Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, August 2, 2012

Ramadhan Bulan Istimewa



Kini kita telah pun berada dalam penghulu segala bulan, iaitu bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat-sangat dinantikan oleh orang yang soleh. Penantian Ramadhan oleh baginda Nabi SAW jelas terpamer melalui doa baginda yang bermaksud:

“Ya Allah berikanlah berkah kepada kami dalam bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan”

Bulan Ramadhan merupakan musim pesta ibadah. Ini adalah musim di mana rahmat Allah mencurah-curah padanya. Kelebihan Ramadhan tergambar melalui hadis dari baginda Nabi SAW yang baginda sabdakan saban kali tibanya Ramadhan. Sabda baginda,

“Telah datang kepadamu Ramadhan, bulan penuh berkah dan Allah telah mewajibkan atas kalian untuk berpuasa, pintu syurga akan dibuka selebar-lebar, dan pintu neraka akan ditutup, para syaitan akan dibelenggu, ada sebuah malam yang lebih utama dibandingkan seribu bulan, barangsiapa yang diharamkan dari (pahala) Ramadhan, maka ia diharamkan (dari pahala kebaikan lainnya”

Menyedari kelebihan Ramadhan, maka akan bergembiralah orang yang beriman untuk menyambut ketibaannya, sedangkan orang yang kotor  jiwanya akan merasa gundah. Bagi mereka ini adalah bulan penyeksaan diri, terpaksa berlapar dan dahaga. Golongan seperti ini ada juga yang turut mampu berpuasa selama sebulan. Namun puasa mereka tidak lebih dari sekadar menahan lapar dan dahaga tanpa mampu meraih kelebihannya. Amat rugilah mereka yang tidak dapat menghayati kelebihan yang terkandung dalam Ramadhan.

Selain anugerah ibadah puasa yang terkandung di dalam Ramadhan, Allah juga menganugerahkan malam lailatul Qadr yang mana pada malam tersebut merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan. Ibadah yang dilakukan pada malam tersebut akan berganda ganjarannya bagaikan ganjaran amal ibadah yang dilakukan sekian lama, melebihi seribu bulan. Namun lailatul Qadr ini bukan semua yang mampu memilikinya, hanya mereka terpilih sahaja iaitu orang-orang yang akrab dengan Allah. Istimewanya bulan Ramadhan juga dapat dilihat dengan adanya ibadah Solat Sunat Tarawikh. Ibadah ini merupakan ibadah yang khusus untuk bulan Ramadhan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain

Ibadah Puasa di bulan Ramadhan

Berpuasa di bulan Ramadhan termasuk dalam rukun Islam. Ini bermakna ibadah puasa termasuk dalam ibadah pokok yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Kewajiban berpuasa telah termaktub dalam al-Quran melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Yang bermaksud:

“Wahai sekalian orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas umat-umat yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”
                                                                                                            (al-Baqarah:183)

Ayat di atas yang diakhiri dengan maksud “mudah-mudahan kamu bertaqwa” memberi penjelasan kepada kita bahawa ibadah puasa mampu menjadikan seseorang itu bertaqwa dan inilah tujuan sebenar ibadah puasa. Namun tidak semua orang mampu menjadi oaring yang bertaqwa dengan berpuasa. Justeru, puasa bagaimanakah yang mampu melahirkan insan bertaqwa?
Nabi SAW pernah bersabda:

ليس الصيام من الطعام والشراب إنما الصيام من اللغو والرفث
Maksudnya:

“Bukanlah puasa itu sekadar meninggalkan makan dan minum, namun puasa itu adalah menahan dari perbuatan keji dan sia-sia”
                                                                         (HR: Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Berdasarkan sabda nabi SAW tersebut, dapat kita fahami bahawasanya puasa yang hakiki itu ialah puasa yang turut meninggalkan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa dan juga perkara yang tidak berfaedah. Maka sudah pastilah puasa yang sebeginilah yang akan mampu melahirkan sifat ketaqwaan dalam diri manusia. Namun realitinya masih ramai manusia yang terus bergelumang dengan dosa dan perkara yang tidak berfaedah meskipun di bulan Ramadhan. Amat menyedihkan bilamana ada dalam kalangan umat Islam yang tidak terkesan untuk melakukan perubahan di bulan mulia ini bahkan perbuatan dosa yang dilakukan sebelum Ramadhan tetap diteruskan di bulan yang mulia ini.

Betapa ruginya kita jika bulan ini yang Allah permudahkan penambahan pahala dan penghapusan dosa tidak kita gunakan sebaik mungkin untk menambah pahala dan menghapus dosa. Nabi SAW pernah bersabda:

رغم أنف رجل دخل عليه رمضان ثم انسلخ قبل أن يغفر له

 Yang maksudnya:

“Betapa hina seseorang jika Ramadhan datang, kemudian pergi sedangkan ia belum diberi ampunan”
(HR: at-Tirmidzi)

Amaran keras dari baginda Nabi SAW ini harus kita ingati. Kita harus bermuhasabah mengenang diri sama ada sudah bertaubatkah kita atau belum? Keampunan dari Allah harus kita usahakan agar bila berlalu Ramadhan kelak kita menjadi orang yang lebih baik dari sebelumnya. Seharusnya kita khuatir jika di bulan yang Allah bukakan rahmatNYA dengan luas kita tidak mampu untuk meraih keampunan apatah bila kita berada di bulan yang lain.
Sesungguhnya Allah menyediakan ganjaran yang sangat besar terhadap mereka yang berpuasa dengan sebenar-benar puasa. Dalam sebuah hadis dari abu hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Yang maksudnya:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu”
                                                                                                            (Muttafaq Alaih)
\
Alangkah beruntungnya kita jika diampunkan segala dosa-dosa kita yang lalu. Namun untuk meraihnya memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dari diri kita. Puasa yang dilakukan bukan sekadar puasa yang menahan lapar dan dahaga serta perkara yang boleh membatalkan puasa, tetapi lebih dari itu kita juga turut menahan diri dari melakukan perbuatan dosa.

Malam yang Lebih Baik dari Seribu Bulan

Allah SWT memuliakan Ramadhan dengan menganugerahkan Lailatul Qadr padanya. Lailatul al-Qadr merupakan malam yang amat berkat. Lailatul Qadr menjadi buruan yang sangat diimpikan oleh para solehin. Perihal kelebihan Lailatul Qadr telah dinyatakan oleh Allah SWT melalu surah al-Qadr:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (٢) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ (٤ )سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (٥)

Maksudnya:

“Kami telah menurunkan Quran pada suatu malam yang mulia. Tahukah kamu apakah malam yang mulia itu? Malam itu adalah lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, malaikat-malaikat dan Jibrail turun ke bumi dengan izin Allah bagi mengatur segala urusa. Malam itu penuh dengan kesejahteraan, sehingga terbit fajar.”
Al-Quran menegaskan satu malam ketika lailatul Qadr lebih baik dari seribu bulan atau jika dikira secara tahun tempohnya dalam lebih kurang 83 tahun 4 bulan. Ini bermakna ibadah atau amalan kebaikan yang dilakukan pada malam tersebut akan memperolehi ganjaran berganda yang banyaknya sehingga melebihi amalan atau ibadah yang dilakukan melebihi 83 tahun 4 bulan.

Bayangkanlah betapa hebatnya tawaran yang Allah berikan buat hamba-hambaNYA. Tempoh 83 tahun adalah suatu tempoh usia yang tidak ramai umat Nabi Muhammad SAW melepasinya. Namun demikian, dengan rahmat Allah, dihadiahkan kepada kita lailatul Qadr sebagai jalan alternative untuk kita memperoleh ganjaran amalan untuk tempoh lebih 83 tahun meskipun jika usia kita tidak mencecah hingga ke tempoh selama itu. Dengan tawaran sehebat ini dari Allah SWT untuk satu lailatul Qadr, bayangkanlah betapa banyaknya ganjaran yang kita perolehi andainya dalam usia kehidupan kita, kita berjaya memperolehi kelebihan Lailatul Qadr lebih dari sekali apatah lagi jika berkali-kali.

Justeru kita harus menanam azam untuk berjaya meraih kelebihan lailatul Qadr. Maka untuk meraihnya, timbul persoalan bilakah berlaku malam yang mulia tersebut? Pelbagai pandangan ulama’ berkenaan hari berlakunya lailatu Qadr dalam bulan Ramadhan. Namun, antara pandangan yang kuat ialah berlakunya Lailatul Qadr antara malam-malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan.

Hakikatnya Lailatul Qadr itu hanya Allah SWT yang maha mengetahui masa berlakunya. Menyedari hakikat ini, andai kita tidak mahu terlepas menikmati kelebihan malam tersebut maka berusahalah untuk memenuhi malam-malam ramadhan dengan amal ibadah. Sesungguhnya kerahsiaan Lailatul Qadr itu merupakan suatu hikmah. Ianya mampu mendorong manusia untuk sentiasa menghidupkan setiap malam di bulan Ramadhan dengan amal ibadah.

Tuesday, July 10, 2012

KEMENANGAN DR. MORSI, KEMENANGAN YANG DINANTI



Pada 24 Jun yang lalu, Dr Morsi calon Presiden Mesir dari Parti Kebebasan dan Keadilan kelolaan Ikhwanul Muslimin secara rasminya telah diumumkan sebagai Presiden Mesir pertama pasca Revolusi Mesir 2011 oleh Suruhanjaya Pilihanraya Mesir. Dr. Morsi mencatat kemenangan 51.7 peratus undi mengalahkan lawannya Ahmad Syafiq dengan 48.3 peratus undi. 

Kemenangan tersebut disambut dengan rasa penuh kesyukuran oleh sebahagian besar rakyat Mesir yang sudah lama mengimpikan pemerintahan baru yang bebas dari cengkaman diktator. Mengulas kemenangan Dr. Morsi, Perdana Menteri Palestin mengungkapkan kata-kata yang mendalam maksudnya. Ungkapnya "Ajaib sungguh penjara Mesir. Nabi Yusuf masuk penjara dan keluar darinya menjadi Raja Mesir. Dr. Morsi masuk penjara dan keluar darinya menjadi presiden."  Sesungguhnya tiada yang dapat mengatasi perencanaan Allah. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 yang bermaksud:

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan Yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Dr. Morsi dan Ikhwanul Muslimin

Kemenangan Dr. Morsi bukanlah kemenangan yang datang bergolek tetapi kemenagan yang dibayar dengan keperitan dan pengorbanan bahkan melibatkan pengorbanan nyawa. Kemenangan Dr. Morsi merupakan kemenangan ikhwanul muslimin. Dr. Morsi merupakan antara pendakwah yang bergiat aktif dalam jemaah Ikhwanul Muslimin. Mengikut jejak langkah tokoh-tokoh ikhwanul muslimin yang terdahulu, Dr Morsi turut pernah dipenjarakan di bawah rejim mubarak. Meskipun jasadnya dipenjarakan, namun semangat perjuangnya sama sekali tidak mampu dipenjarakan dan kini orang yang bertanggungjawab memenjarakannya pula dipenjarakan. 

Menelusuri perjuangan ikhwanul muslimin, ramai pemimpinya yang telah dibunuh dengan kejam, termasuklah pengasasnya iaitu Hasan al-Banna. Sebahagian yang lain pula ada yang dipenjarakan. Meskipun pelbagai rintangan yang dihadapi, namun ianya tidak pernah melenyapkan semangat perjuangan ahli gerakan tersebut yang cintakan kebenaran. Cabaran demi cabaran yang menambahkan lagi pengaruh Ikhwanul Muslimin, bukan sahaja di Mesir bahkan di seluruh pelusuk dunia.

Ikhwanul Muslimin mendapat tentangan dari pihak kerajaan Mesir seawal penubuhannya pada tahun 1927 oleh Hassan al-Banna kerana telah menyemarakkan gerakan tajdid atau perubahan dalam kalangan masyarakat. Aliran pemikiran yang menyeru ke arah mendokong prinsip islam itu telah mendapat tentangan yang hebat dari kalangan pemimpin mesir dan kebanyakan negara arab. Pemimpin-pemimpin tersebut merasa tercabar dengan aliran pemikiran yang disemarakkan oleh ikhwanul muslimin kerana aliran pemikiran tersebut bercanggah dengan aliran pemikiran sekular yang mereka anuti.


Perjuangan Ikwanul Muslimin Perjuangan Bersama

Cabaran menegakkan prinsip Islam tidak terbeban kepada jemaah ikhwanul Muslimin semata bahkan ianya prinsip yang harus didokong oleh umat islam keseluruhannya. Islam diturunkan untuk dipraktikkan secara keseluruhannya, bukan hanya dipegang ketika melakukan ibadat khusus semata-mata. Ada dalam kalangan masyarakat yang seolah-oleh mengannggap islam itu tidak lebih dari ritual agama semata-mata, lalu lahirlah golongan yang mengaku islam dalam masa yang sama terlibat dengan gejala maksiat seperti rasuah, penzinaan, penipuan.

Meskipun gerakan ikhwanul muslimin berpusat di mesir namun ianya bukan alasan untuk kita tidak menyokong dan mengenepikan prinsip perjuangan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Semangat perjuangan itu harus diserapkan ke dalam diri kita agar kita sentiasa merasa cinta kepada kebenaran dan benci kepada kemungkaran dan kezaliman. Setiap kita berperanan sebagai da'i atau penyeru kebenaran serta pencegah kemungkaran. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud:

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.

Apakah kita tidak mahu menjadi umat yang terbaik, yang sentiasa berperanan dalam menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran? Pilihan menjadi umat terbaik terletak di tangan kita. Hakikatnya, perjuanagan dalam menentang kebatilan itu perjuangan yang sentiasa berterusan dan bukan bersifat 'on off'. Ingatlah bahawa syaitan itu tidak pernah rehat dari menyesatkan bani adam dan sememangnya ia menjadi janji yang telah dimeterai oleh Iblis kepada Allah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 16 hinggga 17 yang bermaksud:

Iblis menjawab: ‘Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.

Alangkah ruginya jika kita tergolong dalam kalangan mereka yang tidak bersyukur. Sesungguhnya orang yang tidak bersyukur itu ialah mereka yang tidak taat kepada suruhan Allah dan mengerjakan larangan Allah. Menyedari hakikat ini, ayuh kita terus berjuang mengalahkan kebatilan sama ada kebatilan yang datang dari bisikan syaitan mahupun kebatilan yang dicetuskan oleh manusia. Kita semarakkan lagi usaha penyebaran islam dalam pembentukan akhlak dan pemikiran.

Saturday, June 23, 2012

TEMPUHILAH KEHIDUPAN DENGAN BAHAGIA


Sedang aku duduk sendirian, teringat aku keluhan seorang rakan padaku  "Penatnya, tiap-tiap hari nak kena datang sekolah, pastu nak kena berdepan dengan kerenah budak-budak yang tak mendengar kata. Dahlah tugasan kat sekolah macam-macam, kena buat itulah, kena buat inilah, letih rasa badan aku ni. Tiap-tiap pagi rase macam tak bersemangat je nak pegi keje"  Kasihan rasa hatiku dengan keluhan dari rakanku itu. Seolah-olah dia tidak bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya.

Meniti hari yang dilalui dengan rasa yang membosankan menjadikan hidup suram dan hilang keceriaan. Sebagai hamba Allah ujian akan terus datang kepada kita selagi kita masih bernyawa kerana hidup itu sendiri adalah suatu ujian. Alangkah ruginya jika hidup kita yang singkat ini dipenuhi kesuraman dan kesedihan. Bayangkanlah sekiranya seorang guru yang telah memulakan kariernya semenjak umur 24 tahun dan bersara ketika umurnya 56 tahun, jika dia tidak bahagia dengan pekerjaannya, maka lebih 30 tahun hatinya telah menderita. Tidakkah ini merupakan suatu pembaziran masa. Seharusnya sebagai seorang muslim, apa jua keadaan yang menimpa, bahagia tetap dirasa. Sabda Nabi SAW, "Keadaan orang mukmin itu sangat menakjubkan, kerana segala urusan yang menimpanya dianggap baik.Tetapi keadaan ini hanya berlaku kepada orang yang beriman. Iaitu apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur, kerana itu lebih baik untuknya. Dan apabila dilanda kesusahan dia bersabar, kerana itu lebih baik untuknya"

Perkara baik yang menimpa seseorang sudah tentulah menimbulkan rasa bahagia dan jika perkara buruk yang menimpa mampu dianggap baik buatnya, maka sebagaimana perkara baik mampu memberi kebahagiaan, sudah tentulah perkara buruk juga mampu memberi kabahagiaan buatnya. Namun, mampukah kita menjadi orang yang sebegini? Berdasarkan sabda Nabi SAW, yang berkeadaan demikian adalah orang mukmin iaitu orang yang mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah.

Orang yang mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah sudah tentu dia seorang yang bersyukur. Sifat syukur mampu memberi kebahagiaan di hati meskipun hidup dalam kepayahan. Dalam situasi berhadapan dengan suasana kerja yang membosankan, kenangkanlah betapa ramai insan di luar sana menganggur mengharapkan pekerjaan? Betapa ramai yang hidupnya kais pagi makan pagi kais petang makan petang? Tatkala kita menyesali kerja yang dipilih dan berasa bosan dengan pekerjaan kita, ada insan-insan lain yang sedang meratapi nasibnya yang sukar mendapat pekerjaan. Lantas, apakah wajar kita tidak bersyukur dan menghargai pemberian Allah buat kita. Bersyukurlah dengan apa yang ada, insyaAllah kita akan menjadi orang yang lebih menghargai, seterusnya memberi motivasi untk melalui hari dengan rasa bahagia dan ceria.

Selain itu, orang beriman juga adalah orang yang mempunyai daya kesabaran yang tinggi. Dr. Aidh Abdullah al-Qarni mengulas tetntang sabar, "Sabar adalah benteng kukuh yang tidak dapat dikepung oleh tentera dan tidak dapat dimasuki musuh. Sabar juga adalah benteng kuat yang tidak dapat ditembusi anak panah. Manusia yang digoncang dengan krisis dan ujian, ubatnya adalah sabar. Kesabaran yang baik adalah menanggung musibah dengan diam, menerima musibah dengan tenang, dan menyambutnnya dengan keredhaan." Sabar mampu menjadi pencetus motivasi kepada seseorang agar idak berputus asa dan bersemangat dalam melakukan tugasan hidup. Orang yang sabar adalah orang yang sentiasa besangka baik pada Allah. Baginya ketentuan Allah itu adalah yang terbaik buatnya. Dalam konteks pekerjaan, sabar mampu mencegah sifat putus asa hinggap di hati kerana dia yakin kesabarannya dalam melaksanakan tugasan ada ganjaran di sisi Allah. Hal ini akan menjadi motivasi buatnya untuk melakukan tugasan dengan rasa bahagia dan ceria.

Keikhlasan juga mampu membawa kebahagian dan keceriaan dalam kehidupan yang dilalui meskipun pelbagai dugaan dan cabaran yang mendatang. Ikhlas adalah motivasi yang sangat menakjubkan. Keikhlasan menyebabkan manusia melakukan kerja bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan balasan. Kerja yang dilakukannya didorong oleh rasa kehambaan demi mencari redha Allah. Alangkah indah keikhlasan yang bertunjang di hati, seorang guru takkan putus asa mendidik muridnya, seorang pejuang takkan gentar mati demi mepertahankan agamanya, seorang pemimpin sanggup mengabaikan kesenangan sendiri demi rakyatnya. Orang yang ikhlas sentiasa bahagia dengan memberi biar pun dirinya dalam kepayahan dan derita. Orang yang ikhlas masih mampu tersenyum meskipun hidup dilanda dugaan. Dari mana datangnya kekuatan tersebut? Orang yang ikhlas menyedari hakikat pekerjaan yang dilakukannya. Sekiranya dia ikhlas melaksanakan tugasan, baginya ganjaran dari Allah atas kepayahan yang dilalui. Namun jika sebaliknya hanya penat yang diperolehi.

Ketahuilah kebahagiaan itu bergantung pada diri kita. Sebagai hamba Allah yang lemah, kita tidak mampu untuk sentiasa hidup dalam situasi yang kita inginkan. Masalah akan sentiasa ada. Justeru mereka yang berjaya bukanlah mereka yang tidak mempunyai masalah, tetapi mereka adalah orang yang mampu mengurus masalah dengan baik. Hakikatnya, untuk menjadi pengurus masalah yang baik memerlukan kesyukuran, kesabaran dan keikhlasan yang sentiasa bertunjang di hati. 

Sunday, June 3, 2012

Belajar Dari Lebah





Seperti yang kita sedia maklum, lebah membawa banyak manfaat kepada manusia dari sudut kesihatan. Namun, harus kita sedari juga bahawasanya manfaat lebah itu tidak terbatas sekadar hal yang berkaitan kesihatan bahkan ianya memberi manfaat dalam soal pembentukan akhlak manusia. Jika tidak masakan Rasulullah SAW bersabda " Perumpamaan orang yang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosakkan atau mematahkan (yang dihinggapinya" (Riwayat Ahmad, al-Hakim dan al-Bazzar)

Mari kita bersama merenung sejenak antara resmi lebah yang boleh kita teladani untuk diterjemahkan dalam konteks kehidupan kita:-
  • Lebah tidak memilih tempat yang kotor untuk bersarang, sebaliknya sering menjadikan dahan-dahan pokok sebagai tempat pembinaan sarang. Persekitaran yang  bersih menjamin kebersihan madu yang dihasilkan oleh lebah.
  • Lebah tidak mendatangkan mudarat terhadap dahan tempat pembinaan sarangnya. Tidak seperti tumbuhan parasit yang akan memberi mudarat terhadap tempat yang ditumpanginya.
  • Lebah hanya mengambil dan mengeluarkan yang baik sahaja. Makanannya ialah pati bunga (madu) yang dipilih dan dikeluarkan untuk kegunaan. Madu ialah makanan yang sangat tinggi khasiatnya. Inputnya yang baik dan outputnya juga baik.
Inilah antara resminya lebah yang boleh kita teladani untuk diterjemahkan dalam konteks kehidupan kita sebagai manusia. Sebagaimana lebah yang tidak memilih tempat yang kotor untuk bersarang, manusia pula memerlukan biah solehah dalam dalam proses pembinaan keluarga yang diredhai Allah. Sebuah hadis nabi pernah menukilkan kisah seorang pemuda yang telah membunuh 100 orang yang ingin bertaubat telah diarahkan oleh seorang alim untuk berpindah dari tempat tinggalnya yang dipenuhi maksiat ke tempat orang-orang beramal dengan amalan soleh. Sudah tentulah arahan si alim tadi kerana pentingnya faktor persekitaran dalam membentuk keperibadian seseorang.

Meskipun lebah menumpang dahan untuk bersarang, hadirnya tidak memudaratkan dahan yang ditumpanginya. Dalam konteks kita sebagai seorang manusia janganlah menyusahkan hidup orang lain dengan bawaan akhlak buruk dari kita dan janganlah sekali-kali kita menjadi penyebab kepada mudaratnya hidup orang lain. Ingatlah sabda nabi SAW yang bermaksud "Takutlah kamu akan doa seorang yang dizalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah". (H.R. Bukhari dan Muslim)


Dalam kehidupan kita, halal haram perbuatan harus diambil kira dan setiap perlakuan yang dilakukan mestilah selari dengan syariat. Selain itu jadilah orang yang mampu memberi manfaat kepada manusia lain. Contohi lebah yang sentiasa mengambil yang baik buat dirinya serta menghasilkan madu yang mampu memberi manfaat kepada makhluk yang lain.





Saturday, June 2, 2012

BINGKISAN MEMORI



Sekian lama aku tidak mencoretkan sebarang nukilan. Namun hari ini kuhadirkan coretan buat pertama kali stelah sekian lama kumenyepi. Hadirku kali ini bersama azam untuk mengaktifkan diriku dalam bidang penulisan secara istiqamah. Kesibukan yang melanda menjarakkan diriku ini dari dunia penulisan. Namun sampai bilakah kesibukan mahu dijadikan alasan, sedangkan masa hadapan yang hadir belum tentu sentiasa dalam kelapangan? Maka kuhadirkan coretan kali ini bersama bingkisan memori buat tatapan bersama.


Lebih setahun aku menyepikan diri dari sebarang penulisan. Dalam tempoh setahun lebih pelbagai pengalaman telah aku tempuhi dan ianya berbeza berbanding pengalaman ketika zaman bergelar pelajar. Kini aku telah pun bergelar seorang guru. Aku baru  menamatkan perkhidmatan sebagai guru interim di Sekolah Menengah Kebangsan Dato' Hj Mohd Taib lebih kurang dua minggu yang sudah. Guru interim merupakan jawatan berstatus sementara yang telah diwujudkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun ini. Kini aku telah pun mendapat tawaran dari KPM untuk perkhidmatan berstatus tetap sebagai guru di sarawak dan akan berangkat ke sana insyaAllah pada 11 jun ini.



Tanggungjawab sebagai seorang guru bukanlah mudah dan tidak boleh dipandang ringan. Guru berperanan dalam mencorakkan masayarakat pada masa akan datang. Hal ini kerana murid-murid yang dididik merupakan generasi pelapis untuk masa akan datang. Kegagalan guru dalam mendidik muri-muridnya memberi implikasi yang besar terhadap sistem sosial masyarakat pada masa akan datang. Menyedari peranan tersebut, setiap guru seharusnya bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugasnya. 



Dalam tempoh beberapa bulan setelah bergelar sebagai seorang guru, pelbagai pengalaman yang telah aku lalui. Antara perkara penting yang aku pelajari dari pengalaman tersebut ialah akan peri pentingnya sifat kesabaran yang perlu ada pada seorang guru. Berhadapan dengan murid yang pelbagai ragam dan sifat menuntut seorang guru mempunyai kesabaran yang tinggi. Tanpa kesabaran, guru akan berputus asa dalam mendidik anak muridnya yang seterusnya akan membawa kepada pengabaian kepada murid-murid tertentu yang dirasakan oleh guru tersebut tiada harapan untuk berubah. Sebagai guru peranan kita adalah untuk terus pendidik tanpa rasa jemu dan natijahnya kita serahkan kepada Allah.

Sungguh indah pengalaman menjadi guru. Perasaan marah, lucu, geram dan kasihan silih berganti tatkala aku berdepan dengan murid yang pelbagai ragam. Ada yang mudah mendengar kata, ada yang susah mendengar kata, ada yang bersemangat untuk belajar dan ada pula malas belajar. Namun, ape jua kerenah dan ragam mereka, sebagai guru aku tetap menyayangi mereka. Sering aku katakan pada mereka, meskipun aku seorang guru, namun aku jua adalah abang mereka dari sudut pesaudaraan Islam dan aku menyayangi mereka. Aku ingin mereka tahu tatkala aku memarahi mereka bukanlah kerana membenci tetapi kerana sayang. Kerana sayangkan mereka, maka aku berusaha membetulkan tingkah laku mereka dan adakalanya ia memerlukan ketegasan dalam usaha aku mendidik mereka.

Lebih kurang tiga bulan aku berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Hj. Mohd Taib. Terasa begitu pantas masa berlalu. Buat murid-muridku khususnya dari kelas 3 Arif, 4 Amanah, 5 Amanah dan 5 Setia, maaf dipohon andai dalam usaha mendidik kalian ada ustaz menyebabkan kalian terasa. Namun ketahuilah, sebagai seorang guru, ustaz menyayangi kalian dan ingin kalian menjadi orang yang berjaya di dunia dan yang terlebih penting berjaya akhirat. Terima kasih juga buat kalian semua yang telah menghadiahkan pengalaman buat ustaz. Menjadi guru kalian merupakan pengalaman berharga yang tersimpan di dalam lipatan memori ustaz..


HARAPANKU

Adik-adikku
Cintailah Allah
Walau di mana dikau berada
Beserahlah kepadaNYA
Beribadahlah dengan keikhlasan
Jauhi maksiat dan kemungkaran

Adik-adikku
Ingatilah Rasul selalu
Basahi lidahmu dengan selawat
Jadikan sunnahnya kenderaanmu
Menyusuri ranjau kehidupan duniawi
Agar tidak terpesong haluan diri

Wahai adik-adikku
Kasihilah insan di sekelilingmu
Kasihkan insan ikhlas di hati
Bersama iman menghiasi
Akan bercahaya kasih sejati

Bangkitlah adik-adikku
Dari diulit lena dan mimpi
Teruskanlah perjuangan
Kembalikan kegemilangan Islam
Jangan mudah kau terpedaya
Dengan helah dunia yang fana

Marilah adik-adikku
Bersama kita tegakkan agama
Sepenuh jiwa dan juga raga
Solat ditunai diabai jangan
Jadikan malu pakaian diri
Taqwa menjadi hiasan diri
Kan hadir kebaikan hadiah buatmu

Terima kasih adik-adikku
Jasa kalian kuingat selalu
Bukan intan permata kujanjikan
Bukan emas selautan kutawarkan

Ketahuilah adik-adikku
Ganjaran daripadaNYA sedia menanti
Kiranya ikhlas bertunjang di hati
Sedarilah adik-adikku
Pengalaman diri tak mampu dibeli
Walau dilimpah kemewahan duniawi

Ya Allah Ya tuhan kami
Kami pohon padaMU
Terangilah hati kami agar mampu majukan diri
Menjadi insan pilihanMU
Terlepas dari azab seksaMU
Kuharap kalian mendengar suara hatiku
Yang kunukilkan buat kalian
Agar tenang pemergian ini
Moga ukhwah terjalin bertaut keimanan hakiki
Inilah harapanku...


Tuesday, February 1, 2011

PERMAI 2010: Yang Tersirat di Sebalik Yang Tersurat

Oleh: Najib 'Afif bin Arip

Berakhirnya Sebuah Penantian

Telah sekian lama kumenanti tibanya hari Program Eksplorasi Murabbi bersama Masayarakat Orang Asli 2010 (PERMAI ‘10). Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Akhirnya program ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada 5 hingga 7 November baru-baru ini. Program ini telah direncanakan sedari awal semester.

Program ini pada asalnya hanya ingin dilaksanakan secara sederhana. Pada peringkat awal, ia hanya melibatkan dua pihak iaitu USIM dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Namun, atas beberapa faktor, program ini menjadi program besar. Program ini merupakan program anjuran Program Pendidikan USIM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asl(JHEOA), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Hasan Bin Malek, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.


Program PERMAI ’10 ini adalah program yang dijalankan bagi memenuhi keperluan 4 subjek Program Pendidikan iaitu Sosiologi Dalam Pendidikan, Kaunseling Dalam Pendidikan, Falsafah Dalam Pendidikan dan Psikologi Dalam Pendidikan. Ini bermakna, program yang kami jalankan ini sebenarnya antara aspek yang diambil kira untuk penilaian markah peperiksaan kami. Sesungguhnya program ini telah mengajar kami banyak perakara khususnya yang melibatkan soal pengurusan program.


Tidak sedikit pengorbanan yang diperlukan untuk menjayakan progam PERMAI ini. Jadual pembelajaran kami yang padat hampir setiap hari menjadi antara cabaran utama dalam usaha menjayakan program tersebut. Tanpa gerak kerja yang terancang, sukar rasanya untuk kami melalui tempoh gerak kerja yang bermula sedari awal semester. Namun, Ahlamdulillah, berkat kerjasama semua dengan gerak kerja terancang yang diatur, tempoh tersebut berjaya dilalui. Hasil usaha kami selama ini membuahkan hasil. Benarlah firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39:


وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى

Maksudnya:
Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya

Ikhlaskan Hati

Tahniah dariku buat semua atas kejayaan ini. Sungguh pengorbanan kalian suatu yang amat mulia di sisi Allah SWT sekiranya didasari keikhlasan. Ingatlah Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh bukhari dan muslim yg bermaksud:

“Setiap amalan dimulakan dengan niat dan bagi setiap orang apa yang telah diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa hijrahnya karena dunia yang akan diperolehi atau wanita yang akan dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.”

Panjangkanah pandangan kita dalam melihat pelaksanaan sesutu program bukan sekadar untuk misi jangka pendek. Tetapi lebih dari itu, lihatlah misi jangka panjang sebagai sasaran kita. Itulah dia matlamat demi mencari keredhaan Allah SWT. Sesungguhnya dalam setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini, walaupun ianya bukan ibadah secara khusus, namun ia akan menjadi ibadah sekiranya kita niatkan demi mencari keredhaan Allah SWT

Ketahuilah bahawasanya andai perkara yang kita lakukan itu adalah kerana Allah, pasti perlakuan itu akan mampu mendekatkan hati kita dengan Allah SWT. Adakah kita dapat melihat ruang ibadah di sebalik program PERMAI atau apa jua program yang kita laksanakan? Marilah kita telusuri di manakah ruangnya ibadah pada pelaksanaan PERMAI itu sendiri.

Sahabatku, bukankah program PERMAI itu mampu membina kemahiran insaniah kita? Tahukah kita apakah perlunya kemahiran ini pada diri kita? Yang jelasnya kemahiran ini perlu ada pada seorang guru tapi untuk apa? Lihatlah ruang ibadah yang ada dengan kita memiliki kemahiran tersebut. Guru tidak sekadar seorang pendidik bahkan juga seorang pendakwah. Kemahiran ini gunanya kelak untuk kita membina dan membangunkan nilai manusiawai pada insan-insan di sekeliling kita. Senjata dakwah antaranya ialah lisan iaitu kemahiran komunikasi. Dengan kita menguasai kemahiran komunikasi sebenarnya kita sedang mempertajamkan senjata dakwah kita. Untuk apa kita berdakwah. Sudah tentulah untuk mengajak masyarakat bersama-sama mentatati Allah. Bukankah ini suatu ibadah dalam usaha mencari redha Allah.

Galilah lagi permata ibadah yang mampu kita dapati dalam program PERMAI, pasti akan kita temui lebih dari yang kunyatakan tadi. Alangkah ruginya sahabat-sahabatku anadai penat lelah kita dalam kehidupan di dunia ini, faedahnya tidak melangkaui hingga ke akhirat sana. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini terlalu singkat untuk kita mensia-siakan peluang beramal dan mendapat pahala yang tersedia di hadapan kita.

Kita Seorang Daie

PERMAI misinya menyemai. Menyemai benih keimanan di pohonan hati-hati manusia. Dengan erti kata lainnya kita sebenanya membawa misi dakwah kepada masyarakat orang asli.Inilah antara misi paling utama yang kita bawakan. Misi ini suatu ibadah buat kita.

Memperkatakan tentang dakwah adalah memperkatakan tentang Islam itu sendiri. Ini adalah kerana dakwah merupakan tuntutan dalam Islam. Islam meletakkan taraf pendakwah (daie) sebagai taraf yang amat mulia dengan firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحاً وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata:”Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”
(Fussilat:33)
Melalui dakwah dengan erti kata yang sebenar, sama ada secara individu atau berorganisasi , akan memastikan pembangunan meneyeluruh seseorang isnsan, masyarakat, negara dan tamadun. Yang dimaksudkan dengan pembangunan menyeluruh insan adalah pembangunan roh, qolb, nafs, akal dan jasad. Pembangunan diri ini hanya dapat dibangunkan sekiranya potensi insan dapat dibangunkan sepenuhnya.

Oleh yang demikian, sebagai seorang bakal pendidik sebenarnya persiapan kita bukan sahaja berlegar di sekitar akademik. Soal akhlak juga turut menjadi keutamaan kita. Sebagai seorang pendidik, akhlak pendidik tersebut merupakan perkara yang amat penting dalam proses pembentukan peribadi anak-anak muridnya. Hal ini kerana pendidik sebenarnya merupakan seorang pendakwah kerana peranannya dalam membentuk sahsiah anak muridnya, apatah lagi kita sebagai golongan yang bakal menjadi guru agama. Bagaimanakah seorang pendakwah itu mampu mendekatkan diri para mad`unya kepada Allah sekiranya keperibadiannya tidak mencerminkan cirri-ciri seorang pendakwah?.

Sekiranya kita singkap kembali sejarah kegemilangan Islam di Zaman Rasulullah SAW, maka kita akan dapati bahawa keperibadian Rasulullah SAW itu sendiri merupakan antara faktor kejayaan dakwah Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Islam. Justeru, persiapkanlah diri kita dengan ilmu yang secukupnya dan sertailah ilmu-ilmu tersebut dengan perlakuan akhlak yang mulia.




Wednesday, November 3, 2010

Bersyukurkah Kita?

Oleh: Najib 'Afif bin Arip



Peluang menjadi sukarelawan di sebuah rumah anak yatim bebrapa tahun yang lalu memberi pengalaman yang sungguh bermakna buat diriku. Walaupun telah bertahun ia berlalu, namun kenangan di sana masih segar di ingatanku. Pengalaman ini telah memberi aku pengajaran akan erti sebuah kesyukuran.


Masihku ingat lagi bagaimana keceriaan anak-anak penghuni rumah anak yatim tersebut menyambut ketibaanku. Walaupun aku merupakan pendatang baru di rumah anak yatim tersebut, namun kemesraan yang ditonjolkan oleh mereka membuatkan aku rasa selesa dan tidak janggal berada di sana. Tidak sampai sehari aku berada di sana, aku sudah mampu bergurau senda dengan penghuni rumah anak yatim tersebut yang kesemuanya merupakan penghuni lelaki.


Sepanjang berada di sana, pelbagai kisah duka yang aku dengari dari penghuni rumah anak yatim tersebut yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah. Tidak semua mereka yang berada di situ kerana kehilangan orang tua, ada juga di antara mereka yang menjadi mangsa
penceraian yang berlaku antara ibu dan bapa. Namun, apa jua perbezaan cerita yang mereka bawakan padaku mendorong aku memikirkan sebuah persoalan. Dan persolan inilah yang ingin aku kongsikan bersama rakan-rakan dalam coretanku ini. Apakah kita benar-benar bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita?


Sahabat-sahabat, dalam kalangan kita mungkin ada yang hidup dalam limpahan kemewahan, punyai ibu dan bapa sebagai tempat penggantungan. Tetapi sahabat-sahabat, anak-anak yatim tersebut tidak berpeluang hidup dalam kemewahan. Mereka tiada ibu bapa yang sentiasa memberi curahan kasih sayang seperti yang diterima oleh anak-anak lain seusia mereka. Tatkala mereka melihat kebahagiaan insan lain yang punya ibu dan bapa, hati mereka meruntun kesedihan. Bukan kerana cemburu tapi kerana mereka turut dambakan kasih sayang dari ibu dan bapa sebagaimana rakan-rakan mereka yang lain perolehi.


Mungkin juga ada dalam kalangan kita yang pernah merasai hidup dalam kepayahan. Namun, bersabarlah saudaraku kerana ujian Allah SWT itu adalah tanda kasihNya pada dirimu. Allah ingin dirimu seperti layang-layang yang semakin kuat angin menderu, semakin tinggi ia melayang. Semoga ujian yang dikau lalui meninggikan lagi keimananmu kepada Allah SWT. Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

“Keadaan orang mukmin menakjubkan kerana segala keadaan yang dihadapinya menjadi baik baginya. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur dan itu adalah baik baginya. Sebaliknya jika dia menghadapi kesusahan dia bersabar dan itu adalah baik baginya”


Justeru sahabat-sahabatku, menyedari hakikat ini bersyukurlah kita atas nikmat iman dan islam yang telah Allah kurniakan kepada kita. Apakah yang dikatakan dengan kesyukuran itu? Apakah kesyukuran itu cukup sekadar melafazkan “Alhamdulillah”.? Sheikh Muhammad ‘Abduh mena’rifkan syukur sebagai berikut, “Dan tidak dikatakan bersyukur kecuali jika seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat-nikmat itu dalam hal-hal untuk apa nikmat itu diberikan”. Ini bermakna, tidak cukup bersyukur itu sekadar dengan lafaz ‘Alhamdulillah’. Syukur itu perlu dibuktikan juga melalui perbuatan.


Maka, bolehlah kita katakan bahawasanya kesyukuran yang hakiki itu ialah bilamana kita melakukan suruhan Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Sebagaimana
pengertian iman adalah membenarkan dengan hati, diucapkan dengan lisan, dan diamalkan dengan tindakan (perbuatan), maka begitulah juga perihalnya dengan syukur. Justeru,perbuatan kita itu sebenarnya menggambarkan sejauh manakah kesyukuran kita kepada Allah SWT. Dicatatkan dalam Shahih al Bukhari, dari Aisyah radliyallah 'anha, dia berkata: "Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berdiri shalat (malam) hingga kedua kaki beliau bengkak." Lalu Aisyah berkata kepada beliau, "Kenapa engkau lakukan ini, ya Rasulullah, bukankah Allah telah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang?" Lalu baginda menjawab:
أَفَلَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا
"Apakah tidak boleh aku suka menjadi hamba yang bersyukur." (HR. Bukhari)


Sahabat-sahabatkuku, ayuh kita contohi Rasulullah SAW yang tekun beribadah. Walaupun baginda tahu hakikat bahawa dosanya telah diampunkan oleh Allah SWT. namun ianya tidak pernah mengurangkan ketaatannya berbadah kepada Allah. Bagaimana pula kita yang penuh dengan dosa, entah diampunkan entah tidak tapi masih lagi berat untuk beribadah memohon keampunan dari Allah SWT?



Kesyukuran tidak sekadar memutikkan bunga kecintaan kepada Allah SWT bahkan ianya mampu menambahkan rezeki seseorang. Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Dan ingatlah, tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih".
"

Sheikh Zarruq menyatakan “mensyukuri nikmat menjamin tiga perkara: Yang pertama, terpelihara nikmat daripada hilang dan berubah keadaan, iaitu dengan berpindah dan bertambah nikmat. Yang kedua berkat nikmat pada kesudahan. Yang ketiga berhubung hamba dengan tuannya secara selamat tanpa kecacatan”. Justeru janganlah kita lupa untuk mensyukuri nikmat Allah SWT dengan melakukan perkara ketaatan dan meninggalkan laranganNya.


Suatu ketika aku pernah ditanya oleh seseorang,“menurut ayat al-Quran Allah akan menambahkan nikmat kepada orang yang bersyukur. Tapi kenapa ramai orang yang tidak berpegang pada ajaran Islam yang dilimpahkan dengan nikmat kekayaan”. Jawapannya adalah nikmat itu bukanlah suatu anugerah sebaliknya adalah istidraj. Istidraj ialah suatu kelebihan atau keunggulan yang diberikan Allah kepada para hamba-Nya yang bukan daripada golongan orang yang bertaqwa dan soleh, termasuk juga sebahagian hambaNya yang kafir dan menentang Islam.


Allah SWT sengaja memberikan mereka kelebihan tersebut. Kelebihan ini akan menjauhkan lagi mereka daripada Allah SWT yang akhirnya mereka akan diazab dengan siksaan yang dahsyat daripada Allah SWT. Jadikanlah lipatan sejarah kisah Firaun yang dilimpahi dengan nikmat akhirnya mati dalam kehinaan sebagai pengajaran. Inilah balasan bagi mereka yang pada hatinya penuh keegoan dari mentaati Allah
SWT. Mereka dibiarkan Allah SWT berada di puncak seketika agar jatuhnya mereka dengan satu jatuhan yang lebih menyiksakan. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 44:

فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُواْ بِمَا أُوتُواْ أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka gembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa



Ibnu Ata’illah berkata di dalam kitab al-Hikam, “hendaknya engkau berasa takut jika engkau selalu mendapat kurnia Allah, sedangkan engkau tetap dalam perbuatan maksiat kepadanya, Jangan sampai kurnia itu semata-mata istidraj oleh Allah”. Justeru hendaklah kita memuhasabah diri selalu, apakah diri kita berada dalam ketaatan kepada Allah atau sebaliknya? Apatah lagi jika limpahan nikmat terus dimiliki sedang diri jauh dari Ilahi, lebih-lebih lagilah harus ditakuti.

Ayuhlah kita mengambil kesempatan untuk menjadi orang yang sentiasa bersyukur selagi nyawa belum terpisah dari jasad. Janganlah kita menjadi orang yang kufur tehadap Allah SWT. Ingatlah janji Allah SWT bahawa azab Allah amat pedih terhadap mereka yang kufur. Sesungguhnya Allah SWT itu maha adil. Ambillah pengajaran dari kisah umat-umat yang terdahulu yang telah dimusnahkan oleh Allah SWT akibat kekufuran mereka dan keegoan mereka dari mentati Allah SWT. Janganlah sehingga azab Allah tiba, barulah kita tersedar dari kelenaan. Apakah tatkala itu kita sempat bertaubat keranan kematian itu tidakmenunggu masa dan ia boleh datang secara tiba-tiba? Ingatlah Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 7:

ولَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُون

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka


Justeru sahabat-sahabatku, marilah kita bersama-sama memuhasabah diri kita. Renungilah diri kita dengan mata hati yang disuluhi keimanan. Selalulah mengingati Allah dan memohon keampunan dariNya agar kita selalu tergolong dalam kalangan mereka yang bersyukur.