Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, July 27, 2009

Kursus Kecemerlangan Pelajar

Saudara Hariri ketika menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta

Sesi ceramah bersama Dr. Azharuddin

Penulis bersama pemenang permainan abang kate siri pertama

Sesi berkenalan bersama para fasilitator

Sesi pembentangan kumpulan

Gambar beramai-ramai di penghujung program

Pada 25 dan 26 Julai 2009 yang lalu saya dan rakan-rakan ISMP telah berjaya melaksanakan program Kursus Kecemerlangan Pelajar di Sekolah Agama Menengah Salak Tinggi (SAMST). Kursus ini melibatkan seramai 40 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar ISMP, USIM dan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan 1 sekolah tersebut.

Program dua hari satu malam anjuran bersama Program Pendidikan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Usim dan SAMST ini adalah bagi memberi motivasi kepada pelajar tingkatan 1 sekolah tersebut dalam mengharungi cabaran persekolahan peringkat menengah. Selain itu program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan awal akan cabaran di alam perguruan yang bakal diceburi oleh fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada pelajar-pelajr ISMP.

Antara penceramah yang telah dijemput dalam program tersebut ialah Dr. Azharuddin b. Sahil dari USIM. Beliau telah mengisi slot ceramah berkaitan pengurusan masa. Selain itu, turut diundang ialah saudara Hariri Daud. Beliau merupakan mantan Presiden MPP USIM sesi 2006/2007. Slot yang diisi oleh beliau adalah berkenaan motivasi ke arah kecemerlangan.

Acara penutup bagi program tersebut telah dirasmikan oleh Dr Azizi Ismail, Ketua Program Pendidikan, USIM. Dalam ucapan perasmian penutup, beliau telah meberi kata-kata peransang kepada pelajar tingkatan 1 sekolah tersebut serta turut mempromosikan USIM kepada mereka.

Secara keseluruhannya program ini berjalan dengan lancar. Walaupun program ini berlangsung dalam masa yang singkat namun keakraban yang terjalin antara fasilitator dan para pserta bagaikan telah sekian lama saling mengenali. Sebelum kami bertolak pergi meninggalkan sekolah tersebut, adik-adik peserta berpesan kepada kami untuk menganjurkan lagi program bersama mereka. Insyaallah adik-adik, kalau ada rezeki, kita bertemu lagi. Abang-abang dan kakak-kakak fasi mendoakan kejayaan adik-adik semua.

Wednesday, July 1, 2009

GURU RABBANI PEMBINA JIWA INSANI


Oleh: Najib ‘Afif bin Arip

Guru merupakan insan yang bertanggungjawab dalam membentuk perwatakan generasi muda. Guru bertanggungjawab untuk mendidik anak muridnya, bukan sekadar mengajar semata-mata. Mengajar dan mendidik merupakan dua perkara yang sifatnya sama tetapi berbeza dari sudut konsepnya.

Mengajar dihubungkan dengan proses melatih dan memberi keterampilan. Contohnya, mengajar seseorang tentang matematik. Matlamat dalam proses mengajar sekadar berlegar di sekitar pemahaman terhadap subjek tersebut. Manakala mendidik pula membawa pengertian yang lebih luas. Mendidik bukan semata-mata memberi kefahaman terhadap subjek yang diajar tetapi ianya turut meliputi pembentukan nilai murni yang diterapkan melalui proses pengajaran.Contohnya sekiranya seseorang guru itu mengajar matematik, dia tidak sekadar memahamkan pelajarnya terhadap subjek tersebut semata-mata. Guru tersebut juga akan membawa pelajarnya unruk melihat kepentingan subjek tersebut dari sudut yang lebih luas. Antara lainnya guru tersebut boleh menanamkan rasa keperluan dalam diri pelajarnya untuk mempelajari subjek tersebut dalam membangunkan agama, bangsa dan negara.

Dalam hal ini, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas cuba memberikan perbezaan tentang konsep didik dan ajar dengan menghubungkan konsep warga baik dan manusia baik dalam memberikan kefahaman yang mudah terhadap perkara tersebut. Warga baik merupakan warga yang berpengetahuan dan berketrampilan, tahu membaca,menulis, ada kelulusan, tahu cara berurusan dan faham tentang tanggungjawab kewarganegaraan Perbezaannya dapat dilihat pada manusia baik berbanding dengan warga baik ialah dengan adanya penambahan nilai-nilai yang menjadikan manusia bersifat jujur, ikhlas, amanah, adil, bertolak ansur, bijaksana, cemerlang dan nilai-nilai lain yang berguna.

Faktor nilai merupakan faktor yang sagt penting bagi seseorang manusia dalam mengetahui sesuatu batasan perkara sama ada dibolehkan oleh Penciptanya atau tidak. Nilai merupakan ukur tara yang sangat penting bagi membantu perkembangan minda dan tingkah laku seseorang. Tanpa ukur tara, manusia sukar membuat keputusan yang terbaik. Apatah lagi untuk melaksanakan sesuatu tindakan yang terbaik. Nilai Rabbani, iaitu nilai dari Allah dapat membantu manusia membuat pilihan yang tepat dan terbaik.

Menurut kaca mata Islam, untuk melahirkan golongan pendidik yang berjiwa Rabbani, ikhlas merupakan tuntutan yang paling utama. Ikhlas merupakan suatu sifat yang yang mengarah kepada pengharapan keredhaan Allah dalam setiap perbuatan yang dilakukan. Oleh yang demikian, melalui sifat ikhlas ini maka, proses pembelajaran juga akan bermotifkan ke arah keredhaan Allah yang secara tidak langsung akan mendorong seseorang guru itu untuk meletakkan nilai Rabbani di dalam pengajarannya. Sifat ikhlas ini merupakan kunci utama dalam mewujudkan pembelajaran yang efektif dalm membentuk daya intelektual dan spiritual pelajar.

Sebahagian golongan pendidik pada masa kini telah hilang nilai rabbani dalam dirinya. Nilai kerohanian para pelajarnya tidak menjadi suatu keutamaan baginya. Baginya cukup sekadar terlaksana tanggungjawabnya dengan sekadar memfokuskan ke arah kecemerlangan akademik. Lebih teruk lagi apabila ada di kalangan guru sendiri yang tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada pelajarnya sebaliknya membawa contoh yang negatif.

Sebelum ini kita sering dipaparkan di media massa perihal salah laku guru. Hal ini membawa kerisauan kepada banyak pihak. Instittusi perguruaan yang dilihat sebagai harapan masyarakat dalam pembentukan akhlak generasi pelajar kian tercalar. Kesannya menyebabkan Institusi perguruan tidak lagi dihormati sebagaimana suatu ketika dahulu kerana adanya rasa prejudis sebahagian golongan masyarakat terhadap guru. Ada ketikanya sehingga ada ibu bapa yang pantang anaknya dimarahi oleh guru walaupun anaknya telah melanggar dsisiplin sekolah.

Dalam hal ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Seandainya tuding menuding terus berlaku hal ini tidak akan mampu diselesaikan.Ibu bapa dan guru haruslah bekerjasama dalam menangani masalah remaja. Golongan pendidik tidak patut dipersalahkan sepenuhnya.seandainya berlaku kegagalan dalam pendidikan anak-anak. Kita harus sedari bahawa sekolah merupakan tempat pengukuhan bagi ‘bawaan baik’ yang ada pada diri anak-anak. Sekiranya ‘keciciran’ berlaku di rumah, kemungkinan ‘keciciran’ di sekolah akan berterusan dan akan terus berlaku di tengah-tengah masyarakat.

Namun ini bukanlah alasan bagi golongan guru untuk menidakkan peranan mereka sebagai orang yang bertanggungjawab dalam pembinaan sahsiah remaja.Sekiranya kita singkap kembali sejarah kegemilangan umat islam di zaman Rasulullah SAW, kita akan dapati bahawa formula pendidikan baginda Rasulullah SAW kepada manusia pada zaman tersebut adalah berasaskan peribadi al-Quran. Baginda mendidik mereka dengan kekuatan akidah, kehebatan peribadi, kekentalan jihad dan jiwa amanah yang tinggi. Akhirnya generasi pada zamannya dan zaman-zaman seterusnya mampu membangunkan sistem contoh dan menghasilkan pembangunan tamadun.

Oleh yang demikian, golongan guru haruslah memperkasakan diri mereka dalam usaha membangunkan nilai insan dalam jiwa remaja. Cabaran pendidikan pada hari ini amat hebat. Pengaruh globalisasi yang telah membawa arus kebejatan akhlak kepada remaja sukar untuk disekat. Walaupun barat tidak lagi menjajah kita secara fizikal namun mereka berjaya menawan pemikiran kita khususnya golongan remaja. Menyedari hal ini, golongan pendidik haruslah berperanan membawak watak mereka sebagai agen perubah bangsa dengan cemerlang dalam usaha membina tamadun yang gemilang.