkan oleh baginda Nabi SAW dalam kehidupan kita.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرا

ُErtinya:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak.(al-ahzab:21)

Akhlak yang dibawa oleh Rasulullah SAW berjaya melembutkan hati manusia yang keras, menundukan sikap yang kasar, menimbulkan simpati orang ramai dan banyak lagi kesan positif yang terhasil dari tarikan akhlak nabi SAW. Ianya laksana besi baja yang mampu menarik jarum yang berserakan di sekitarnya.

Sememangnya antara tugas utama baginda Nabi SAW ialah mebina akhlak manusia. Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan " Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia". Maka bagi tujuan ini, langkah awal yang diambil oleh baginda ialah dengan menanamkan tauhid ke dalam jiwa manusia.Tauhid yang kukuh di jiwa insan ibarat sebuah pohon yang tegak berdiri dan sedap dipandang mata. Daunnya yang rendang dapat memberi teduhan tatkala matahari terik memancar. Padanya juga terdapat buah yang boleh dinikmati kelazatannya. Ianya berdiri tegap dan mantap serta tidak tergoncang apabila ditiup angin dek kerana akarnya yang tertancap menghunjam ke bumi.

Begitulah perumpamaan insan yang memiliki tauhid yang mantap. Manfaatnya bukan sahaja untuk dirinya bahkan orang lain juga turut mampu merasai manfaatnya. Sesungguhny tauhid merupakan asas dalam keimanan. Mana mungkin keimanan yang jitu mampu dilahirkan tanpa tauhid yang kukuh. Lihat saja pengertian iman itu sendiri ialah membenarkan dengan hati, mengaku dengan lisan dan membuktikannya dengan perbuatan. Semua ini memerlukan keyakinan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT yang mana kepercayaan dan keyakinan ini menjadi tunjang dalam pembinaan tauhid atau akidah.

Sebagai umat nabi Muhamad SAW, meskipun telah berkurun-kurun lamanya masa memisahkan kita dari zaman kehidupan baginda SAW, namun seharusnya Rasullah SAW terus hidup di hati kita. Kecintaan nabi Muhammad SAW terhadap umatnya begitu terserlah melalui kisah baginda dengan penduduk Thoif. Pertolongan yang diharapkan daripada penduduk Thoif bertukar sebaliknya. Rasulullah dihina dan dibaling dengan batu sehingga baginda cedera. Maka datanglah Malaikat Jibrail kepada baginda dengan arahan Allah SWT untuk membinasakan penduduk Thoif. Namun baginda masih lagi mahu memohon kepada Allah agar tidak dibinasakan penduduk Thoif bahkan memohon kepada Allah agar mereka diberikan petunjuk.

Renungkanlah betapa besarnya cinta baginda kepada umatnya hatta hingga ke saat akhir kehidupan baginda, sebelum ajal datang menjemput, baginda masih memikirkan tentang umatnya. Maka seharusnya kita membalas kecintaan baginda kepada kita dengan segenap upaya yang ada dan menjadikan baginda sebagai suri teladan dalam kehidupan kita. Persoalannya apakah cinta baginda terhadap kita terbalas? Apakah sudah kita menjadikan baginda sebagai suri teladan dalam kehidupan kita? Jawapannya ada pada hati kita. Fikir-fikirkanlah. Wallaua'lam