Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, November 18, 2009

SETIA SEORANG ISTERI / IBU

Di sebalik redup mata mu
Tersimpan satu rahsia
Yang terbuku di ruangan hati mu
Di sebalik senyuman mu

Tersirat simpulan
Deritanya hanya kau yang tahu

Kau setia menanti
Kau setia mengharungi

Biarpun ribut badai melanda
Kau teguh berdiri
Walau deru angin menderu
Kau tetap di sisi

Di atas merupakan sebahagian daripada bait-bait lagu nasyid kumpulan Wildan yang bertajuk "Setia Seorang Isteri". Tatkala mendengar lagu ini, seringkali ianya membawa fikiran saya untuk mengingati seseorang yang amat istimewa dalam hidup ini. Bukanlah isteri saya memandangkan saya masih bujang tetapi isteri kepada bapa saya iaitu emak saya



Lirik lagu tersebut mengingatkan saya kepada kesetiaan emak terhadap abah yang tidak pernah goyah. Di hadapan kami adik beradik, sentiasa jelas tergambar daripada perilaku emak, emak merupakan seorang yang setia terhadap abah. Emak sentiasa menjadi pembantu abah dalam mengemudi bahtera rumah tangga yang bilangan penumpangnya tidak sedikit iaitu seramai 11 orang.



Teringat kembali zaman kanak-kanak saya yang penuh dengan kenakalan. Sewaktu kecil ada saja perkara yang akan kami adik beradik gaduhkan. Tatkala selesai menerima hukuman daripada abah akibat kedegilan kami maka emak akan datang kepada kami untuk memujuk dan menenangkan kami. Begitulah peranan emak yang sentiasa menjadi watak pendamai tatkala kami dihukum oleh abah. Abah dan emak sentiasa memastikan dalam tindakan hukuman mereka terhadap anak-anak, anak-anak mengetahui ianya kerana kasih, bukannya benci. Hukuman yang dijalankan akan disusuli dengan rasionalnya sehingga kami menyedari akan kesalahan yang telah kami lakukan.



Dari dulu hingga kini dan sampai bila-bila, saya akan terus mengagumi pengorbanan ibu dalam membesarkan kami adik beradik. Sedari diri saya masih kecil hingga ke saat ini emak dan abah masih belum dapat berehat daripada membesarkan anak-anaknya. Begitulah pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh ibu bapa yang mempunya ramai anak. Dari muda hingga ke tua masih belum selesai tanggungjawab mereka membesarkan anak-anak. Maklumlah, kami adik beradik, dari peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan peringkat pengajian tinggi semuanya masih ada di saat ini. Mujurlah kini, dua orang abang saya, iaitu anak sulung dan kedua telah menamatkan pengajian dan bekerja, maka dapatlah meringankan bebanan tanggungan emak dan abah dalam menyara kami adaik beradik.



Menjelajah perihal kesetiaan emak, mengingatkan saya pada apa yang telah berlaku ketika ketiadaan abah di Malaysia kerana terpaksa pergi ke London selama 2 bulan atas urusan kerja. Peristiwa ini berlaku berberapa bula yang lalu tidak lama selepas abah meninggalkan Malaysia. Pada hari itu, saya menemankan emak untuk mengeluarkan wang dari bank. Setibanya kami di depan mesin ATM untuk mengeluarkan wang emak bertanya kepada saya, “Uda (
gelaran bagi anak keemapt di Perak), camne nak kuar duit ni, mak tak ingat dah ni.” Saye terkesima seketika mendengar soalan tersebut diajukan oleh emak saya memandangkan bukan baru emak memiliki kad bank tersebut. Di saat itu, barulah saya teringat walaupun emak saya memilik kad tersebut, tapi emak memberi kad tersebut kepada abah untuk disimpan bagi menguruskan soal kewangan keluarga. Bermakna, sebelum abah pergi ke London, telah sekian lama emak tidak mengeluarkan wangnya di dalam bank sendiri hingga lupa caranya untuk mengeluarkan wang.



Begitulah tingginya kepercayaan emak terhadap abah dan abah pula tidak pernah mencalari kepercayaan yang telah emak berikan kepadanya. Walaupun di dalam islam, perempuan berhak menguruskan kewangan milikinya sendiri, dan tuntutan nafkah jatuh pada suami, namun emak tak pernah bekira dengan abah tentang soal kewangan. Bagi emak, hasil titik peluhnya adalah untuk dikongsi bersama dengan abah bagi kegunaan perbelanjaan keluarga. Hatta sekiranya ade barang yang emak ingin beli, walaupun dengan menggunakan duit emak, emak akan tetap meminta izin daripada abah. Begitulah sifat seorang ibu yang sentiasa rasa berbahagia dengan memberi.



Sememangnya emak telah banyak berkorban demi anak-anaknya. Emak yang merupakan seorang guru, sentiasa bekerja baik di sekolah mahupun di rumah. Di sekolah, emak menjadi guru kepada anak-anak orang lain, di rumah emak menjadi guru kepada anak-anaknya sendiri. Masih jelas terbayang di ingatan saya bagaimana didikan emak terhadap saya dan adik beradik ketika saya di bangku sekolah rendah. Ketika itu, selalu juga saya mendapat top 5 dalam peperiksaan. Ini adalah hasil berkat daripada kesungguhan emak saya. Apabila kami adik beradik nak exam, maka emak juga turut sama seolah-olah nak exam. Emaklah yang akan bersengkang mata mengajar kami, emaklah yang akan berjaga malam, bertahajjud untuk kami, emaklah yang akan berpuasa untuk kami dan emaklah yang akan bersusah hati untuk kami. Bila memikirkannya kembali, seolah-olah emak yang akan menghadapi exam kerana kesungguhannya yang mengatasi kami yang akan menduduki exam pada ketika itu.



Hingga kini, apa yang emak lakukan ketika saya masih kecil, di bangku sekolah rendah masih emak lakukan walaupun kini saya telah berada di Universiti. Emak masih lagi bangun malam mendoakan kejayaan anak-anaknya dan emak masih lagi berpuasa untuk anak-anaknya apabila anak-anaknya menghadapi peperiksaan. Emak juga tak pernah lupa berpesan kepada kami untuk solat hajat dan tahajjud. Sedari anaknye kecil, hinggalah ke besar., pesanan inilah yang acapkali emak pesankan. Emak sentiasa mengingatkan kami bahawasanya ape yang kami miliki sekarang ni semuanya dari Allah SWT dan kerana itulah hubungan dengan Allah SWT jangan direnggangkan. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada saya dan adik beradik untuk sentiasa mentaati pesanan emak ini.



Sememangnya sebagai hamba Allah SWT kita mestilah sentiasa berharap dan berdoa kepadaNya dan bersyukur kepadaNya atas segala nikmat pemberianNya. Firman Allah SWT yang bermaksud:



“Katakanlah, siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah. Maka katakanlah, mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?”(Surah Yunus:31)



Setelah Allah SWT berikan kita pelbagai nikmat apakah patut kita sebagai hambaNya melupakanNya dan tidak bertaqwa kepadaNya. Dan kita harus menyedari bahawasanya taqwa merupakan kunci kepada kejayaan dan keberkatan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:



Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT, nescaya dia akan mengadakan jalan keluar baginya dan memberi rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka (Surah at-Tolak:2-3)



Maka, sekiranya kita bertaqwa kepada Allah SWT, InsyaAllah kita akan memperoleh kejayaan, baik kejayaan duniawi mahupun ukhrawi.



Kembali bercerita berkenaan emak, emak merupakan antara orang paling gembira sekiranya anak-anaknya balik berkumpul bersama-sama di rumah. Biasanya apabila kami adik-beradik berkumpul di rumah, maka emak dan abah akan mengumpulkan kami semua di awal pagi untuk sesi tazkirah dan emaklah orang yang paling bersemangat untuk mengadakan tazkirah. Awal-awa lagi emak sudah mengingatkan abah dan kami adik-beradik untuk sesi tazkirah. Lazimnya, abah akan mempengerusikan tazkirah tersebut. Abah akan memberi ruang kepada anak-anaknya yang ingin memberi tazkirah. Seterusnya abah akan memberi ruang kepada emak dan abah akan bercakap di akhir sesi tazkirah.



Acapkali juga dalam sesi tazkirah kami, abah dan emak akan selitkan cerita suka duka silam abah dan emak dalam membesarkan kami serta sejarah silam zaman muda mereka untuk dijadikan pengajaran buat kami. Walupun sudah selalu benar saya mendengar kisah cerita pengalaman emak dan abah tersebut, namun tak ada rasa jemu yang bertandang di hati ini, bahkan ianya bagaikan pengecas yang memberi tenaga kepada semangat ini untuk terus mara menggapai cita-cita. Biarlah saya terus menjadi pendengar setia kepada cerita-cerita mereka selagi masih diberi kesempatan kerana saya tidak akan mengetahui bilakah cerita terakhir dari mereka yang bakal saya dengari. Sesungguhnya jemputan Ilahi tidak pernah mengenal masa dan usia mungkin mereka atau mungkin saya yang akan diemput Ilahi terlebih dahulu. Mudah-mudahan Allah SWT memberi keberkatan bagi kami sekeluarga dalam meniti usia kehidupan ini.



Buat sahabat-sahabat, ketahuilah tatkala ibu bapamu memperdengarkan kisah silam, suka duka mereka dalam membesarkan kalian, janganlah kalian anggap ianya hanya leteran biasa yang tiada nilainya kerana apa yang mereka perdengarkan kepada kita bukan sekadar kisah biasa tetapi sebuah kisah cinta. Cinta mereka buat diri kita. Di sebalik kisah tersebut tersirat di dasar kisahnya sebuah cinta dan pengorbanan yang telah menjulang cita-cita di kemuncak cerita baru kita.



Pertambahan usia dan kematangan pada diri ini telah menyerlahkan hikmah di sebalik tindakan emak dan abah dalam usaha memanusiakan kami melalui kaedah didikan mereka. Bersyukur saya kepada Allah kerana mengurniakan ayah dan ibu yang tidak pernah berputus asa mendidik anak-anaknya. Terima kasih emak atas kesetiaan dan pengorbanan sebagai seorang isteri kepada abah dan ibu kepada anak-anak abah. Dan terima kasih juga buat abah yang telah menghadiahkan kami hadiah yang amat bernilai iatu cinta abah kepada emak. Dengan cinta itulah maka kami menjadi insan yang mencintai dirimu, emak dan abah.



Apa yang saya paparkan ini merupakan cebisan kisah dari kisah-kisah kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri dan juga ibu. Sungguh terlalu banyaknya pengorbanan insan bergelar ibu ini untuk dinukilkan kesemuanya. Mudah-mudah cebisan kisah ini dapat kita jadikan pedoman bersama untuk kita lebih menghargai kedua-dua orang tua kita selagi masih diberi peluang dan kesempatan.



Firman Allah SWT:



Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu maka janganlah kamu katakan kepada keduanya perkataan ‘Ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasuh aku sewaktu kecil.” (Al-Isra’: 23-24)

2 comments:

masYie said...

Salam.uish... lama tak update..
dapat update ..pjg lak artikel nya..
huhu..

apa2 pun..selamtt

Umamah Al-Edrus said...

Komentar anda tentang ibu mengingatkan saya tulisan sasterawan negara Shahnon Ahmad dalam noveletnya Ibu Adalah Pentafsir. Dia menganggap ibunya itu serupa dengan gedung Ilmu atau sebuah universiti dimana drpd perwatakan ibunya banyak mengajarnya tentang erti perjuangan dalam hidup. Dia tidak tahu bila ibunya makan, dia tidak tahu bila ibunya tidur dan dia tidak nampak pun ada waktu rehat bagi ibunya....sebaliknya di universiti tempat beliau mengajar, pelajar wanita sibuk memperjuangkan emansipasi wanita. Meskipun ibunya tidak berpelajaran tinggi tapi banyak yg beliau belajar tentang kehidupan dan perjuangan sebenarnya dari ibunya...kerana itulah dia menganggap ibu adalah pentafsir kpd satu kehidupan dan perjuangan.