Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, June 3, 2012

Belajar Dari Lebah





Seperti yang kita sedia maklum, lebah membawa banyak manfaat kepada manusia dari sudut kesihatan. Namun, harus kita sedari juga bahawasanya manfaat lebah itu tidak terbatas sekadar hal yang berkaitan kesihatan bahkan ianya memberi manfaat dalam soal pembentukan akhlak manusia. Jika tidak masakan Rasulullah SAW bersabda " Perumpamaan orang yang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosakkan atau mematahkan (yang dihinggapinya" (Riwayat Ahmad, al-Hakim dan al-Bazzar)

Mari kita bersama merenung sejenak antara resmi lebah yang boleh kita teladani untuk diterjemahkan dalam konteks kehidupan kita:-
  • Lebah tidak memilih tempat yang kotor untuk bersarang, sebaliknya sering menjadikan dahan-dahan pokok sebagai tempat pembinaan sarang. Persekitaran yang  bersih menjamin kebersihan madu yang dihasilkan oleh lebah.
  • Lebah tidak mendatangkan mudarat terhadap dahan tempat pembinaan sarangnya. Tidak seperti tumbuhan parasit yang akan memberi mudarat terhadap tempat yang ditumpanginya.
  • Lebah hanya mengambil dan mengeluarkan yang baik sahaja. Makanannya ialah pati bunga (madu) yang dipilih dan dikeluarkan untuk kegunaan. Madu ialah makanan yang sangat tinggi khasiatnya. Inputnya yang baik dan outputnya juga baik.
Inilah antara resminya lebah yang boleh kita teladani untuk diterjemahkan dalam konteks kehidupan kita sebagai manusia. Sebagaimana lebah yang tidak memilih tempat yang kotor untuk bersarang, manusia pula memerlukan biah solehah dalam dalam proses pembinaan keluarga yang diredhai Allah. Sebuah hadis nabi pernah menukilkan kisah seorang pemuda yang telah membunuh 100 orang yang ingin bertaubat telah diarahkan oleh seorang alim untuk berpindah dari tempat tinggalnya yang dipenuhi maksiat ke tempat orang-orang beramal dengan amalan soleh. Sudah tentulah arahan si alim tadi kerana pentingnya faktor persekitaran dalam membentuk keperibadian seseorang.

Meskipun lebah menumpang dahan untuk bersarang, hadirnya tidak memudaratkan dahan yang ditumpanginya. Dalam konteks kita sebagai seorang manusia janganlah menyusahkan hidup orang lain dengan bawaan akhlak buruk dari kita dan janganlah sekali-kali kita menjadi penyebab kepada mudaratnya hidup orang lain. Ingatlah sabda nabi SAW yang bermaksud "Takutlah kamu akan doa seorang yang dizalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah". (H.R. Bukhari dan Muslim)


Dalam kehidupan kita, halal haram perbuatan harus diambil kira dan setiap perlakuan yang dilakukan mestilah selari dengan syariat. Selain itu jadilah orang yang mampu memberi manfaat kepada manusia lain. Contohi lebah yang sentiasa mengambil yang baik buat dirinya serta menghasilkan madu yang mampu memberi manfaat kepada makhluk yang lain.





No comments: