Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, November 19, 2009

PERIHAL BERSANGKA BURUK

oleh: Najib 'Afif bin Arip


Sabda Rasulullah SAW:


"Berhati-hatilah kamu daripada berprasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong ucapan." (H.R.: Bukhari dan Muslim)



Marilah sama-sama kita ikuti episod di bawah buat renungan bersama.



"Eh, joyah, ngko tengok tu. Tu kan Timah," beritahu Joyah kepada Eton sambil menuding jari ke arah kereta proton waja yang sedang menyusur di jalan raya.



"Eh, ha'ala tapi sape laki yang drive kete tu ? Berdua je pulak tu" balas Eton kehairanan.

"Aku rasela mesti pakwe dia tu kan", Joyah mula meneka.



Ngko biar betul, takkanla Timah nak buat cam tu, Dia kan budak baik,"bela Eton.



Joyah cuba mempertahankan kata-katanye, "Zaman sekarang ni Eton, manusia macam-macam. Nampak je baik, pakai tudung labuhla tapi sebenarnye dialah yang teruk. Cuba ngko tengok, kita ni yang nampak brutal pun tak pernah keluar dating. Dia yang nampak warak kononnye lagi teruk dari kita".



"Betul jugak kata ngko tu kan, zaman sekarang ni bukan bole percaya. macam-macam bole terjadi. Lagipun setahu aku Timah tu mane ade adik atau abang yang tinggal kat area Bangi ni. Bole jadi jugakla yang tu pakwe dia". Eton mula terpengaruh dengan kata-kata tipah berkenaan Timah sebentar tadi. Mereka mula bersangka buruk terhadap Timah walaupun pada hakikatnya mereka sendiri belum tahu lagi sejauh mana kebenarannya. Mereka pun berlalu pergi, pulang ke rumah mereka di Kajang dengan membawa bersama sangkaan buruk tersebut di jiwa mereka.



Setibanya di rumah, Joyah mula membuka cerita kepada kawan-kawan lain, Ira, Azi dan Ani "Eh, ngkorang semua nak tau tak? Tadikan waktu aku ngan Eton pegi bangi kitaorang nampak Timah naik kete berdua ngan laki. Aku rase tu pakwe diala". Ketiga-tiga mereka yang mendengar cerita tersebut mengerutkan dahi, terkejut mendengar cerita tersebut.



“Iye, betul memang kitaorang Nampak dengan mata kepala kitaorang sendiri,” Eton mencelah.



"Biar betul ngkorang ni .Aku kenal sangat dengan Timah tu, dia takkan keluar berdua ngan laki yang bukan mahram. Aku rase yang ngko nampak tu abang dia atau adik dia kot." Azi mula bersuara, tidak puas hati dengan cerita yang dibawa oleh Tipah.



Cuba ngko fikir Azi, Timah tu mane ade abang atau adik yang tinggal berdekatan sini. Sepanjang lima bulan kita duduk serumah ni, pernah ngko tau dia ade abang atau adik yang duduk dekat-dekat sini? Kalau abang dia ke atau adik dia datang dari jauh sana nak jumpa dia, nape tak datang jemput dia kat sini. Ni nak pegi kat bangi baru jumpa. So aku rasa sebab timah tak nak orang lain taula yang dia keluar dating dengan laki," hujah Joyah mempertahankan sangkaan buruknye itu.



"Astaghfirullah, ngko ni tak baik kate camtu. Kite pun bukan tau ape sebenarnye yang terjadi. Kalau memang itu adik dia atau abang dia, suka hati dialah nak pegi jumpe kat mane. Yang ngko nak sibuk sangat apasal? Dah, cukup! Sekarang ni aku tak nak bersekongkol dengan sangkaan buruk ngko tu. Sekarang ni lebih baik aku study daripada buat dosa fitnah orang," tegas Azi yang tidak puas hati dengan cerita Joyah dan Eton. Dalam masa yang same, Ira dan Ani hanya mendiamkan diri, tidak membela dan tidak juga mengiyakan cerita Tipah tersebut.



Lantaran tidak puas hati dengan cerita tipah tersebut maka pada malam hari tersebut Azi terus berjumpa dengan Timah untuk medapatkan kepastian dari empunya badan sendiri. Setelah Timah menjelaskan apa yang berlaku, ternyata apa yang diceritakan oleh Tipah siang tadi hanya sangkaan buruk yang tidak berasas. Sebenarnya pada siang tadi Timah telah pergi ke Bangi untuk melawat kawannye di Maktab Perguruan Islam. Kebetulan abang Timah juga datang ke bangi pada hari tersebut kerana mengikuti sebuah seminar di bangi. Maka timah pun mengambil peluang tersebut untuk meminta pertolongan abangnya untuk membawa dia pergi membeli barang di Kompleks PKNS.



Nah, apa pandangan anda setelah membaca cerita ringkas sebentar tadi? Pernahkah anda mengalami situasi tersebut. ? Jika pernah di manakah watak yang anda pegang di kala itu?



Melalui kisah ini kita akan dapati terdapat beberapa watak dengan perwatakannya yang berbeza:

1)Watak Timah: Orang baik yang menjadi mangsa sangkaan buruk rakannya

2)Watak Joyah : Orang yang mudah berprasangka terhadap orang lain

3)Watak Eton: Orang yang mudah terpengaruh dengan hasutan rakan

4)Watak Azi : Orang yang membela rakannya tatkala mendengar perihal buruk

tentang rakannya menjadi bahan bualan

5)Watak Ira dan Ani: Orang yang hanya berdiam diri tatkala perihal buruk rakannya

menjadi bahan bualan



Mari kita meneliti satu persatu berkenaan watak tersebut. Timah, watak yang menjadi mangsa dalam kisah tersebut. Orangnya baik tetapi telah menjadi bahan sangkaan buruk rakannya yang telah membuka pintu fitnah, Sesungguhnya fitnah itu boleh berlaku dengan dengan adanya sangkaan buruk terhadap seseorang.



Cuba kita renung kembali peristiwa fitnah yang telah berlaku pada Saidatina Aisyah R.A. yang telah dinukilkan di dalam al-Quran tentang peristiwa tersebut. Dalam peristiwa tersebut Saidatina Aisyah telah menjadi mangsa fitnah oleh seorang Munafiq yang bernama Abdullah bin Saba’. Fitnah tersebut bukan sekadar mempengaruhi golongan munafiq pada ketika itu bahkan beberapa orang sahabat Rasullullah SAW juga turut terpengaruh dengan cerita bawaan Abdullah bin Saba’ itu.

Fitnah tersebut telah mendatangkan keresahan dan kesedihan buat Saidatina Aisyah. Akhirnya turun wahyu al-Quran yang membela Aisyah daripada fitnah tersebut. Firman Allah SWT:




Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. (anNur:11)



Sesungguhnya dalam ayat tersebut Allah SWT telah memberi khabar berita yang mendamaikan hati Saidatina Aisyah R.A yang sedang dilanda keresahan dan kesedihan. Dinyatakan dalam ayat tersebut bahawasanya perkara buruk yang menimpa Saidatina Aisyah itu merupakan suatu yang baik buat Aisyah. Mengapa?



Hal ini kerana ujian merupakan tanda kasihnya Allah SWT kepada hambanya. Allah SWT ingin menaikkan darjat hambanya melalui ujian tersebut. Kerana itulah semakin tinggi keimanan kita kepada Allah SWT, maka semakin hebat ujian yang datang melanda. Lulus ujian itu, meningkatlah darjat kita di sisi Allah, Insyaallah. Firman Allah SWT :



Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi (al-ankabuut:2)



Percayalah bahawasanya setiap ujian yang menimpa kita pasti ada hikmahnya. Oleh yang demikian ujian yang melanda haruslah ditangani dengan ketaqwaan kepada Allah SWT. Apabila kita ditimpa dengan dengan kesusahan, ketahuilah bahawasanya Allah SWT ingn mendidik kita tentang erti kesabaran. Namun tidaklah ujian Allah SWT itu hadir hanya dalam bentuk kesusahan bahkan adakalanya sebaliknya pula iaitu dalam bentuk kesenangan. Apabila kesenangan bertamu, Allah mengajar kita erti kesyukuran.



Apabila kita dicuba dan berhadapan dengan kejahatan orang, jangan cepat melenting dan naik darah. Tenangkanlah diri dan hendaklah mengatasinya secara bijaksana. Jangan pula kita memilih jalan yang serupa dengan orang yang menganiaya kita dengan cara kita menganiayanya kembali. Firman Allah SWT yang bermaksud:



Dan mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, orang-orang itulah yang mendapat kesudahan yang baik (al-Ra’d:22)



Dan firman Allah SWT yang bermaksud:



Tolaklah perbuatan jahat dengan yang lebih baik (al-Mukminun:96)



Kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah dalam menanganinya. Sesungguhnya al-Quran dan Sunnah mengajar manusia untuk menyelesaikan sesuatu perkara secara bijaksana. Contohnya berkenaan isu fitnah terhadap wanita baik, iaitu Qazaf. Qazaf merupakan salah satu jenayah di dalam Islam yang boleh membawa kepada hukuman hudud. Firman Allah SWT:



Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik. (an-Nur:4)


Bersambung di siri yang akan datang........



Wednesday, November 18, 2009

SETIA SEORANG ISTERI / IBU

Di sebalik redup mata mu
Tersimpan satu rahsia
Yang terbuku di ruangan hati mu
Di sebalik senyuman mu

Tersirat simpulan
Deritanya hanya kau yang tahu

Kau setia menanti
Kau setia mengharungi

Biarpun ribut badai melanda
Kau teguh berdiri
Walau deru angin menderu
Kau tetap di sisi

Di atas merupakan sebahagian daripada bait-bait lagu nasyid kumpulan Wildan yang bertajuk "Setia Seorang Isteri". Tatkala mendengar lagu ini, seringkali ianya membawa fikiran saya untuk mengingati seseorang yang amat istimewa dalam hidup ini. Bukanlah isteri saya memandangkan saya masih bujang tetapi isteri kepada bapa saya iaitu emak saya



Lirik lagu tersebut mengingatkan saya kepada kesetiaan emak terhadap abah yang tidak pernah goyah. Di hadapan kami adik beradik, sentiasa jelas tergambar daripada perilaku emak, emak merupakan seorang yang setia terhadap abah. Emak sentiasa menjadi pembantu abah dalam mengemudi bahtera rumah tangga yang bilangan penumpangnya tidak sedikit iaitu seramai 11 orang.



Teringat kembali zaman kanak-kanak saya yang penuh dengan kenakalan. Sewaktu kecil ada saja perkara yang akan kami adik beradik gaduhkan. Tatkala selesai menerima hukuman daripada abah akibat kedegilan kami maka emak akan datang kepada kami untuk memujuk dan menenangkan kami. Begitulah peranan emak yang sentiasa menjadi watak pendamai tatkala kami dihukum oleh abah. Abah dan emak sentiasa memastikan dalam tindakan hukuman mereka terhadap anak-anak, anak-anak mengetahui ianya kerana kasih, bukannya benci. Hukuman yang dijalankan akan disusuli dengan rasionalnya sehingga kami menyedari akan kesalahan yang telah kami lakukan.



Dari dulu hingga kini dan sampai bila-bila, saya akan terus mengagumi pengorbanan ibu dalam membesarkan kami adik beradik. Sedari diri saya masih kecil hingga ke saat ini emak dan abah masih belum dapat berehat daripada membesarkan anak-anaknya. Begitulah pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh ibu bapa yang mempunya ramai anak. Dari muda hingga ke tua masih belum selesai tanggungjawab mereka membesarkan anak-anak. Maklumlah, kami adik beradik, dari peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan peringkat pengajian tinggi semuanya masih ada di saat ini. Mujurlah kini, dua orang abang saya, iaitu anak sulung dan kedua telah menamatkan pengajian dan bekerja, maka dapatlah meringankan bebanan tanggungan emak dan abah dalam menyara kami adaik beradik.



Menjelajah perihal kesetiaan emak, mengingatkan saya pada apa yang telah berlaku ketika ketiadaan abah di Malaysia kerana terpaksa pergi ke London selama 2 bulan atas urusan kerja. Peristiwa ini berlaku berberapa bula yang lalu tidak lama selepas abah meninggalkan Malaysia. Pada hari itu, saya menemankan emak untuk mengeluarkan wang dari bank. Setibanya kami di depan mesin ATM untuk mengeluarkan wang emak bertanya kepada saya, “Uda (
gelaran bagi anak keemapt di Perak), camne nak kuar duit ni, mak tak ingat dah ni.” Saye terkesima seketika mendengar soalan tersebut diajukan oleh emak saya memandangkan bukan baru emak memiliki kad bank tersebut. Di saat itu, barulah saya teringat walaupun emak saya memilik kad tersebut, tapi emak memberi kad tersebut kepada abah untuk disimpan bagi menguruskan soal kewangan keluarga. Bermakna, sebelum abah pergi ke London, telah sekian lama emak tidak mengeluarkan wangnya di dalam bank sendiri hingga lupa caranya untuk mengeluarkan wang.



Begitulah tingginya kepercayaan emak terhadap abah dan abah pula tidak pernah mencalari kepercayaan yang telah emak berikan kepadanya. Walaupun di dalam islam, perempuan berhak menguruskan kewangan milikinya sendiri, dan tuntutan nafkah jatuh pada suami, namun emak tak pernah bekira dengan abah tentang soal kewangan. Bagi emak, hasil titik peluhnya adalah untuk dikongsi bersama dengan abah bagi kegunaan perbelanjaan keluarga. Hatta sekiranya ade barang yang emak ingin beli, walaupun dengan menggunakan duit emak, emak akan tetap meminta izin daripada abah. Begitulah sifat seorang ibu yang sentiasa rasa berbahagia dengan memberi.



Sememangnya emak telah banyak berkorban demi anak-anaknya. Emak yang merupakan seorang guru, sentiasa bekerja baik di sekolah mahupun di rumah. Di sekolah, emak menjadi guru kepada anak-anak orang lain, di rumah emak menjadi guru kepada anak-anaknya sendiri. Masih jelas terbayang di ingatan saya bagaimana didikan emak terhadap saya dan adik beradik ketika saya di bangku sekolah rendah. Ketika itu, selalu juga saya mendapat top 5 dalam peperiksaan. Ini adalah hasil berkat daripada kesungguhan emak saya. Apabila kami adik beradik nak exam, maka emak juga turut sama seolah-olah nak exam. Emaklah yang akan bersengkang mata mengajar kami, emaklah yang akan berjaga malam, bertahajjud untuk kami, emaklah yang akan berpuasa untuk kami dan emaklah yang akan bersusah hati untuk kami. Bila memikirkannya kembali, seolah-olah emak yang akan menghadapi exam kerana kesungguhannya yang mengatasi kami yang akan menduduki exam pada ketika itu.



Hingga kini, apa yang emak lakukan ketika saya masih kecil, di bangku sekolah rendah masih emak lakukan walaupun kini saya telah berada di Universiti. Emak masih lagi bangun malam mendoakan kejayaan anak-anaknya dan emak masih lagi berpuasa untuk anak-anaknya apabila anak-anaknya menghadapi peperiksaan. Emak juga tak pernah lupa berpesan kepada kami untuk solat hajat dan tahajjud. Sedari anaknye kecil, hinggalah ke besar., pesanan inilah yang acapkali emak pesankan. Emak sentiasa mengingatkan kami bahawasanya ape yang kami miliki sekarang ni semuanya dari Allah SWT dan kerana itulah hubungan dengan Allah SWT jangan direnggangkan. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada saya dan adik beradik untuk sentiasa mentaati pesanan emak ini.



Sememangnya sebagai hamba Allah SWT kita mestilah sentiasa berharap dan berdoa kepadaNya dan bersyukur kepadaNya atas segala nikmat pemberianNya. Firman Allah SWT yang bermaksud:



“Katakanlah, siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah. Maka katakanlah, mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?”(Surah Yunus:31)



Setelah Allah SWT berikan kita pelbagai nikmat apakah patut kita sebagai hambaNya melupakanNya dan tidak bertaqwa kepadaNya. Dan kita harus menyedari bahawasanya taqwa merupakan kunci kepada kejayaan dan keberkatan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:



Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT, nescaya dia akan mengadakan jalan keluar baginya dan memberi rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka (Surah at-Tolak:2-3)



Maka, sekiranya kita bertaqwa kepada Allah SWT, InsyaAllah kita akan memperoleh kejayaan, baik kejayaan duniawi mahupun ukhrawi.



Kembali bercerita berkenaan emak, emak merupakan antara orang paling gembira sekiranya anak-anaknya balik berkumpul bersama-sama di rumah. Biasanya apabila kami adik-beradik berkumpul di rumah, maka emak dan abah akan mengumpulkan kami semua di awal pagi untuk sesi tazkirah dan emaklah orang yang paling bersemangat untuk mengadakan tazkirah. Awal-awa lagi emak sudah mengingatkan abah dan kami adik-beradik untuk sesi tazkirah. Lazimnya, abah akan mempengerusikan tazkirah tersebut. Abah akan memberi ruang kepada anak-anaknya yang ingin memberi tazkirah. Seterusnya abah akan memberi ruang kepada emak dan abah akan bercakap di akhir sesi tazkirah.



Acapkali juga dalam sesi tazkirah kami, abah dan emak akan selitkan cerita suka duka silam abah dan emak dalam membesarkan kami serta sejarah silam zaman muda mereka untuk dijadikan pengajaran buat kami. Walupun sudah selalu benar saya mendengar kisah cerita pengalaman emak dan abah tersebut, namun tak ada rasa jemu yang bertandang di hati ini, bahkan ianya bagaikan pengecas yang memberi tenaga kepada semangat ini untuk terus mara menggapai cita-cita. Biarlah saya terus menjadi pendengar setia kepada cerita-cerita mereka selagi masih diberi kesempatan kerana saya tidak akan mengetahui bilakah cerita terakhir dari mereka yang bakal saya dengari. Sesungguhnya jemputan Ilahi tidak pernah mengenal masa dan usia mungkin mereka atau mungkin saya yang akan diemput Ilahi terlebih dahulu. Mudah-mudahan Allah SWT memberi keberkatan bagi kami sekeluarga dalam meniti usia kehidupan ini.



Buat sahabat-sahabat, ketahuilah tatkala ibu bapamu memperdengarkan kisah silam, suka duka mereka dalam membesarkan kalian, janganlah kalian anggap ianya hanya leteran biasa yang tiada nilainya kerana apa yang mereka perdengarkan kepada kita bukan sekadar kisah biasa tetapi sebuah kisah cinta. Cinta mereka buat diri kita. Di sebalik kisah tersebut tersirat di dasar kisahnya sebuah cinta dan pengorbanan yang telah menjulang cita-cita di kemuncak cerita baru kita.



Pertambahan usia dan kematangan pada diri ini telah menyerlahkan hikmah di sebalik tindakan emak dan abah dalam usaha memanusiakan kami melalui kaedah didikan mereka. Bersyukur saya kepada Allah kerana mengurniakan ayah dan ibu yang tidak pernah berputus asa mendidik anak-anaknya. Terima kasih emak atas kesetiaan dan pengorbanan sebagai seorang isteri kepada abah dan ibu kepada anak-anak abah. Dan terima kasih juga buat abah yang telah menghadiahkan kami hadiah yang amat bernilai iatu cinta abah kepada emak. Dengan cinta itulah maka kami menjadi insan yang mencintai dirimu, emak dan abah.



Apa yang saya paparkan ini merupakan cebisan kisah dari kisah-kisah kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri dan juga ibu. Sungguh terlalu banyaknya pengorbanan insan bergelar ibu ini untuk dinukilkan kesemuanya. Mudah-mudah cebisan kisah ini dapat kita jadikan pedoman bersama untuk kita lebih menghargai kedua-dua orang tua kita selagi masih diberi peluang dan kesempatan.



Firman Allah SWT:



Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu maka janganlah kamu katakan kepada keduanya perkataan ‘Ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasuh aku sewaktu kecil.” (Al-Isra’: 23-24)

Saturday, September 26, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri



Di kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua insan yang mengenali diri ini. Seandaianya ade salah dan silap sepanjang perkenalan harap dimaafi. Mudah-mudahan Allah SWT menerima segala amal ibadah yang telah kita lakukan di bulan Ramadhan yang lepas. Bagi melengkapkan lagi amal ibadah puasa kita di bulan Ramadhan, maka marilah kita bersama-sama melaksanakan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal



Friday, August 28, 2009

Saturday, August 22, 2009

RAMADHAN: HARGAILAH KEDATANGANNYA

Oleh: Najib 'Afif bin Arip

Bulan Ramadhan, penghulu segala bulan telah tiba. Pada bulan ini seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa. Bulan ini merupakan bulan yang dipenuhi pelbagai keistimewaan. Inilah musim yang mana amal ibadah yang dilakukan akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah SWT.

Sesungguhnya rugilah mereka yang tidak merebut peluang yang terkandung di dalam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda bahawasanya "berapa banyak orang yang berpuasa, hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga semata-mata." Puasa bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum semata-mata, sedangkan hati tetap keras dan cenderung kepada kemaksiatan. Telinga asyik mendengar lagu-lagu yang melalaikan, mata dibiarkan bebas memandang tanpa batasan dan mulut tidak dijaga dari kata nista dan menipu. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda "Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak akan mempedulikan usahanya dalam meninggalkan makan dan minum".(HR:Bukhari)

Bagi orang yang merindukan kehadiran bulan ini, bulan Ramadhan disambut dengan penuh kegembiraan. Bulan ini merupakan bulan yang menyuburkan jiwa mereka. Meskipun perut dalam keadaan kosong, namun hati mereka tetap penuh terisi. Ramadhan di hati orang-orang salih merupakan suatu keindahan dan suatu nikmat. Sesungguhnya puasa itu tidak akan terasa keindahan dan nikmatnya melainkan dengan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.

Mungkin ada di kalangan kita yang tertanya-tanya mengapakah kita harus berpuasa? Mengapa perlu kita merasakan lapar dan dahaga? Mengapa perlu kita berpenat lelah bangun di malam hari mengimarahkan Ramadhan? Apa yang kita inginkan dari semua ini? Apa tujuan semua ini? Apa yang akan kita raih?

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud " Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." Jelasnya di sini arahan berpuasa daripada Allah SWT ini bukanlah suatu yang sia-sia bahkan ianya mampu menjadikan seseorang bertaqwa. Baik kita mengetahui hikmah sesuatu perkara yang diperintahkan oleh Allah mahu pun tidak, kita wajib melaksanakannya. Sesungguhnya pasti ada kebaikan pada setiap yang diperintahkan oleh Allah SWT.


Bagaimanakah perasaan taqwa kepada Allah mampu dipupuk melalui puasa? Imam al-Qasthalani mengatakan "Puasa itu mempunyai nilai-nilai yang tinggi. Antaranya menjadikan hati kita lembut dan air mata mudah mengalir. Itulah yang mendatangkan kebahagiaan. Sesungguhnya kekenyangan itu akan menghilangkan cahaya kebaikan, dan menjadikan kerasnya hati serta mendorong untuk berbuat yang haram." Jika demikian halnya, apa hubungan makan minum dengan taqwa?


Ketaqwaan lahir daripada rasa ketakutan kepada Allah SWT dengan meninggalkan segala larangannya dan melaksanakan segala suruhannya. Cuba kita tanyakan kepada diri kita,mengapa kita tidak makan sembunyi-sembunyi ketika berpuasa? Bukankah tidak sukar untuk melakukan hal ini? Bukankah boleh saja untuk kita meminum air ketika berwudhuk jika kita mahu? Bukannya ada orang tahu pun. Tentulah jawapannya adalah kerana anda mengetahui bahawa Allah SWT selalu melihat, memperhatikan serta mengetahui semua hal, baik yang tersembunyi mahu pun yang zahir.

Inilah suatu ikatan kita dengan Yang Maha Mengetahui untuk selalu takut dan tunduk kepada-Nya. Ini merupakan suatu sifat yang penting bagi jiwa kita kerana puasa adalah sebuah kepercayaan dan tanggungjawab dalam jiwa kita. Tidak ada yang mengetahui dan memantau puasa kita melainkan Allah SWT. Puasa adalah rahsia antara kita dan Allah SWT. Andai bukan kerana takut dan tunduk kepada Allah SWT, sudah tentu kita tidak akan mampu bertahan dengan godaan nafsu ketika berpuasa. Namun, seperti yang telah disebutkan tadi, tidaklah cukup sekadar kita menahan lapar dan dahaga. Rasa kepatuhan tersebut haruslah disuburkan lagi dengan meninggalkan segala perkara maksiat dan kemungkaran, barulah lapar dan dahaga berkesan dalam melahirkan sifat taqwa.


Sesungguhnya hikmah berpuasa dalam membangunkan niai-nilai spiritual tidak dapat dinafikan. Banyak lagi sebenarnya hikmah yang terkandung padanya dalam membangunkan nilai-nilai spiritual selain contoh yang telah diberikan. Tidak syak lagi bulan Ramadhan merupakan "madrasah tarbiyyah” bagi membentuk jiwa manusiawi. Alangkah ruginya jika "madrasah tarbiyyah” ini yang mana modul-modul latihannya yang datang daripada Allah SWT tidak kita ikuti. Bukankah Allah SWT pencipta kita, sudah tentulah Allah mengetahui apa yang terbaik bagi diri kita.

Ketaqwaan yang terhasil ketika di “madrasah tarbiyyah” Ramadhan kesan daripada sifat-sifat manusiawi yang terpupuk hasil daripada puasa dan amalan-amalan ketika di bulan Ramadhan. Sebagai contoh puasa boleh memberi kesedaran tentang perlunya mereka yang miskin, tidak berkemampuan serta kurang upaya untuk dibantu. Dorongan untuk membantu ini adalah hasil daripada puasa yang mampu memberi kefahaman kepada mereka yang berpuasa erti kemiskinan, kelaparan dan kesusahan.

Hakikat hikmah Ramadhan tidak hanya berlegar di sekitar spiritual dan kerohanian semata-mata, bahkan kewajiban berpuasa di bulanRamadhan juga terbukti kebaikannya dan kelebihannya dari sudut saintifik. Berpuasa di bulan Ramadhan mampu menyihatkan tubuh badan. Sebagai contoh,hal ini terbukti melalui ujian yang dijalankan di Universiti Sains Perubatan Tehran oleh Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya pada terhadap sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadhan. Pemeriksaan darah bagi mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus,protein, albumin,follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosrerone, prolactin, luteinizing hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 dilakukan sebelum Ramadhan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadhan. Di samping itu berat badan mereka ditimbang.

Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL (low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high density lipoprotein) meningkat.

Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan puasa pada bulan Ramadhan tidak memudaratkan kesihatan. Malah sebaliknya ia memberi kesan yang baik kepada metabolism badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutama yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. Hal berkaitan hikmah puasa dari sudut saintifik ini ada dinyatakan oleh Dr Danial Zainal Abidin dalam buku penulisan beliau yang bertajuk Quran Saintifik.

Menyedari hakikat yang terkandung di dalam bulan Ramadhan maka sepatutnya kita berusaha keras bagi mendapatkan hikmah yang terkandung padanya. Amalan kebaikan di bulan ini hendaklah dilipat kali gandakan. Daripada Ibnu Abbas R.A. dikhabarkan “Nabi SAW adalah manusia sangat pemurah dan baginda lebih pemurah di bulan Ramadhan” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Contoh seperti inilah yang harus kita ikuti.Ramadhan bukan sahaja sebagai “madrasah tarbiyyah” tetapi juga bulan ini merupakan bulan pesta ibadah buat umat Islam.

Antara amalan yang sangat digalakkan untuk dilakukan dalam bulan Ramadhan ialah membaca al-Quran. Tambahan pula turunnya al-Quran ke langit dunia adalah pada bulan Ramadhan. Oleh itu, sebagai menghargai peristiwa tersebut, ketibaan Ramadhan ini sewajarnya kita jadikan saat terbaik menghayati dan mendampingkan diri dengan al-Quran iaitu dengan memperbanyakkan bacaan serta menghayati isi kandungannya. Rasulullah SAW pernah bersabda “Sebaik-baik kamu ialah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Begitulah hebat kesan dari mukjizat al-Quran apatah lagi seandainya amalan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW iaitu membaca dan mengajarkan al-Quran itu disuburkan pembudayaannya ketika di bulan Ramadhan.

Dalam bulan Ramadhan juga terdapat suatu malam yang dinamakan lailatul Qadar. Malam ini telah disebutkan keistimewaannya di dalam al-Quran sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan. Berkenaan berlakunya malam tersebut terdapat banyak khilaf di kalangan ulama.Namun pandangan yang dianggap kuat ialah berlakunya malam lailatul Qadr ini pada salah satu malam dalam tempoh 10 hari terakhir Ramadhan. Menyedari hakikat ini maka sepatutnya semakin kita menjengah ke hujung Ramadhan, semakin hebat ibadah yang dipersembahkan, bukannya semakin lalai akibat tenggelam dalam tawaran-tawaran pusat membeli belah dengan “Raya Sale” hingga terlupa dengan tawaran Allah SWT.

Sesungguhnya bulan Ramadhan merupakan bulan yang sungguh istimewa. Rebutlah peluang nikmat Ramadhan yang sedang kita kecapi dan gunakanlah peluang Ramadhan kali ini sebaik mungkin kerana tiada sebarang jaminan kita masih boleh beribadah dan berpuasa pada bulan Ramadhan akan datang. Kita harus ingat, jika hari ini kita masih hidup dan dapat meraikan kemenangan menjalani ibadah puasa, apakah kita boleh pastikan bahawa kita masih lagi hidup untuk Ramadhan akan datang?

Malaikat Jibril a.s pernah muncul di hadapan Nabi SAW semasa baginda berdiri di atas tangga mimbar. Kata Jibril, “celakalah siapa yang melalui bulan Ramadhan yang diberkati tanpaa memperoleh keampunan (dari Allah SWT).” Apa reaksi Nabi? Baginda lantas mengaminkannya. Ketahuilah bahawasanya lafaz celaka tersebut merupakan suatu “pukulan” yang amat berat kepada mereka yang tidak menghargai kedatangan Ramadhan. Maka hargailah kedatangan Ramadhan dengan memperbanyakkan amal pada bulan tersebut supaya kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang celaka tersebut.

Saturday, August 15, 2009

Semoga Pemergianmu dirahmati Allah


Al-fatihah buat al-Fadhil Ustaz Asri Ibrahim (Solo dan ketua kumpulan Nasyid Rabbani) yang telah meninggal dunia pada pagi khamis yang lalu. Mudahan-mudahan Allah mencucuri rahmat terhadap beliau serta niat dan usaha beliau dalam menyebarkan dakwah melalui mekanisme nasyid diterima Allah SWT.

Pagi khamis tersebut tatkala saya mendapat tahu khabar "kehilangan" beliau menyebabkan saya agak terkejut. Namun itulah hakikatnya manusia. Maut tidak mengira usia, baik muda mahu pun tua, apabila tiba masanya ia pasti tiba. Walaupun usia belia baru 40 tahun (tidaklah terlalu tua) namun Allah menjemputnya pergi terlebih dahulu.

Saya telah pun mengenali suara lunak ustaz Asri semenjak saya berumur 10 tahun lagi. Ketika itu ustaz Asri merupakan solo nasyid Nada Murni. Antara lagu beliau yang saya cukup minati ketika itu ialah lagu yang berjudul Kasih Sayang. Lagu ini mengajak manusia berkasih sayang sesama manusia selari dengan ajarn islam yang mengajar manusia agar berkasih sayang tanpa mengira pangkat dan harta. Selain itu ialah lagu Nun di sana. Sebuah lagu yang mengajak manusia untuk menginsafi hakikat sebenar kehidupan di dunia ini yang tidak kekal lama, sebaliknya dunia yang kekal abadi ialah dunia "di sana" nanti, itulah dunia akhirat.

Kedua-dua lagu ini sebenarnya telah pun dirakam semula. Lagu Kasih Sayang telah dimuatkan rakamannya di dalam album terbaru inteam iaitu inteam reunited-Allahu Rabbi. Lagu ini telah dinyanyikan semula oleh inteam berduet bersama Rabbani. Manakala lagu Nun di Sana pula telah dimuatkan di dalam album Rabbani yang terbaru, Nostalgia Nadamurni. Walaupun ketika saya mula-mula mendengar lagu Nun di Sana, saya baru darjah 4, namun kerana lagu yang didendangkan oleh ustaz Asri ini penuh dengan mesej pada liriknya ditambah pula dengan dendangan yang penuh penghayatan menyebabkan air mata saya menitis tatkala mendengar lagu tersebut.

Namun kini pemilik suara lunak itu hanya tinggal kenangan. Mudah-mudahan mesej dakwahnya yang masih terus berkumandang mengalirkan bersamanya pahala buat ustaz Asri di alam sana. Buat isteri dan anak-anak ustaz Asri, tabahlah dalam menghadapi dugaan Ilahi. Pastinya ada hikmah di sebalik pemergiaannya. Mudahan-mudahan syurga akhirat yang dikejari oleh ustaz Asri
sebagaimana yang dinukilkan dalam blog beliau berjaya diperolehi.

Di sini saya copy pastekan kata-kata yang telah dinukilkan oleh ustaz Asri di dalam blognya:

"Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku.."

Lirik lagu dendangan ustaz Asri, "Nun di Sana"

Nun di sana cita - cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal

Betulkan niat dari sekarang
Tukar sikap kita yang merugikan
Quran dan sunnah jadikan panduan
Agar besok kita tidak kekesalan

Biar susah sedikit kerana tuhan
Untuk menghindar kesusahan yang besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah i'tibar kalau mahu sedar

Nun di sana tiada taulan yang membela
Amal ibadah itulah pembela kita
Ayuh bersegaralah membuat kebajikan
Jangan dilalaikan oleh nafsu syaitan

Pangkat dan harta tidak akan kekal
Bahkan apa yang ada akan ditinggal
Hidup di dunia hanya sementara
Buatlah persiapan untuk kesana

Ayuh bersegeralah menuju Allah
Taatilah Dia
Minta ampun pada-Nya

Mati bila-bila masa boleh tiba
Jangan sampai kita tidak bersedia

Nun di sana cita - cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal

Betulkan niat dari sekarang
Tukar sikap kita yang merugikan
Quran dan sunnah jadikan panduan
Agar besok kita tidak kekesalan

Biar susah sedikit kerana tuhan
Untuk menghindar kesusahan yang besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah i'tibar kalau mau sedar

Nun di sana cita - cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal

Sunday, August 2, 2009

BUDAYA HEDONISTIK

Oleh:NAJIB 'AFIF BIN ARIP

Budaya hedonistik merupakan suatu budaya yang didasari oleh fahaman yang berlandaskan nafsu. Atas landasan inilah manusia yang kontang hatinya terhadap penghayatan nilai murni Islam membina persepsi hidup mereka. Mereka merupakan golongan yang hidup dengan melihat aspek keseronokan sebagai segala-galanya. Di dalam kamus hidup mereka kehidupan ini adalah demi mencari keseronokan nafsu.Atas dasar inilah mereka mereka mengamalkan gaya hidup berseronok-seronok dengan corak pakaian, hiburan, ketagihan malah, malah seks bebas yang akhirnya menimbulkan kerosakan kepada diri dan peribadi.

Penyakit sosial ini semakin ketara menular di dalam masyakat era milenium kini khususnya dalam kalangan remaja.Antara faktor terbesar yang menyumbang kepada menularnya penyakit sosial ini ialah faktor media massa. Remaja amat terdedah kepada corak hiburan terutamannya dari barat seperti muzik dan lagu, filem-filem dan internet. Sikap remaja yang suka meniru menyebabkan pengaruh buruk yang dibawa oleh media massa terkesan dalam kehidupan seharian mereka.

Lihat saja fenomena yang berlaku pada masa kini. Seandainya dilakukan uji bakat untuk menjadi artis, berduyun-duyun anak muda yang sanggup berbaris panjang demi merealisasikan impian mereka. Inilah kesan pengaruh barat yang semakin menular dalam jiwa anak muda. Mereka di sana sibuk mengejar populariti dengan pelbagi rancangan realiti, maka kita di sini pun turut terkena tempiasnya. Hal ini dilihat sebagai suatu yang membimbangkan kerana budaya hedonistik ini mampu menghakis budaya ilmu yang sepatutnya diamalkan oleh anak muda.

Kesan daripada pemikiran hedonisme yang melanda masyarakat, maka lahirlah masyarakat yang fanatik terhadap artis. Ianya menjadi lebih parah lagi apabila artis yang menjadi pujaan itu membawa pengaruh unsur-unsur negative ke dalam diri peminat-peminatnya. Para ilmuwan agamawan Islam yang sepatutnya didampingi dipandang sepi kewujudannya sebaliknya artis disanjung dan dijulang semahu-mahunya. Hinggakan apabila hilangnya dari dunia ini seoarang tokoh ilmuwan dan agamawan adakalanya tidak disedari oleh masayarakat. Namun, apabila meninggalnya seorang artis, mereka yang tidak mengenali artis tersebut pun akan mengenalinya lantaran banyaknya liputan berkenaan kematiannya di dada-dada akhbar dan televisyen

Seharusnya pihak media mestilah lebih berperanan sebagai wadah pembugar budaya ilmu di dalam masyarakat. Golongan ilmuwan dan agamawan haruslah ditonjolkan sebagai ikon anak muda untuk dicontohi. Namun hakikatnya, sukar untuk kita melihat keberkesanan media dalam pembentuka idealisme dan intelektualisme dalam kalangan masyarakat. Yang jelasnya masyarakat lebih terkesan dengan arus pengaruh hiburan yang dibawakan oleh media khususnya media elektronik seperti televisyen dan internet.

Budaya hedonistik yang menular dalam masyarakat menyebabkan anak muda khususnya mengalami kecelaruan identiti. Mengulas berkenan isu ini, Prof. Dr. Sidek Baba menyatakan kecelaruan sering dikaitkan dengan hilang pedoman dan juga hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan sebagai perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan. Lebih pedih lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hiang pertimbangan diri iaitu membina’idola’ dan ‘diva’ yang bukan bersifat fitrah. Mengangumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan imej diri tidak dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan teradap pembangunan tamadun bangsa. Remaja yang terjebak dengan kecelaruan ini bakal menjadi beban kepada masyarakat dan Negara.

Menyedari hal ini maka langkah pencegahan harus dipraktikkan. Dalam Islam sendiri, pendekatan pencegahan lebih baik dari mengubati. Sememangnya media antara salah satu faktor utama kepada berlakunya gejala sosial namun yang membuat pilihan kepada faktor ini ialah manusia itu sendiri.. Kekebalan dalam menangkis pengaruh sekitar yang negatif baik dari media mahupun factor-faktor yang lain memerlukan pendidikan yang bermula semenjak awal usia lagi. Pendidikan yang bermula semenjak awal ini akan menjadi imunisasi ke dalam jiwa remaja dari dijangkiti virus penyakit sosial.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam proses pendidikan sedari awal. Sekiranya pertumbuhan yang berlaku kepada anak-anak tidak disuburkan dengan ilmu dan ketrampilan menerusi watak keibuan dan kebapaan, maka pembesaran anak bakal mengalami kelompangan yang mudah dimasuki oleh unsur-unsur negatif.Tambahan pula pada masa kini cabaran dalam pendidikan anak-anak semakin hebat.

Hakikat ini dapat dilihat apabila kanak-kanak semanjak kecil lagi telah diasuh menjadi penghibur. Tidak cukup dengan rancangan reliti yang melibatkan remaja, kanak-kanak juga turut menjadi mangsa arus hiburan menerusi rancangan realiti. Kita dapat melihat pada masa kini, ada stesen televisyen yang menganjurkan rancangan realiti hiburan untuk kanak-kanak. Yang menyedihkan, kanak-kanak yang spatutnya dididik dengan didikan fitrah ini telah dicemari fitrahnya oleh ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa mereka yang memberi galakan terhadap mereka untuk mereka menjadi penghibur cilik yang akhirnya akan membunuh rohani anak-anak tersebut.

Benarlah pandangan Syed Qutb dalam karyanya Ma’alim Fi-l Tariq yang menyatakan bahawa umat Islam telah kembali ke era Jahiliah dengan suasana kehidupan yang menolak kebenaran melalui pemujaan hiburan dan kebendaan yang sangat kritikal. Karya tersebut telah ditulis puluhan tahun yang lalu. Sekiranya zaman tersebut pun budaya hedonistik sudah mula menular, apatah lagi dunia pada masa kini yang ditambah lagi dengan gaya hidup yang serba canggih serta pengaruh globalisasi yang sukar untuk disekat.

Menyentuh berkenaan pendidikan anak – anak, ustaz Hasrizal Jamil menyatakan bahawasanya anak-anak mestilah dilatih untuk meningkatkan upaya memilih tatkala upaya mengawal terhadap mereka oleh ibu bapa semakin berkurang apabila mereka semakin membesar. Dengan erti kata yang lain, ibu bapa harus melatih si anak dengan kemahiran membuat keputusa dan pilihan yang bijak berlandaskan lunas-lunas Islam. Sebagaimana ibu bapa menjaga makan dan minum anaknya agar fisiologi si anak meningkat dewasa dengan sihat, begitulah juga perkara yang harus dilakuakan terhadap jiwa dan jati diri mereka. Ini bagi memastikan jiwa dan jati diri si anak mampu menjadi dewasa sebagaimana dewasanya fisiologi mereka.

Dalam usaha mencegah gejala sosial, selain menjaga amal ibadah, anak muda juga harus menyibukkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Dengan menyibukkan diri kepada perkara-perkara yang berfaedah akan menyukarkan nafsu menjajah pemikiran. Kerana itulah pepatah arab ada mengungkapkan yang bermaksud “air yang bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang, (tidak dinamik) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu”.

Walau pun kita tidak menafikan, faktor luaran seperti televisyen, internet serta rakan-rakan merupakan antara faktor-faktor yang mendorong ke arah menularnya budaya hedonistik, namun kita juga tidak boleh lupa terhadap faktor dalaman. Faktor inilah sebenarnya yang menjadi perosak utama kepada diri seseorang, itulah dia nafsu. Satu-satunya cara untuk mencegah faktor ini ialah dengan mengukuhkan hati dengan keimanan kepada Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda “Sesungguhnya di dalam jasad manusia itu terdapat satu ketul darah, apabila baik darah itu, baiklah seluruh anggota jasad, sesungguhnya darah tersebut adalah hati.”(HR: Bukhari dan Muslim)

Hati bertanggungjawab terhadap seluruh badan, kerana itu memberikan tumpuan yang serius untuk membetul dan meluruskannya adalah perkara yang penting terhadap umat Islam. Apa yang terzahir melalui perbuatan merupakan cerminan kepada apa yang terkandung di hati. Oleh yang demikian, peliharalah hati dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Berbahagialah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah orang yang mengotorinya”
(asy-Syams:9-10)

Dalam mengupas berkenaan tafsir ayat ini, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, seorang pakar perundangan Islam yang tidak asing lagi di zaman ini, menjelaskan beruntunglah orang yang membersih dan mendidik, mengembang dan meninggikan dirinya dengan takwa dan amalan soleh dan amat rugilah orang yanag menyesatkan dirinya sendiri, menyeleweng dan mencuaikannya tanpa mendidik dan membersihkannya dengan amalan ketaatan dan amalan soleh.

Monday, July 27, 2009

Kursus Kecemerlangan Pelajar

Saudara Hariri ketika menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta

Sesi ceramah bersama Dr. Azharuddin

Penulis bersama pemenang permainan abang kate siri pertama

Sesi berkenalan bersama para fasilitator

Sesi pembentangan kumpulan

Gambar beramai-ramai di penghujung program

Pada 25 dan 26 Julai 2009 yang lalu saya dan rakan-rakan ISMP telah berjaya melaksanakan program Kursus Kecemerlangan Pelajar di Sekolah Agama Menengah Salak Tinggi (SAMST). Kursus ini melibatkan seramai 40 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar ISMP, USIM dan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan 1 sekolah tersebut.

Program dua hari satu malam anjuran bersama Program Pendidikan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Usim dan SAMST ini adalah bagi memberi motivasi kepada pelajar tingkatan 1 sekolah tersebut dalam mengharungi cabaran persekolahan peringkat menengah. Selain itu program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan awal akan cabaran di alam perguruan yang bakal diceburi oleh fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada pelajar-pelajr ISMP.

Antara penceramah yang telah dijemput dalam program tersebut ialah Dr. Azharuddin b. Sahil dari USIM. Beliau telah mengisi slot ceramah berkaitan pengurusan masa. Selain itu, turut diundang ialah saudara Hariri Daud. Beliau merupakan mantan Presiden MPP USIM sesi 2006/2007. Slot yang diisi oleh beliau adalah berkenaan motivasi ke arah kecemerlangan.

Acara penutup bagi program tersebut telah dirasmikan oleh Dr Azizi Ismail, Ketua Program Pendidikan, USIM. Dalam ucapan perasmian penutup, beliau telah meberi kata-kata peransang kepada pelajar tingkatan 1 sekolah tersebut serta turut mempromosikan USIM kepada mereka.

Secara keseluruhannya program ini berjalan dengan lancar. Walaupun program ini berlangsung dalam masa yang singkat namun keakraban yang terjalin antara fasilitator dan para pserta bagaikan telah sekian lama saling mengenali. Sebelum kami bertolak pergi meninggalkan sekolah tersebut, adik-adik peserta berpesan kepada kami untuk menganjurkan lagi program bersama mereka. Insyaallah adik-adik, kalau ada rezeki, kita bertemu lagi. Abang-abang dan kakak-kakak fasi mendoakan kejayaan adik-adik semua.