Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, April 13, 2010

Di kesempatan ini saya mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi buat semua mahasiswa/wi USIM. Semoga usaha kita diberkati Allah SWT. Selamat berusaha.

Friday, April 2, 2010

Permulaan yang Baik Bukan Jaminan Kesudahan yang Baik



oleh: Najib 'Afif Arip


“Nak, nanti masuk “U” belajar rajin2 yek. Jangan malas belajar. Banyakkan Ibadah pada Allah” Dialog ini mungkin merupakan dialog biasa seorang ibu atau bapa kepada anaknya yang bakal melangkahkan kaki ke menara gading. Mungkin skripnya tidak sama tetapi mesejnya tetap sama. Ibu dan bapa manalah yang tidak mahu melihat anaknya menjadi orang yang cemerlang sahsiah dan akademik. Semua ibu bapa menginginkan anaknya beroleh kejayaan.


Pastinya kejayaan memasuki universiti merupakan suatu permulaan yang baik dalam aturan langkah menuju kea lam dewasa. Namun, harus diingat bahawasanya permulaan yang baik bukanlah suatu jaminan bagi akhiran yang baik. Adakalanya permulaan yang menggembirakan berakhir dengan akhiran yang mengecewakan dan mendukacitakan. Inilah realiti yang berlaku dalam dunia “kemahasiswaan”. Ketika mula menjejakkan kaki ke menara gading, semuanya datang dengan wajah yang gembira dan bersemangat. Semuanya menyimpan azam untuk menamatkan pengajian dengan jayanya. Maklumlah, semangat tengah berkobar-kobar ketika itu.

“Disangka panas hingga ke petang rupanya gerimis di tengah hari’. Permulaan yang penuh dengan semangat akhirnya sedikit demi sedikit gugur dalam perjalanan merentas waktu menuju ke penghujung jalan penamat dalam usaha menggapai impian. Ada yang ketika di sekolah atau di institut pengajian yang terdahulu mendapat keputusan yang cemerlang tetapi berakhirnya pembelajaran di university dengan “result” paras hidung. Ada juga yang tak sempat habis belajar dah kena buang universiti.

Di manakah silapnya? Diri sendiri, ibu bapa, pensyarah, rakan.atau universiti? Walau kepada siapa kita cuba mengalihkan jawapannya, hakikatnya tuan punya badan yang akan menanggung akibat daripada kegagalan tersebut.Maka mahu tiadak mahu diri sendirilah yang harus berusaha dan diri sendirilah yang harus bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan dicapai

.

Kita harus sedar, sebagai remaja kita merupakan tunggak harapan agama, bangsa dan Negara. Bukankah sejarah islam telah membuktikan bahawa betapa anak muda merupakan golongan yang penting dalam proses pembangunan tamadun Islam. Lihat saja contoh di zaman Rasulullah SAW yang mana perjuangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW didukung oleh golongan belia yang sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan Islam. Antara kisah popular tentang contoh pengoraban seorang anak muda berjiwa kental ialah Kisah SaidinaAli bin Abi Talib sewaktu peristiwa hijrah. Saidina Ali RA sanggup menggantikan Rasulullah SAW di tempat pembaringan baginda bagi mengelirukan pihak kuffar walaupun beliau tahu nyawanya bakal menjadi taruhan.

Selain itu, sejarah juga telah merakamkan sumbangan belia-belia dalam mencipta kegemilangan ilmu pengetahuan,keamanan, perpaduan dan reformasi atau islah. Lihatlah insan-insan seperti Muhammad Al-Qasim, pemuda yang telah menerangi tanah India dengan nur Islam di zaman khilafah Umawiyah, Imam Asy-Syafe`i menjadi ilmuan ulung ketikamudanya, bahkan telah pun menjadi mufti ketika usianya dalam belasan tahun. Muaz bin Jabal, komendar perang yang menawan Kota Andalus daripada Kristian dan banyak lagi belia-belia Islam yang telah mamahat kejayaan besar dalam lipatan sejarah manusia.

Sewajarnya anak muda masa kini menyedari bahawasanya jatuh bangun agama, tamadun serta identiti umat bergantun kepada potensi belia. Sejarah telah menunjukkan kepada kita dengan adanya sokongan dan pengorbanan dari anak muda, banyak berlaku peristiwa-peristiwa yang telah mengubah perjalanan masa depan dunia dan tamadun kemanusiaan. Itulah hasilnya jika golongan belia menggunakan potensi yang ada pada diri mereka ke arah positif.

Dalam menghasilkan golongan remaja yang produktif, Prof Dr Sidek Baba dalam karyanya yang bertajuk Wahai Remaja Kembaramu Bermula di Sini telah menggariskan bebrapa perkara utama yang perlu dilakukan oleh remaja. Antaranya, remaja harus membina satu tekad yang tinggi bahawa mereka dilahirkn ke dunia bukan untuk menjadi beban, sebaliknya untuk menyumbang. Mereka harus sedar bahawa tempoh ni adalah tempoh yang kritikal sama ada mereka akan menjadi manusia yang berguna atau sebaliknya. Tempoh ini remaja amat sensitif tentang pengaruh persekitaran. Remaja cenderung mencuba sesuatu yang baru dan popular serta sering terikut-ikut dengan resam keremajaan berasaskan ‘trial’ and ‘error’ atau buat dulu kemudian tahulah rasanya. Kecenderungan inilah yang akhirnya akan membawa remaja kepada permasalahan gejala sosial seperti merempit, hisap dadah dan sebagainya.

Selain itu, apabila sudah jelas visi dan misi hidup, aturkan program-program diri supaya arahnya jelas. Sebagai remaja, kesediaan untuk belajar, bertanya, mengetahui dan berkongsi seharusnya menjadi landasan untuk maju. Oleh yang demikian, sikap meninggi diri, ego, melulu, bodoh sombong atau cerdik tak boleh diajar harus dijauhkan dalam usaha mencari identity dan kekuatan diri. Remaja harus bersedia untuk ditegur, dinasihati dan dibimbing.

Seterusnya, apabila remaja memiliki ilmu dan kepakaran tentang sesuatu, lakukan sumbangan dengan amanah. Remaja harus sedar bahawasanya kepakaran dan ilmu yang mereka miliki harus dimanfaatkan ke arah pembangunan masyarakat. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak manfaatnya untuk manusia.” Dengan kesedaran ini, maka remaja akan berdaya saing dan berkejar-kejar dalam mengerjakan kebaikan dalam usaha menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dan negara.

Namun, tiadalah bermakna sekiranya kesedaran yang ada tidak disusuli dengan usaha. Oleh yang demikian, untuk mencapai kejayaan memerlukan kepada usaha dan pengorbanan. Allah SWT berfirman di dalam surah an-Najm ayat 39 yang bermaksud “tiadalah bagi manusia itu melainkan apa yang diusahakannya”. Maka janganlah persiakan peluang belajar yang kita miliki ini dengan sifat malas berusaha yang akhirnya akan memberi kesudahan yang buruk buat kita.