Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, June 23, 2012

TEMPUHILAH KEHIDUPAN DENGAN BAHAGIA


Sedang aku duduk sendirian, teringat aku keluhan seorang rakan padaku  "Penatnya, tiap-tiap hari nak kena datang sekolah, pastu nak kena berdepan dengan kerenah budak-budak yang tak mendengar kata. Dahlah tugasan kat sekolah macam-macam, kena buat itulah, kena buat inilah, letih rasa badan aku ni. Tiap-tiap pagi rase macam tak bersemangat je nak pegi keje"  Kasihan rasa hatiku dengan keluhan dari rakanku itu. Seolah-olah dia tidak bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya.

Meniti hari yang dilalui dengan rasa yang membosankan menjadikan hidup suram dan hilang keceriaan. Sebagai hamba Allah ujian akan terus datang kepada kita selagi kita masih bernyawa kerana hidup itu sendiri adalah suatu ujian. Alangkah ruginya jika hidup kita yang singkat ini dipenuhi kesuraman dan kesedihan. Bayangkanlah sekiranya seorang guru yang telah memulakan kariernya semenjak umur 24 tahun dan bersara ketika umurnya 56 tahun, jika dia tidak bahagia dengan pekerjaannya, maka lebih 30 tahun hatinya telah menderita. Tidakkah ini merupakan suatu pembaziran masa. Seharusnya sebagai seorang muslim, apa jua keadaan yang menimpa, bahagia tetap dirasa. Sabda Nabi SAW, "Keadaan orang mukmin itu sangat menakjubkan, kerana segala urusan yang menimpanya dianggap baik.Tetapi keadaan ini hanya berlaku kepada orang yang beriman. Iaitu apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur, kerana itu lebih baik untuknya. Dan apabila dilanda kesusahan dia bersabar, kerana itu lebih baik untuknya"

Perkara baik yang menimpa seseorang sudah tentulah menimbulkan rasa bahagia dan jika perkara buruk yang menimpa mampu dianggap baik buatnya, maka sebagaimana perkara baik mampu memberi kebahagiaan, sudah tentulah perkara buruk juga mampu memberi kabahagiaan buatnya. Namun, mampukah kita menjadi orang yang sebegini? Berdasarkan sabda Nabi SAW, yang berkeadaan demikian adalah orang mukmin iaitu orang yang mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah.

Orang yang mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah sudah tentu dia seorang yang bersyukur. Sifat syukur mampu memberi kebahagiaan di hati meskipun hidup dalam kepayahan. Dalam situasi berhadapan dengan suasana kerja yang membosankan, kenangkanlah betapa ramai insan di luar sana menganggur mengharapkan pekerjaan? Betapa ramai yang hidupnya kais pagi makan pagi kais petang makan petang? Tatkala kita menyesali kerja yang dipilih dan berasa bosan dengan pekerjaan kita, ada insan-insan lain yang sedang meratapi nasibnya yang sukar mendapat pekerjaan. Lantas, apakah wajar kita tidak bersyukur dan menghargai pemberian Allah buat kita. Bersyukurlah dengan apa yang ada, insyaAllah kita akan menjadi orang yang lebih menghargai, seterusnya memberi motivasi untk melalui hari dengan rasa bahagia dan ceria.

Selain itu, orang beriman juga adalah orang yang mempunyai daya kesabaran yang tinggi. Dr. Aidh Abdullah al-Qarni mengulas tetntang sabar, "Sabar adalah benteng kukuh yang tidak dapat dikepung oleh tentera dan tidak dapat dimasuki musuh. Sabar juga adalah benteng kuat yang tidak dapat ditembusi anak panah. Manusia yang digoncang dengan krisis dan ujian, ubatnya adalah sabar. Kesabaran yang baik adalah menanggung musibah dengan diam, menerima musibah dengan tenang, dan menyambutnnya dengan keredhaan." Sabar mampu menjadi pencetus motivasi kepada seseorang agar idak berputus asa dan bersemangat dalam melakukan tugasan hidup. Orang yang sabar adalah orang yang sentiasa besangka baik pada Allah. Baginya ketentuan Allah itu adalah yang terbaik buatnya. Dalam konteks pekerjaan, sabar mampu mencegah sifat putus asa hinggap di hati kerana dia yakin kesabarannya dalam melaksanakan tugasan ada ganjaran di sisi Allah. Hal ini akan menjadi motivasi buatnya untuk melakukan tugasan dengan rasa bahagia dan ceria.

Keikhlasan juga mampu membawa kebahagian dan keceriaan dalam kehidupan yang dilalui meskipun pelbagai dugaan dan cabaran yang mendatang. Ikhlas adalah motivasi yang sangat menakjubkan. Keikhlasan menyebabkan manusia melakukan kerja bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan balasan. Kerja yang dilakukannya didorong oleh rasa kehambaan demi mencari redha Allah. Alangkah indah keikhlasan yang bertunjang di hati, seorang guru takkan putus asa mendidik muridnya, seorang pejuang takkan gentar mati demi mepertahankan agamanya, seorang pemimpin sanggup mengabaikan kesenangan sendiri demi rakyatnya. Orang yang ikhlas sentiasa bahagia dengan memberi biar pun dirinya dalam kepayahan dan derita. Orang yang ikhlas masih mampu tersenyum meskipun hidup dilanda dugaan. Dari mana datangnya kekuatan tersebut? Orang yang ikhlas menyedari hakikat pekerjaan yang dilakukannya. Sekiranya dia ikhlas melaksanakan tugasan, baginya ganjaran dari Allah atas kepayahan yang dilalui. Namun jika sebaliknya hanya penat yang diperolehi.

Ketahuilah kebahagiaan itu bergantung pada diri kita. Sebagai hamba Allah yang lemah, kita tidak mampu untuk sentiasa hidup dalam situasi yang kita inginkan. Masalah akan sentiasa ada. Justeru mereka yang berjaya bukanlah mereka yang tidak mempunyai masalah, tetapi mereka adalah orang yang mampu mengurus masalah dengan baik. Hakikatnya, untuk menjadi pengurus masalah yang baik memerlukan kesyukuran, kesabaran dan keikhlasan yang sentiasa bertunjang di hati. 

No comments: