Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, March 5, 2010

Prihatinkah Kita?

Oleh: Najib `Afif Arip
Wajah comel adik Syafiah Humairah

Baru-baru ini Malaysia telah dikejutkan dengan peristiwa kematian adik Syafiah Humaira Sahri yang berumur 3 tahun. Lebih tragis lagi apabila kematian tersebut adalah berpunca daripda penderaan yang telah dilakukan sekian lama. Lantaran itu, pihak polis telah menahan bebrapa individu yang rapat dengan suspek termasuk ibu syafiah. Menurut laporan media, polis percaya beberapa individu tertentu yang rapat dengan suspek tahu berkenaan penderaan berulang tersebut.

Hati insan siuman mana yang tidak sedih dan sebak melihat si kecil yang tidak brdosa ini diperlakukan seperti benda yang tidak bernyawa. Pendarahan pada kulit kepala dan otak serta serta kerosakan yang teruk pada buah pinggangnya diketahui menjadi punca kematianya setelah bedah siasat. Keadaan ini cukup untuk menggambarkan betapa peritnya penderitaan yang tepaksa dilalui oleh anak kecil ini.

Media melaporkan syafiah Humaira meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu pada senja khamis lalu. Syafiah dibawa oleh teman lelaki ibunya yang juga suspek kejadian ke hospital dan dittinggalkan di wad kecemasan. Turut dilaporkan beberapa saksi sebagai berkata kanak-kanak malang itu ditampar, dipijak pada perut dan disepak beberapa kali oleh suspek di padang bola di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, sebelum dia dibawa ke hospital.

Kejadian sadis ini membawa kita kepada persoalan sejauh mana keperihatinan masyarakat kita dalam soal kemanusiaan? Apakah telah hilang nilai kemanusiaan dalam diri kita hinggakan anak kecil yang baru mengenal dunia ini tidak dipedulikan penderitaannya sedangkan jiran tetangga sudahpun mendapat petanda awal berlakunya unsur-unsur penderaan pada anak kecil ini. Malangnya apabila petanda-petanda tersebut tidak dipedulikan hingga akhirnya membawa kepada kehilangan jiwa barulah masing-masing mula membuka pekung. Alangkah baik sekiranya pekung ini dibuka sedari awal.

Persoalan menjadi lebih rumit apabila memikirkan tentang si ibu. Apakah si ibu benar-banar prihatin terhadap anak jagaannya? Si ibu pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia pernah ternampak luka dan lebam di badan syafiah namun apabila ditanya syafiah memberitahu bahawa kesan tersebut akibat terjatuh ketika bermain. Ringkas sungguh pemikiran si ibu ini. Jika diteliti hasil bedah siasat terhadap Syafia Humairah Sahari di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), doktor menemui kesan luka dan lebam seluruh badan, selain kesan penderaan lampau. Memetik kata-kata Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Bakhtiar Rashid, hasil bedah siasat mendapati kesan kecederaan lama akibat penderaan lampau, termasuk yang dikesan beberapa hari sebelum kematiannya menunjukkan mangsa didera secara berterusan.Kecederaan luaran yang baru dan lama itu dipercayai disebabkan pukulan dengan benda keras dan kesan hentakan kuat. Bahagian belakang tubuh mangsa juga ada kesan lebam selain leher, pipi dan bahunya

Tidakkah kenyataan-kenyatan yang disebutkan sebentar tadi menggambarkan keadaan kecederaan fizikal syafiah serius dan tidak sedikit? Bahkan kesan-kesan penderaan tersebut merupakan kesan lampau termasuk kesan baru yang menurut kata Bakhtiar berlakunya penderaan yang berterusan terhadap Syafiah. Namun mengapa kesan-kesan penderaan ini hanya terbongkar setelah jenazah syafiah yang tiba di hospital? Tidak adakah sebarang usaha yang telah dilakukan oleh si ibu untuk menghantar anaknya ke mana-mana pusat perubatan bagi merawat anaknya sebelum ini atau pun si ibu tidak perasan kesan-kesan di seluruh badan yang terdapat pada tubuh badan anaknya? Sesungguhnya Allah SWT yang lebih mengetahui jawapan kepada persoalan-persoalan ini.

Namun kes syafiah ini harus dijadikan iktibar. Dalam kehidupan bermasyarakat, apatah lagi sebagai seorang muslim seharusnya sifat mengambil peduli perlu ada dalam diri kita. Pepatah melayu yang mengatakan "jangan jaga tepi kain orang" harus diberi pentafsiran yang tepat, selari dengan syariat islam itu sendiri. Sememangnya Islam merupakan agama yang menghoramati hak peribadi individu hinggakan persoalan berkenaan masa larangan anak-anak untuk masuk ke dalam kamar ibu bapa turut dijelaskan di dalam al-Quran. Namun ini tidak bermakna seseorang individu itu boleh melakukan sebarang perkara yang dikehendakinya tanpa sebarang cegahan. Hal ini telah diperkukuhkan lagi berdasarkan firman Allah SWT:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُواْ يَعْتَدُونَ كَانُواْ لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُواْ يَفْعَلُونَ

yang bermaksud:

Telah dilaknat orang-orang kafir dari bumi Israil dengan lisan Daud dan Isa Putra Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka, satu dengan yang lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sessungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat.


Dewasa kini perpaduan dalam kalangan umat Islam kian terhakis baik dalam negara mahu pun luar. Budaya "aku aku, ngko ngko" kian menular dalam masyarakat. Adakalanya jiran sebelah rumah pun sukar untuk bertegur sapa apatah bertanya khabar. Inilah reaksi kepada hakisan iman yang kian meruncing dalam jiwa ummah ini. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya "Tidak sempurna iman seseorang kamu selagimana dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri." Sebagaimana kita mengambil berat dengan diri sendiri begitu jugalah kita seharusnya mengambil berat jua terhadap masyarakat di sekeliling kita.

Hakisan rasa kasih dan sayang sesama manusia yang kian ketara ini adalah berpunca daripada badai nafsu yang melanda manusia. Umat Islam kini kian leka. Al-Quran dan Sunnah tidak lagi menjadi pegangan. Sebaliknya material dan hiburan lebih diutamakan. Belajarlah kita daripada kisah-kisah umat terdahulu yang telah dibinasakan Allah SWT. Kebinasaan mereka adalah berpunca daripada keingkaran mereka dalam mematuhi suruhan Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Yang bermaksud:

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya (al-A'raf:96)



No comments: