Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, November 3, 2010

Bersyukurkah Kita?

Oleh: Najib 'Afif bin Arip



Peluang menjadi sukarelawan di sebuah rumah anak yatim bebrapa tahun yang lalu memberi pengalaman yang sungguh bermakna buat diriku. Walaupun telah bertahun ia berlalu, namun kenangan di sana masih segar di ingatanku. Pengalaman ini telah memberi aku pengajaran akan erti sebuah kesyukuran.


Masihku ingat lagi bagaimana keceriaan anak-anak penghuni rumah anak yatim tersebut menyambut ketibaanku. Walaupun aku merupakan pendatang baru di rumah anak yatim tersebut, namun kemesraan yang ditonjolkan oleh mereka membuatkan aku rasa selesa dan tidak janggal berada di sana. Tidak sampai sehari aku berada di sana, aku sudah mampu bergurau senda dengan penghuni rumah anak yatim tersebut yang kesemuanya merupakan penghuni lelaki.


Sepanjang berada di sana, pelbagai kisah duka yang aku dengari dari penghuni rumah anak yatim tersebut yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah. Tidak semua mereka yang berada di situ kerana kehilangan orang tua, ada juga di antara mereka yang menjadi mangsa
penceraian yang berlaku antara ibu dan bapa. Namun, apa jua perbezaan cerita yang mereka bawakan padaku mendorong aku memikirkan sebuah persoalan. Dan persolan inilah yang ingin aku kongsikan bersama rakan-rakan dalam coretanku ini. Apakah kita benar-benar bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita?


Sahabat-sahabat, dalam kalangan kita mungkin ada yang hidup dalam limpahan kemewahan, punyai ibu dan bapa sebagai tempat penggantungan. Tetapi sahabat-sahabat, anak-anak yatim tersebut tidak berpeluang hidup dalam kemewahan. Mereka tiada ibu bapa yang sentiasa memberi curahan kasih sayang seperti yang diterima oleh anak-anak lain seusia mereka. Tatkala mereka melihat kebahagiaan insan lain yang punya ibu dan bapa, hati mereka meruntun kesedihan. Bukan kerana cemburu tapi kerana mereka turut dambakan kasih sayang dari ibu dan bapa sebagaimana rakan-rakan mereka yang lain perolehi.


Mungkin juga ada dalam kalangan kita yang pernah merasai hidup dalam kepayahan. Namun, bersabarlah saudaraku kerana ujian Allah SWT itu adalah tanda kasihNya pada dirimu. Allah ingin dirimu seperti layang-layang yang semakin kuat angin menderu, semakin tinggi ia melayang. Semoga ujian yang dikau lalui meninggikan lagi keimananmu kepada Allah SWT. Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

“Keadaan orang mukmin menakjubkan kerana segala keadaan yang dihadapinya menjadi baik baginya. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur dan itu adalah baik baginya. Sebaliknya jika dia menghadapi kesusahan dia bersabar dan itu adalah baik baginya”


Justeru sahabat-sahabatku, menyedari hakikat ini bersyukurlah kita atas nikmat iman dan islam yang telah Allah kurniakan kepada kita. Apakah yang dikatakan dengan kesyukuran itu? Apakah kesyukuran itu cukup sekadar melafazkan “Alhamdulillah”.? Sheikh Muhammad ‘Abduh mena’rifkan syukur sebagai berikut, “Dan tidak dikatakan bersyukur kecuali jika seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat-nikmat itu dalam hal-hal untuk apa nikmat itu diberikan”. Ini bermakna, tidak cukup bersyukur itu sekadar dengan lafaz ‘Alhamdulillah’. Syukur itu perlu dibuktikan juga melalui perbuatan.


Maka, bolehlah kita katakan bahawasanya kesyukuran yang hakiki itu ialah bilamana kita melakukan suruhan Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Sebagaimana
pengertian iman adalah membenarkan dengan hati, diucapkan dengan lisan, dan diamalkan dengan tindakan (perbuatan), maka begitulah juga perihalnya dengan syukur. Justeru,perbuatan kita itu sebenarnya menggambarkan sejauh manakah kesyukuran kita kepada Allah SWT. Dicatatkan dalam Shahih al Bukhari, dari Aisyah radliyallah 'anha, dia berkata: "Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berdiri shalat (malam) hingga kedua kaki beliau bengkak." Lalu Aisyah berkata kepada beliau, "Kenapa engkau lakukan ini, ya Rasulullah, bukankah Allah telah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang?" Lalu baginda menjawab:
أَفَلَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا
"Apakah tidak boleh aku suka menjadi hamba yang bersyukur." (HR. Bukhari)


Sahabat-sahabatkuku, ayuh kita contohi Rasulullah SAW yang tekun beribadah. Walaupun baginda tahu hakikat bahawa dosanya telah diampunkan oleh Allah SWT. namun ianya tidak pernah mengurangkan ketaatannya berbadah kepada Allah. Bagaimana pula kita yang penuh dengan dosa, entah diampunkan entah tidak tapi masih lagi berat untuk beribadah memohon keampunan dari Allah SWT?



Kesyukuran tidak sekadar memutikkan bunga kecintaan kepada Allah SWT bahkan ianya mampu menambahkan rezeki seseorang. Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Dan ingatlah, tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih".
"

Sheikh Zarruq menyatakan “mensyukuri nikmat menjamin tiga perkara: Yang pertama, terpelihara nikmat daripada hilang dan berubah keadaan, iaitu dengan berpindah dan bertambah nikmat. Yang kedua berkat nikmat pada kesudahan. Yang ketiga berhubung hamba dengan tuannya secara selamat tanpa kecacatan”. Justeru janganlah kita lupa untuk mensyukuri nikmat Allah SWT dengan melakukan perkara ketaatan dan meninggalkan laranganNya.


Suatu ketika aku pernah ditanya oleh seseorang,“menurut ayat al-Quran Allah akan menambahkan nikmat kepada orang yang bersyukur. Tapi kenapa ramai orang yang tidak berpegang pada ajaran Islam yang dilimpahkan dengan nikmat kekayaan”. Jawapannya adalah nikmat itu bukanlah suatu anugerah sebaliknya adalah istidraj. Istidraj ialah suatu kelebihan atau keunggulan yang diberikan Allah kepada para hamba-Nya yang bukan daripada golongan orang yang bertaqwa dan soleh, termasuk juga sebahagian hambaNya yang kafir dan menentang Islam.


Allah SWT sengaja memberikan mereka kelebihan tersebut. Kelebihan ini akan menjauhkan lagi mereka daripada Allah SWT yang akhirnya mereka akan diazab dengan siksaan yang dahsyat daripada Allah SWT. Jadikanlah lipatan sejarah kisah Firaun yang dilimpahi dengan nikmat akhirnya mati dalam kehinaan sebagai pengajaran. Inilah balasan bagi mereka yang pada hatinya penuh keegoan dari mentaati Allah
SWT. Mereka dibiarkan Allah SWT berada di puncak seketika agar jatuhnya mereka dengan satu jatuhan yang lebih menyiksakan. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 44:

فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُواْ بِمَا أُوتُواْ أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka gembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa



Ibnu Ata’illah berkata di dalam kitab al-Hikam, “hendaknya engkau berasa takut jika engkau selalu mendapat kurnia Allah, sedangkan engkau tetap dalam perbuatan maksiat kepadanya, Jangan sampai kurnia itu semata-mata istidraj oleh Allah”. Justeru hendaklah kita memuhasabah diri selalu, apakah diri kita berada dalam ketaatan kepada Allah atau sebaliknya? Apatah lagi jika limpahan nikmat terus dimiliki sedang diri jauh dari Ilahi, lebih-lebih lagilah harus ditakuti.

Ayuhlah kita mengambil kesempatan untuk menjadi orang yang sentiasa bersyukur selagi nyawa belum terpisah dari jasad. Janganlah kita menjadi orang yang kufur tehadap Allah SWT. Ingatlah janji Allah SWT bahawa azab Allah amat pedih terhadap mereka yang kufur. Sesungguhnya Allah SWT itu maha adil. Ambillah pengajaran dari kisah umat-umat yang terdahulu yang telah dimusnahkan oleh Allah SWT akibat kekufuran mereka dan keegoan mereka dari mentati Allah SWT. Janganlah sehingga azab Allah tiba, barulah kita tersedar dari kelenaan. Apakah tatkala itu kita sempat bertaubat keranan kematian itu tidakmenunggu masa dan ia boleh datang secara tiba-tiba? Ingatlah Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 7:

ولَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُون

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka


Justeru sahabat-sahabatku, marilah kita bersama-sama memuhasabah diri kita. Renungilah diri kita dengan mata hati yang disuluhi keimanan. Selalulah mengingati Allah dan memohon keampunan dariNya agar kita selalu tergolong dalam kalangan mereka yang bersyukur.

No comments: