Oleh:NAJIB 'AFIF BIN ARIP
Budaya hedonistik merupakan suatu budaya yang didasari oleh fahaman yang berlandaskan nafsu. Atas landasan inilah manusia yang kontang hatinya terhadap penghayatan nilai murni Islam membina persepsi hidup mereka. Mereka merupakan golongan yang hidup dengan melihat aspek keseronokan sebagai segala-galanya. Di dalam kamus hidup mereka kehidupan ini adalah demi mencari keseronokan nafsu.Atas dasar inilah mereka mereka mengamalkan gaya hidup berseronok-seronok dengan corak pakaian, hiburan, ketagihan malah, malah seks bebas yang akhirnya menimbulkan kerosakan kepada diri dan peribadi.
Penyakit sosial ini semakin ketara menular di dalam masyakat era milenium kini khususnya dalam kalangan remaja.Antara faktor terbesar yang menyumbang kepada menularnya penyakit sosial ini ialah faktor media massa. Remaja amat terdedah kepada corak hiburan terutamannya dari barat seperti muzik dan lagu, filem-filem dan internet. Sikap remaja yang suka meniru menyebabkan pengaruh buruk yang dibawa oleh media massa terkesan dalam kehidupan seharian mereka.
Lihat saja fenomena yang berlaku pada masa kini. Seandainya dilakukan uji bakat untuk menjadi artis, berduyun-duyun anak muda yang sanggup berbaris panjang demi merealisasikan impian mereka. Inilah kesan pengaruh barat yang semakin menular dalam jiwa anak muda. Mereka di sana sibuk mengejar populariti dengan pelbagi rancangan realiti, maka kita di sini pun turut terkena tempiasnya. Hal ini dilihat sebagai suatu yang membimbangkan kerana budaya hedonistik ini mampu menghakis budaya ilmu yang sepatutnya diamalkan oleh anak muda.
Kesan daripada pemikiran hedonisme yang melanda masyarakat, maka lahirlah masyarakat yang fanatik terhadap artis. Ianya menjadi lebih parah lagi apabila artis yang menjadi pujaan itu membawa pengaruh unsur-unsur negative ke dalam diri peminat-peminatnya. Para ilmuwan agamawan Islam yang sepatutnya didampingi dipandang sepi kewujudannya sebaliknya artis disanjung dan dijulang semahu-mahunya. Hinggakan apabila hilangnya dari dunia ini seoarang tokoh ilmuwan dan agamawan adakalanya tidak disedari oleh masayarakat. Namun, apabila meninggalnya seorang artis, mereka yang tidak mengenali artis tersebut pun akan mengenalinya lantaran banyaknya liputan berkenaan kematiannya di dada-dada akhbar dan televisyen
Seharusnya pihak media mestilah lebih berperanan sebagai wadah pembugar budaya ilmu di dalam masyarakat. Golongan ilmuwan dan agamawan haruslah ditonjolkan sebagai ikon anak muda untuk dicontohi. Namun hakikatnya, sukar untuk kita melihat keberkesanan media dalam pembentuka idealisme dan intelektualisme dalam kalangan masyarakat. Yang jelasnya masyarakat lebih terkesan dengan arus pengaruh hiburan yang dibawakan oleh media khususnya media elektronik seperti televisyen dan internet.
Budaya hedonistik yang menular dalam masyarakat menyebabkan anak muda khususnya mengalami kecelaruan identiti. Mengulas berkenan isu ini, Prof. Dr. Sidek Baba menyatakan kecelaruan sering dikaitkan dengan hilang pedoman dan juga hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan sebagai perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan. Lebih pedih lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hiang pertimbangan diri iaitu membina’idola’ dan ‘diva’ yang bukan bersifat fitrah. Mengangumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan imej diri tidak dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan teradap pembangunan tamadun bangsa. Remaja yang terjebak dengan kecelaruan ini bakal menjadi beban kepada masyarakat dan Negara.
Menyedari hal ini maka langkah pencegahan harus dipraktikkan. Dalam Islam sendiri, pendekatan pencegahan lebih baik dari mengubati. Sememangnya media antara salah satu faktor utama kepada berlakunya gejala sosial namun yang membuat pilihan kepada faktor ini ialah manusia itu sendiri.. Kekebalan dalam menangkis pengaruh sekitar yang negatif baik dari media mahupun factor-faktor yang lain memerlukan pendidikan yang bermula semenjak awal usia lagi. Pendidikan yang bermula semenjak awal ini akan menjadi imunisasi ke dalam jiwa remaja dari dijangkiti virus penyakit sosial.
Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam proses pendidikan sedari awal. Sekiranya pertumbuhan yang berlaku kepada anak-anak tidak disuburkan dengan ilmu dan ketrampilan menerusi watak keibuan dan kebapaan, maka pembesaran anak bakal mengalami kelompangan yang mudah dimasuki oleh unsur-unsur negatif.Tambahan pula pada masa kini cabaran dalam pendidikan anak-anak semakin hebat.
Hakikat ini dapat dilihat apabila kanak-kanak semanjak kecil lagi telah diasuh menjadi penghibur. Tidak cukup dengan rancangan reliti yang melibatkan remaja, kanak-kanak juga turut menjadi mangsa arus hiburan menerusi rancangan realiti. Kita dapat melihat pada masa kini, ada stesen televisyen yang menganjurkan rancangan realiti hiburan untuk kanak-kanak. Yang menyedihkan, kanak-kanak yang spatutnya dididik dengan didikan fitrah ini telah dicemari fitrahnya oleh ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa mereka yang memberi galakan terhadap mereka untuk mereka menjadi penghibur cilik yang akhirnya akan membunuh rohani anak-anak tersebut.
Benarlah pandangan Syed Qutb dalam karyanya Ma’alim Fi-l Tariq yang menyatakan bahawa umat Islam telah kembali ke era Jahiliah dengan suasana kehidupan yang menolak kebenaran melalui pemujaan hiburan dan kebendaan yang sangat kritikal. Karya tersebut telah ditulis puluhan tahun yang lalu. Sekiranya zaman tersebut pun budaya hedonistik sudah mula menular, apatah lagi dunia pada masa kini yang ditambah lagi dengan gaya hidup yang serba canggih serta pengaruh globalisasi yang sukar untuk disekat.
Menyentuh berkenaan pendidikan anak – anak, ustaz Hasrizal Jamil menyatakan bahawasanya anak-anak mestilah dilatih untuk meningkatkan upaya memilih tatkala upaya mengawal terhadap mereka oleh ibu bapa semakin berkurang apabila mereka semakin membesar. Dengan erti kata yang lain, ibu bapa harus melatih si anak dengan kemahiran membuat keputusa dan pilihan yang bijak berlandaskan lunas-lunas Islam. Sebagaimana ibu bapa menjaga makan dan minum anaknya agar fisiologi si anak meningkat dewasa dengan sihat, begitulah juga perkara yang harus dilakuakan terhadap jiwa dan jati diri mereka. Ini bagi memastikan jiwa dan jati diri si anak mampu menjadi dewasa sebagaimana dewasanya fisiologi mereka.
Dalam usaha mencegah gejala sosial, selain menjaga amal ibadah, anak muda juga harus menyibukkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Dengan menyibukkan diri kepada perkara-perkara yang berfaedah akan menyukarkan nafsu menjajah pemikiran. Kerana itulah pepatah arab ada mengungkapkan yang bermaksud “air yang bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang, (tidak dinamik) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu”.
Walau pun kita tidak menafikan, faktor luaran seperti televisyen, internet serta rakan-rakan merupakan antara faktor-faktor yang mendorong ke arah menularnya budaya hedonistik, namun kita juga tidak boleh lupa terhadap faktor dalaman. Faktor inilah sebenarnya yang menjadi perosak utama kepada diri seseorang, itulah dia nafsu. Satu-satunya cara untuk mencegah faktor ini ialah dengan mengukuhkan hati dengan keimanan kepada Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda “Sesungguhnya di dalam jasad manusia itu terdapat satu ketul darah, apabila baik darah itu, baiklah seluruh anggota jasad, sesungguhnya darah tersebut adalah hati.”(HR: Bukhari dan Muslim)
Hati bertanggungjawab terhadap seluruh badan, kerana itu memberikan tumpuan yang serius untuk membetul dan meluruskannya adalah perkara yang penting terhadap umat Islam. Apa yang terzahir melalui perbuatan merupakan cerminan kepada apa yang terkandung di hati. Oleh yang demikian, peliharalah hati dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Berbahagialah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah orang yang mengotorinya”
(asy-Syams:9-10)
Dalam mengupas berkenaan tafsir ayat ini, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, seorang pakar perundangan Islam yang tidak asing lagi di zaman ini, menjelaskan beruntunglah orang yang membersih dan mendidik, mengembang dan meninggikan dirinya dengan takwa dan amalan soleh dan amat rugilah orang yanag menyesatkan dirinya sendiri, menyeleweng dan mencuaikannya tanpa mendidik dan membersihkannya dengan amalan ketaatan dan amalan soleh.
No comments:
Post a Comment