Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, June 23, 2012

TEMPUHILAH KEHIDUPAN DENGAN BAHAGIA


Sedang aku duduk sendirian, teringat aku keluhan seorang rakan padaku  "Penatnya, tiap-tiap hari nak kena datang sekolah, pastu nak kena berdepan dengan kerenah budak-budak yang tak mendengar kata. Dahlah tugasan kat sekolah macam-macam, kena buat itulah, kena buat inilah, letih rasa badan aku ni. Tiap-tiap pagi rase macam tak bersemangat je nak pegi keje"  Kasihan rasa hatiku dengan keluhan dari rakanku itu. Seolah-olah dia tidak bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya.

Meniti hari yang dilalui dengan rasa yang membosankan menjadikan hidup suram dan hilang keceriaan. Sebagai hamba Allah ujian akan terus datang kepada kita selagi kita masih bernyawa kerana hidup itu sendiri adalah suatu ujian. Alangkah ruginya jika hidup kita yang singkat ini dipenuhi kesuraman dan kesedihan. Bayangkanlah sekiranya seorang guru yang telah memulakan kariernya semenjak umur 24 tahun dan bersara ketika umurnya 56 tahun, jika dia tidak bahagia dengan pekerjaannya, maka lebih 30 tahun hatinya telah menderita. Tidakkah ini merupakan suatu pembaziran masa. Seharusnya sebagai seorang muslim, apa jua keadaan yang menimpa, bahagia tetap dirasa. Sabda Nabi SAW, "Keadaan orang mukmin itu sangat menakjubkan, kerana segala urusan yang menimpanya dianggap baik.Tetapi keadaan ini hanya berlaku kepada orang yang beriman. Iaitu apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur, kerana itu lebih baik untuknya. Dan apabila dilanda kesusahan dia bersabar, kerana itu lebih baik untuknya"

Perkara baik yang menimpa seseorang sudah tentulah menimbulkan rasa bahagia dan jika perkara buruk yang menimpa mampu dianggap baik buatnya, maka sebagaimana perkara baik mampu memberi kebahagiaan, sudah tentulah perkara buruk juga mampu memberi kabahagiaan buatnya. Namun, mampukah kita menjadi orang yang sebegini? Berdasarkan sabda Nabi SAW, yang berkeadaan demikian adalah orang mukmin iaitu orang yang mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah.

Orang yang mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah sudah tentu dia seorang yang bersyukur. Sifat syukur mampu memberi kebahagiaan di hati meskipun hidup dalam kepayahan. Dalam situasi berhadapan dengan suasana kerja yang membosankan, kenangkanlah betapa ramai insan di luar sana menganggur mengharapkan pekerjaan? Betapa ramai yang hidupnya kais pagi makan pagi kais petang makan petang? Tatkala kita menyesali kerja yang dipilih dan berasa bosan dengan pekerjaan kita, ada insan-insan lain yang sedang meratapi nasibnya yang sukar mendapat pekerjaan. Lantas, apakah wajar kita tidak bersyukur dan menghargai pemberian Allah buat kita. Bersyukurlah dengan apa yang ada, insyaAllah kita akan menjadi orang yang lebih menghargai, seterusnya memberi motivasi untk melalui hari dengan rasa bahagia dan ceria.

Selain itu, orang beriman juga adalah orang yang mempunyai daya kesabaran yang tinggi. Dr. Aidh Abdullah al-Qarni mengulas tetntang sabar, "Sabar adalah benteng kukuh yang tidak dapat dikepung oleh tentera dan tidak dapat dimasuki musuh. Sabar juga adalah benteng kuat yang tidak dapat ditembusi anak panah. Manusia yang digoncang dengan krisis dan ujian, ubatnya adalah sabar. Kesabaran yang baik adalah menanggung musibah dengan diam, menerima musibah dengan tenang, dan menyambutnnya dengan keredhaan." Sabar mampu menjadi pencetus motivasi kepada seseorang agar idak berputus asa dan bersemangat dalam melakukan tugasan hidup. Orang yang sabar adalah orang yang sentiasa besangka baik pada Allah. Baginya ketentuan Allah itu adalah yang terbaik buatnya. Dalam konteks pekerjaan, sabar mampu mencegah sifat putus asa hinggap di hati kerana dia yakin kesabarannya dalam melaksanakan tugasan ada ganjaran di sisi Allah. Hal ini akan menjadi motivasi buatnya untuk melakukan tugasan dengan rasa bahagia dan ceria.

Keikhlasan juga mampu membawa kebahagian dan keceriaan dalam kehidupan yang dilalui meskipun pelbagai dugaan dan cabaran yang mendatang. Ikhlas adalah motivasi yang sangat menakjubkan. Keikhlasan menyebabkan manusia melakukan kerja bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan balasan. Kerja yang dilakukannya didorong oleh rasa kehambaan demi mencari redha Allah. Alangkah indah keikhlasan yang bertunjang di hati, seorang guru takkan putus asa mendidik muridnya, seorang pejuang takkan gentar mati demi mepertahankan agamanya, seorang pemimpin sanggup mengabaikan kesenangan sendiri demi rakyatnya. Orang yang ikhlas sentiasa bahagia dengan memberi biar pun dirinya dalam kepayahan dan derita. Orang yang ikhlas masih mampu tersenyum meskipun hidup dilanda dugaan. Dari mana datangnya kekuatan tersebut? Orang yang ikhlas menyedari hakikat pekerjaan yang dilakukannya. Sekiranya dia ikhlas melaksanakan tugasan, baginya ganjaran dari Allah atas kepayahan yang dilalui. Namun jika sebaliknya hanya penat yang diperolehi.

Ketahuilah kebahagiaan itu bergantung pada diri kita. Sebagai hamba Allah yang lemah, kita tidak mampu untuk sentiasa hidup dalam situasi yang kita inginkan. Masalah akan sentiasa ada. Justeru mereka yang berjaya bukanlah mereka yang tidak mempunyai masalah, tetapi mereka adalah orang yang mampu mengurus masalah dengan baik. Hakikatnya, untuk menjadi pengurus masalah yang baik memerlukan kesyukuran, kesabaran dan keikhlasan yang sentiasa bertunjang di hati. 

Sunday, June 3, 2012

Belajar Dari Lebah





Seperti yang kita sedia maklum, lebah membawa banyak manfaat kepada manusia dari sudut kesihatan. Namun, harus kita sedari juga bahawasanya manfaat lebah itu tidak terbatas sekadar hal yang berkaitan kesihatan bahkan ianya memberi manfaat dalam soal pembentukan akhlak manusia. Jika tidak masakan Rasulullah SAW bersabda " Perumpamaan orang yang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosakkan atau mematahkan (yang dihinggapinya" (Riwayat Ahmad, al-Hakim dan al-Bazzar)

Mari kita bersama merenung sejenak antara resmi lebah yang boleh kita teladani untuk diterjemahkan dalam konteks kehidupan kita:-
  • Lebah tidak memilih tempat yang kotor untuk bersarang, sebaliknya sering menjadikan dahan-dahan pokok sebagai tempat pembinaan sarang. Persekitaran yang  bersih menjamin kebersihan madu yang dihasilkan oleh lebah.
  • Lebah tidak mendatangkan mudarat terhadap dahan tempat pembinaan sarangnya. Tidak seperti tumbuhan parasit yang akan memberi mudarat terhadap tempat yang ditumpanginya.
  • Lebah hanya mengambil dan mengeluarkan yang baik sahaja. Makanannya ialah pati bunga (madu) yang dipilih dan dikeluarkan untuk kegunaan. Madu ialah makanan yang sangat tinggi khasiatnya. Inputnya yang baik dan outputnya juga baik.
Inilah antara resminya lebah yang boleh kita teladani untuk diterjemahkan dalam konteks kehidupan kita sebagai manusia. Sebagaimana lebah yang tidak memilih tempat yang kotor untuk bersarang, manusia pula memerlukan biah solehah dalam dalam proses pembinaan keluarga yang diredhai Allah. Sebuah hadis nabi pernah menukilkan kisah seorang pemuda yang telah membunuh 100 orang yang ingin bertaubat telah diarahkan oleh seorang alim untuk berpindah dari tempat tinggalnya yang dipenuhi maksiat ke tempat orang-orang beramal dengan amalan soleh. Sudah tentulah arahan si alim tadi kerana pentingnya faktor persekitaran dalam membentuk keperibadian seseorang.

Meskipun lebah menumpang dahan untuk bersarang, hadirnya tidak memudaratkan dahan yang ditumpanginya. Dalam konteks kita sebagai seorang manusia janganlah menyusahkan hidup orang lain dengan bawaan akhlak buruk dari kita dan janganlah sekali-kali kita menjadi penyebab kepada mudaratnya hidup orang lain. Ingatlah sabda nabi SAW yang bermaksud "Takutlah kamu akan doa seorang yang dizalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah". (H.R. Bukhari dan Muslim)


Dalam kehidupan kita, halal haram perbuatan harus diambil kira dan setiap perlakuan yang dilakukan mestilah selari dengan syariat. Selain itu jadilah orang yang mampu memberi manfaat kepada manusia lain. Contohi lebah yang sentiasa mengambil yang baik buat dirinya serta menghasilkan madu yang mampu memberi manfaat kepada makhluk yang lain.





Saturday, June 2, 2012

BINGKISAN MEMORI



Sekian lama aku tidak mencoretkan sebarang nukilan. Namun hari ini kuhadirkan coretan buat pertama kali stelah sekian lama kumenyepi. Hadirku kali ini bersama azam untuk mengaktifkan diriku dalam bidang penulisan secara istiqamah. Kesibukan yang melanda menjarakkan diriku ini dari dunia penulisan. Namun sampai bilakah kesibukan mahu dijadikan alasan, sedangkan masa hadapan yang hadir belum tentu sentiasa dalam kelapangan? Maka kuhadirkan coretan kali ini bersama bingkisan memori buat tatapan bersama.


Lebih setahun aku menyepikan diri dari sebarang penulisan. Dalam tempoh setahun lebih pelbagai pengalaman telah aku tempuhi dan ianya berbeza berbanding pengalaman ketika zaman bergelar pelajar. Kini aku telah pun bergelar seorang guru. Aku baru  menamatkan perkhidmatan sebagai guru interim di Sekolah Menengah Kebangsan Dato' Hj Mohd Taib lebih kurang dua minggu yang sudah. Guru interim merupakan jawatan berstatus sementara yang telah diwujudkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun ini. Kini aku telah pun mendapat tawaran dari KPM untuk perkhidmatan berstatus tetap sebagai guru di sarawak dan akan berangkat ke sana insyaAllah pada 11 jun ini.



Tanggungjawab sebagai seorang guru bukanlah mudah dan tidak boleh dipandang ringan. Guru berperanan dalam mencorakkan masayarakat pada masa akan datang. Hal ini kerana murid-murid yang dididik merupakan generasi pelapis untuk masa akan datang. Kegagalan guru dalam mendidik muri-muridnya memberi implikasi yang besar terhadap sistem sosial masyarakat pada masa akan datang. Menyedari peranan tersebut, setiap guru seharusnya bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugasnya. 



Dalam tempoh beberapa bulan setelah bergelar sebagai seorang guru, pelbagai pengalaman yang telah aku lalui. Antara perkara penting yang aku pelajari dari pengalaman tersebut ialah akan peri pentingnya sifat kesabaran yang perlu ada pada seorang guru. Berhadapan dengan murid yang pelbagai ragam dan sifat menuntut seorang guru mempunyai kesabaran yang tinggi. Tanpa kesabaran, guru akan berputus asa dalam mendidik anak muridnya yang seterusnya akan membawa kepada pengabaian kepada murid-murid tertentu yang dirasakan oleh guru tersebut tiada harapan untuk berubah. Sebagai guru peranan kita adalah untuk terus pendidik tanpa rasa jemu dan natijahnya kita serahkan kepada Allah.

Sungguh indah pengalaman menjadi guru. Perasaan marah, lucu, geram dan kasihan silih berganti tatkala aku berdepan dengan murid yang pelbagai ragam. Ada yang mudah mendengar kata, ada yang susah mendengar kata, ada yang bersemangat untuk belajar dan ada pula malas belajar. Namun, ape jua kerenah dan ragam mereka, sebagai guru aku tetap menyayangi mereka. Sering aku katakan pada mereka, meskipun aku seorang guru, namun aku jua adalah abang mereka dari sudut pesaudaraan Islam dan aku menyayangi mereka. Aku ingin mereka tahu tatkala aku memarahi mereka bukanlah kerana membenci tetapi kerana sayang. Kerana sayangkan mereka, maka aku berusaha membetulkan tingkah laku mereka dan adakalanya ia memerlukan ketegasan dalam usaha aku mendidik mereka.

Lebih kurang tiga bulan aku berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Hj. Mohd Taib. Terasa begitu pantas masa berlalu. Buat murid-muridku khususnya dari kelas 3 Arif, 4 Amanah, 5 Amanah dan 5 Setia, maaf dipohon andai dalam usaha mendidik kalian ada ustaz menyebabkan kalian terasa. Namun ketahuilah, sebagai seorang guru, ustaz menyayangi kalian dan ingin kalian menjadi orang yang berjaya di dunia dan yang terlebih penting berjaya akhirat. Terima kasih juga buat kalian semua yang telah menghadiahkan pengalaman buat ustaz. Menjadi guru kalian merupakan pengalaman berharga yang tersimpan di dalam lipatan memori ustaz..


HARAPANKU

Adik-adikku
Cintailah Allah
Walau di mana dikau berada
Beserahlah kepadaNYA
Beribadahlah dengan keikhlasan
Jauhi maksiat dan kemungkaran

Adik-adikku
Ingatilah Rasul selalu
Basahi lidahmu dengan selawat
Jadikan sunnahnya kenderaanmu
Menyusuri ranjau kehidupan duniawi
Agar tidak terpesong haluan diri

Wahai adik-adikku
Kasihilah insan di sekelilingmu
Kasihkan insan ikhlas di hati
Bersama iman menghiasi
Akan bercahaya kasih sejati

Bangkitlah adik-adikku
Dari diulit lena dan mimpi
Teruskanlah perjuangan
Kembalikan kegemilangan Islam
Jangan mudah kau terpedaya
Dengan helah dunia yang fana

Marilah adik-adikku
Bersama kita tegakkan agama
Sepenuh jiwa dan juga raga
Solat ditunai diabai jangan
Jadikan malu pakaian diri
Taqwa menjadi hiasan diri
Kan hadir kebaikan hadiah buatmu

Terima kasih adik-adikku
Jasa kalian kuingat selalu
Bukan intan permata kujanjikan
Bukan emas selautan kutawarkan

Ketahuilah adik-adikku
Ganjaran daripadaNYA sedia menanti
Kiranya ikhlas bertunjang di hati
Sedarilah adik-adikku
Pengalaman diri tak mampu dibeli
Walau dilimpah kemewahan duniawi

Ya Allah Ya tuhan kami
Kami pohon padaMU
Terangilah hati kami agar mampu majukan diri
Menjadi insan pilihanMU
Terlepas dari azab seksaMU
Kuharap kalian mendengar suara hatiku
Yang kunukilkan buat kalian
Agar tenang pemergian ini
Moga ukhwah terjalin bertaut keimanan hakiki
Inilah harapanku...