Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, August 2, 2012

Ramadhan Bulan Istimewa



Kini kita telah pun berada dalam penghulu segala bulan, iaitu bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat-sangat dinantikan oleh orang yang soleh. Penantian Ramadhan oleh baginda Nabi SAW jelas terpamer melalui doa baginda yang bermaksud:

“Ya Allah berikanlah berkah kepada kami dalam bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan”

Bulan Ramadhan merupakan musim pesta ibadah. Ini adalah musim di mana rahmat Allah mencurah-curah padanya. Kelebihan Ramadhan tergambar melalui hadis dari baginda Nabi SAW yang baginda sabdakan saban kali tibanya Ramadhan. Sabda baginda,

“Telah datang kepadamu Ramadhan, bulan penuh berkah dan Allah telah mewajibkan atas kalian untuk berpuasa, pintu syurga akan dibuka selebar-lebar, dan pintu neraka akan ditutup, para syaitan akan dibelenggu, ada sebuah malam yang lebih utama dibandingkan seribu bulan, barangsiapa yang diharamkan dari (pahala) Ramadhan, maka ia diharamkan (dari pahala kebaikan lainnya”

Menyedari kelebihan Ramadhan, maka akan bergembiralah orang yang beriman untuk menyambut ketibaannya, sedangkan orang yang kotor  jiwanya akan merasa gundah. Bagi mereka ini adalah bulan penyeksaan diri, terpaksa berlapar dan dahaga. Golongan seperti ini ada juga yang turut mampu berpuasa selama sebulan. Namun puasa mereka tidak lebih dari sekadar menahan lapar dan dahaga tanpa mampu meraih kelebihannya. Amat rugilah mereka yang tidak dapat menghayati kelebihan yang terkandung dalam Ramadhan.

Selain anugerah ibadah puasa yang terkandung di dalam Ramadhan, Allah juga menganugerahkan malam lailatul Qadr yang mana pada malam tersebut merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan. Ibadah yang dilakukan pada malam tersebut akan berganda ganjarannya bagaikan ganjaran amal ibadah yang dilakukan sekian lama, melebihi seribu bulan. Namun lailatul Qadr ini bukan semua yang mampu memilikinya, hanya mereka terpilih sahaja iaitu orang-orang yang akrab dengan Allah. Istimewanya bulan Ramadhan juga dapat dilihat dengan adanya ibadah Solat Sunat Tarawikh. Ibadah ini merupakan ibadah yang khusus untuk bulan Ramadhan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain

Ibadah Puasa di bulan Ramadhan

Berpuasa di bulan Ramadhan termasuk dalam rukun Islam. Ini bermakna ibadah puasa termasuk dalam ibadah pokok yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Kewajiban berpuasa telah termaktub dalam al-Quran melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Yang bermaksud:

“Wahai sekalian orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas umat-umat yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”
                                                                                                            (al-Baqarah:183)

Ayat di atas yang diakhiri dengan maksud “mudah-mudahan kamu bertaqwa” memberi penjelasan kepada kita bahawa ibadah puasa mampu menjadikan seseorang itu bertaqwa dan inilah tujuan sebenar ibadah puasa. Namun tidak semua orang mampu menjadi oaring yang bertaqwa dengan berpuasa. Justeru, puasa bagaimanakah yang mampu melahirkan insan bertaqwa?
Nabi SAW pernah bersabda:

ليس الصيام من الطعام والشراب إنما الصيام من اللغو والرفث
Maksudnya:

“Bukanlah puasa itu sekadar meninggalkan makan dan minum, namun puasa itu adalah menahan dari perbuatan keji dan sia-sia”
                                                                         (HR: Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Berdasarkan sabda nabi SAW tersebut, dapat kita fahami bahawasanya puasa yang hakiki itu ialah puasa yang turut meninggalkan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa dan juga perkara yang tidak berfaedah. Maka sudah pastilah puasa yang sebeginilah yang akan mampu melahirkan sifat ketaqwaan dalam diri manusia. Namun realitinya masih ramai manusia yang terus bergelumang dengan dosa dan perkara yang tidak berfaedah meskipun di bulan Ramadhan. Amat menyedihkan bilamana ada dalam kalangan umat Islam yang tidak terkesan untuk melakukan perubahan di bulan mulia ini bahkan perbuatan dosa yang dilakukan sebelum Ramadhan tetap diteruskan di bulan yang mulia ini.

Betapa ruginya kita jika bulan ini yang Allah permudahkan penambahan pahala dan penghapusan dosa tidak kita gunakan sebaik mungkin untk menambah pahala dan menghapus dosa. Nabi SAW pernah bersabda:

رغم أنف رجل دخل عليه رمضان ثم انسلخ قبل أن يغفر له

 Yang maksudnya:

“Betapa hina seseorang jika Ramadhan datang, kemudian pergi sedangkan ia belum diberi ampunan”
(HR: at-Tirmidzi)

Amaran keras dari baginda Nabi SAW ini harus kita ingati. Kita harus bermuhasabah mengenang diri sama ada sudah bertaubatkah kita atau belum? Keampunan dari Allah harus kita usahakan agar bila berlalu Ramadhan kelak kita menjadi orang yang lebih baik dari sebelumnya. Seharusnya kita khuatir jika di bulan yang Allah bukakan rahmatNYA dengan luas kita tidak mampu untuk meraih keampunan apatah bila kita berada di bulan yang lain.
Sesungguhnya Allah menyediakan ganjaran yang sangat besar terhadap mereka yang berpuasa dengan sebenar-benar puasa. Dalam sebuah hadis dari abu hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Yang maksudnya:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu”
                                                                                                            (Muttafaq Alaih)
\
Alangkah beruntungnya kita jika diampunkan segala dosa-dosa kita yang lalu. Namun untuk meraihnya memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dari diri kita. Puasa yang dilakukan bukan sekadar puasa yang menahan lapar dan dahaga serta perkara yang boleh membatalkan puasa, tetapi lebih dari itu kita juga turut menahan diri dari melakukan perbuatan dosa.

Malam yang Lebih Baik dari Seribu Bulan

Allah SWT memuliakan Ramadhan dengan menganugerahkan Lailatul Qadr padanya. Lailatul al-Qadr merupakan malam yang amat berkat. Lailatul Qadr menjadi buruan yang sangat diimpikan oleh para solehin. Perihal kelebihan Lailatul Qadr telah dinyatakan oleh Allah SWT melalu surah al-Qadr:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (٢) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ (٤ )سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (٥)

Maksudnya:

“Kami telah menurunkan Quran pada suatu malam yang mulia. Tahukah kamu apakah malam yang mulia itu? Malam itu adalah lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, malaikat-malaikat dan Jibrail turun ke bumi dengan izin Allah bagi mengatur segala urusa. Malam itu penuh dengan kesejahteraan, sehingga terbit fajar.”
Al-Quran menegaskan satu malam ketika lailatul Qadr lebih baik dari seribu bulan atau jika dikira secara tahun tempohnya dalam lebih kurang 83 tahun 4 bulan. Ini bermakna ibadah atau amalan kebaikan yang dilakukan pada malam tersebut akan memperolehi ganjaran berganda yang banyaknya sehingga melebihi amalan atau ibadah yang dilakukan melebihi 83 tahun 4 bulan.

Bayangkanlah betapa hebatnya tawaran yang Allah berikan buat hamba-hambaNYA. Tempoh 83 tahun adalah suatu tempoh usia yang tidak ramai umat Nabi Muhammad SAW melepasinya. Namun demikian, dengan rahmat Allah, dihadiahkan kepada kita lailatul Qadr sebagai jalan alternative untuk kita memperoleh ganjaran amalan untuk tempoh lebih 83 tahun meskipun jika usia kita tidak mencecah hingga ke tempoh selama itu. Dengan tawaran sehebat ini dari Allah SWT untuk satu lailatul Qadr, bayangkanlah betapa banyaknya ganjaran yang kita perolehi andainya dalam usia kehidupan kita, kita berjaya memperolehi kelebihan Lailatul Qadr lebih dari sekali apatah lagi jika berkali-kali.

Justeru kita harus menanam azam untuk berjaya meraih kelebihan lailatul Qadr. Maka untuk meraihnya, timbul persoalan bilakah berlaku malam yang mulia tersebut? Pelbagai pandangan ulama’ berkenaan hari berlakunya lailatu Qadr dalam bulan Ramadhan. Namun, antara pandangan yang kuat ialah berlakunya Lailatul Qadr antara malam-malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan.

Hakikatnya Lailatul Qadr itu hanya Allah SWT yang maha mengetahui masa berlakunya. Menyedari hakikat ini, andai kita tidak mahu terlepas menikmati kelebihan malam tersebut maka berusahalah untuk memenuhi malam-malam ramadhan dengan amal ibadah. Sesungguhnya kerahsiaan Lailatul Qadr itu merupakan suatu hikmah. Ianya mampu mendorong manusia untuk sentiasa menghidupkan setiap malam di bulan Ramadhan dengan amal ibadah.