Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, August 22, 2009

RAMADHAN: HARGAILAH KEDATANGANNYA

Oleh: Najib 'Afif bin Arip

Bulan Ramadhan, penghulu segala bulan telah tiba. Pada bulan ini seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa. Bulan ini merupakan bulan yang dipenuhi pelbagai keistimewaan. Inilah musim yang mana amal ibadah yang dilakukan akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah SWT.

Sesungguhnya rugilah mereka yang tidak merebut peluang yang terkandung di dalam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda bahawasanya "berapa banyak orang yang berpuasa, hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga semata-mata." Puasa bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum semata-mata, sedangkan hati tetap keras dan cenderung kepada kemaksiatan. Telinga asyik mendengar lagu-lagu yang melalaikan, mata dibiarkan bebas memandang tanpa batasan dan mulut tidak dijaga dari kata nista dan menipu. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda "Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak akan mempedulikan usahanya dalam meninggalkan makan dan minum".(HR:Bukhari)

Bagi orang yang merindukan kehadiran bulan ini, bulan Ramadhan disambut dengan penuh kegembiraan. Bulan ini merupakan bulan yang menyuburkan jiwa mereka. Meskipun perut dalam keadaan kosong, namun hati mereka tetap penuh terisi. Ramadhan di hati orang-orang salih merupakan suatu keindahan dan suatu nikmat. Sesungguhnya puasa itu tidak akan terasa keindahan dan nikmatnya melainkan dengan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.

Mungkin ada di kalangan kita yang tertanya-tanya mengapakah kita harus berpuasa? Mengapa perlu kita merasakan lapar dan dahaga? Mengapa perlu kita berpenat lelah bangun di malam hari mengimarahkan Ramadhan? Apa yang kita inginkan dari semua ini? Apa tujuan semua ini? Apa yang akan kita raih?

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud " Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." Jelasnya di sini arahan berpuasa daripada Allah SWT ini bukanlah suatu yang sia-sia bahkan ianya mampu menjadikan seseorang bertaqwa. Baik kita mengetahui hikmah sesuatu perkara yang diperintahkan oleh Allah mahu pun tidak, kita wajib melaksanakannya. Sesungguhnya pasti ada kebaikan pada setiap yang diperintahkan oleh Allah SWT.


Bagaimanakah perasaan taqwa kepada Allah mampu dipupuk melalui puasa? Imam al-Qasthalani mengatakan "Puasa itu mempunyai nilai-nilai yang tinggi. Antaranya menjadikan hati kita lembut dan air mata mudah mengalir. Itulah yang mendatangkan kebahagiaan. Sesungguhnya kekenyangan itu akan menghilangkan cahaya kebaikan, dan menjadikan kerasnya hati serta mendorong untuk berbuat yang haram." Jika demikian halnya, apa hubungan makan minum dengan taqwa?


Ketaqwaan lahir daripada rasa ketakutan kepada Allah SWT dengan meninggalkan segala larangannya dan melaksanakan segala suruhannya. Cuba kita tanyakan kepada diri kita,mengapa kita tidak makan sembunyi-sembunyi ketika berpuasa? Bukankah tidak sukar untuk melakukan hal ini? Bukankah boleh saja untuk kita meminum air ketika berwudhuk jika kita mahu? Bukannya ada orang tahu pun. Tentulah jawapannya adalah kerana anda mengetahui bahawa Allah SWT selalu melihat, memperhatikan serta mengetahui semua hal, baik yang tersembunyi mahu pun yang zahir.

Inilah suatu ikatan kita dengan Yang Maha Mengetahui untuk selalu takut dan tunduk kepada-Nya. Ini merupakan suatu sifat yang penting bagi jiwa kita kerana puasa adalah sebuah kepercayaan dan tanggungjawab dalam jiwa kita. Tidak ada yang mengetahui dan memantau puasa kita melainkan Allah SWT. Puasa adalah rahsia antara kita dan Allah SWT. Andai bukan kerana takut dan tunduk kepada Allah SWT, sudah tentu kita tidak akan mampu bertahan dengan godaan nafsu ketika berpuasa. Namun, seperti yang telah disebutkan tadi, tidaklah cukup sekadar kita menahan lapar dan dahaga. Rasa kepatuhan tersebut haruslah disuburkan lagi dengan meninggalkan segala perkara maksiat dan kemungkaran, barulah lapar dan dahaga berkesan dalam melahirkan sifat taqwa.


Sesungguhnya hikmah berpuasa dalam membangunkan niai-nilai spiritual tidak dapat dinafikan. Banyak lagi sebenarnya hikmah yang terkandung padanya dalam membangunkan nilai-nilai spiritual selain contoh yang telah diberikan. Tidak syak lagi bulan Ramadhan merupakan "madrasah tarbiyyah” bagi membentuk jiwa manusiawi. Alangkah ruginya jika "madrasah tarbiyyah” ini yang mana modul-modul latihannya yang datang daripada Allah SWT tidak kita ikuti. Bukankah Allah SWT pencipta kita, sudah tentulah Allah mengetahui apa yang terbaik bagi diri kita.

Ketaqwaan yang terhasil ketika di “madrasah tarbiyyah” Ramadhan kesan daripada sifat-sifat manusiawi yang terpupuk hasil daripada puasa dan amalan-amalan ketika di bulan Ramadhan. Sebagai contoh puasa boleh memberi kesedaran tentang perlunya mereka yang miskin, tidak berkemampuan serta kurang upaya untuk dibantu. Dorongan untuk membantu ini adalah hasil daripada puasa yang mampu memberi kefahaman kepada mereka yang berpuasa erti kemiskinan, kelaparan dan kesusahan.

Hakikat hikmah Ramadhan tidak hanya berlegar di sekitar spiritual dan kerohanian semata-mata, bahkan kewajiban berpuasa di bulanRamadhan juga terbukti kebaikannya dan kelebihannya dari sudut saintifik. Berpuasa di bulan Ramadhan mampu menyihatkan tubuh badan. Sebagai contoh,hal ini terbukti melalui ujian yang dijalankan di Universiti Sains Perubatan Tehran oleh Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya pada terhadap sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadhan. Pemeriksaan darah bagi mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus,protein, albumin,follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosrerone, prolactin, luteinizing hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 dilakukan sebelum Ramadhan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadhan. Di samping itu berat badan mereka ditimbang.

Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL (low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high density lipoprotein) meningkat.

Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan puasa pada bulan Ramadhan tidak memudaratkan kesihatan. Malah sebaliknya ia memberi kesan yang baik kepada metabolism badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutama yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. Hal berkaitan hikmah puasa dari sudut saintifik ini ada dinyatakan oleh Dr Danial Zainal Abidin dalam buku penulisan beliau yang bertajuk Quran Saintifik.

Menyedari hakikat yang terkandung di dalam bulan Ramadhan maka sepatutnya kita berusaha keras bagi mendapatkan hikmah yang terkandung padanya. Amalan kebaikan di bulan ini hendaklah dilipat kali gandakan. Daripada Ibnu Abbas R.A. dikhabarkan “Nabi SAW adalah manusia sangat pemurah dan baginda lebih pemurah di bulan Ramadhan” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Contoh seperti inilah yang harus kita ikuti.Ramadhan bukan sahaja sebagai “madrasah tarbiyyah” tetapi juga bulan ini merupakan bulan pesta ibadah buat umat Islam.

Antara amalan yang sangat digalakkan untuk dilakukan dalam bulan Ramadhan ialah membaca al-Quran. Tambahan pula turunnya al-Quran ke langit dunia adalah pada bulan Ramadhan. Oleh itu, sebagai menghargai peristiwa tersebut, ketibaan Ramadhan ini sewajarnya kita jadikan saat terbaik menghayati dan mendampingkan diri dengan al-Quran iaitu dengan memperbanyakkan bacaan serta menghayati isi kandungannya. Rasulullah SAW pernah bersabda “Sebaik-baik kamu ialah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Begitulah hebat kesan dari mukjizat al-Quran apatah lagi seandainya amalan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW iaitu membaca dan mengajarkan al-Quran itu disuburkan pembudayaannya ketika di bulan Ramadhan.

Dalam bulan Ramadhan juga terdapat suatu malam yang dinamakan lailatul Qadar. Malam ini telah disebutkan keistimewaannya di dalam al-Quran sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan. Berkenaan berlakunya malam tersebut terdapat banyak khilaf di kalangan ulama.Namun pandangan yang dianggap kuat ialah berlakunya malam lailatul Qadr ini pada salah satu malam dalam tempoh 10 hari terakhir Ramadhan. Menyedari hakikat ini maka sepatutnya semakin kita menjengah ke hujung Ramadhan, semakin hebat ibadah yang dipersembahkan, bukannya semakin lalai akibat tenggelam dalam tawaran-tawaran pusat membeli belah dengan “Raya Sale” hingga terlupa dengan tawaran Allah SWT.

Sesungguhnya bulan Ramadhan merupakan bulan yang sungguh istimewa. Rebutlah peluang nikmat Ramadhan yang sedang kita kecapi dan gunakanlah peluang Ramadhan kali ini sebaik mungkin kerana tiada sebarang jaminan kita masih boleh beribadah dan berpuasa pada bulan Ramadhan akan datang. Kita harus ingat, jika hari ini kita masih hidup dan dapat meraikan kemenangan menjalani ibadah puasa, apakah kita boleh pastikan bahawa kita masih lagi hidup untuk Ramadhan akan datang?

Malaikat Jibril a.s pernah muncul di hadapan Nabi SAW semasa baginda berdiri di atas tangga mimbar. Kata Jibril, “celakalah siapa yang melalui bulan Ramadhan yang diberkati tanpaa memperoleh keampunan (dari Allah SWT).” Apa reaksi Nabi? Baginda lantas mengaminkannya. Ketahuilah bahawasanya lafaz celaka tersebut merupakan suatu “pukulan” yang amat berat kepada mereka yang tidak menghargai kedatangan Ramadhan. Maka hargailah kedatangan Ramadhan dengan memperbanyakkan amal pada bulan tersebut supaya kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang celaka tersebut.

No comments: