Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, June 29, 2009

Majlis Sambutan Pelajar Baru Sarjana Muda Peringkat FPBU

29 Jun 2009- Fakuti pengajian Bahasa Utama (FPBU) telah mengadakan majlis sambutan pelajar-pelajar baru sesi akademik 2009/2010. Program tersebut melibatkan seramai 129 oarang pelajar baru dan seramai lebih kurang 20 orang urusetia yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan FPBU. Program tersebut telah bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 4.00 petang.


Objektif progran tersebut adalah bagi memberi maklumat berkenaan pengajian yang bakal dilalui oleh pelajar-pelajar baru di FPBU. Selain itu, program ini bertujuan untuk mengeratkan ukhwah antara pelajar baru dan juga anggota keluarga FPBU yang terdiri daripada kakitangan dan pensyarah FPBU serta pelajar senior. Program ini juga diharapk mampu menambah eratkan ukhwah sesama pelajar baru itu sendiri.

Majlis tersebut terbahagi kepada 3 sesi. Pada sesi pertama yang bermula pada pukul 8.30 pagi, pelajar-pelajar baru telah berkumpul di Dewan Kuliah Pusat 3 bagi majlis penyerahan kad matrik pelajar. Pada sesi yang berikutnya, pukul 11.00 pagi program diteruskan dengan majlis ramah mesra bersama pensyarah-pensyarah FPBU. Pada sesi tersebut Prof Madya Basha, Pemangku Dekan FPBU telah menyampaikan ucapan beliau. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kedatangn pelajar-pelajar sebagai sebahagaian daripada ahli keluarga FPBU. Beliau juga berharap dengan kehadiran pelajar-pelajar tersebut mampu memberi kesan yang positif terhadap FPBU.

Selain itu, pada sesi tersebut juga, pelajar telah diberi taklimat berkenaan pengajian yang bakal mereka ikuti pada masa akan datang berdasarkan kursus yang dipilih. Setakat ini, FPBU hanya menawarkan dua program iaitu Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunkasi dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam. Taklimat pengajian telah dimulakan oleh Dr. badrul Munir, Ketua Program Bahasa Arab diikuti dengan Dr. Azizi, Ketua Program Pendidikan.

Sesi berikutnya disambung selepas rehat dan solat pada pukul 2.00 petang. Sesi kali ini dikendalikan oleh pelajar senior yang berperanan sebagai fasi dalam sesi tersebut. Selain untuk mengeratkan ukhwah sesama pelajar, sesi ini juga berperanan untuk megumpulkan maklumat maklumat berkenaan pelajar-pelajar baru bagi mencari bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan pada masa akan datang dalam usaha memartabatkan FPBU. Sesi ini berakhir pada pukul 4.00 petang. Setelah selesai program, jamuan ringan telah diadakan sebelum pelajar bersurai.

Secara keseluruhannya, program tersebut berjalan dengan lancar hasil daripada kerjasama semua pihak. Tahniah kepada pihak FPBU atas kejayaan menganjurkan majlis tersebut dengan jayanya. Kepada pelajar-pelajar baru FPBU selamat menyertai ahli keluarga FPBU. Semoga kedatangan kalian menambahkan lagi keceriaan di FPBU.

Friday, June 26, 2009

SYARIATULLAH DAN SUNNATULAH


Baru-baru ini saya telah membeli buku yang dikarang oleh Ustaz Hasrizal Jamil yang bertajuk “Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai ke Syurga”. Saya belum menghabiskan lagi bacaan saya terhadap isi keseluruhan buku ini. Namun, mungkin saya boleh berkongsi sedikit dengan rakan-rakan berkenaan salah satu isi penulisan ustaz Hasrizal yang dimuatkan dalam buku tersebut.


“Syariatullah dan Sunatullah”. Itulah topik perbincangan yang menarik minat saya untuk dikongsikan bersama rakan-rakan.. Sebelum ini saya pernah mendengar ceramah beliau berkenaan topik tersebut di dalam kuliah beliau. Apabila saya membaca buku beliau dan menemukan topik tersebut menyebabkan ingatan saya menjelajah ke masa silam, mengingati kembali isi ceramah beliau yang pernah saya dengari.


Sememangnya beliau bijak dalam mengaitkan “Syariatullah dan Sunatullah” untuk kita melihatnya dari aspek realiti kehidupan. Tambahan pula kaedah penceritaan yang beliau bawakan melalui jalan cerita baik dalam penulisan mahupun ceramah memudahkan lagi kefahaman terhadap mesej yang cuba beliau sampaikan.


Di dalam buku tersebut, Ustaz Hasrizal membawa kita untuk melihat betapa peri pentingnya untuk kita memelihara kedua-dua peraturan Allah tersebut, Syariatullah dan Sunatullah. Apa syariatullah dan apa Sunatullah? Dan apa pula kaitan antara keduanya?


Syariatullah merupakan peraturan Allah yang terdiri daripada hukum yang lima iaitu wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Bagi seorang yang bertaqwa mereka akan menjagia hukam hakam ini. Namun harus kita ketahui bahawa hukum hakam ini adalah merupakan sebahagian daripada peraturan Allah kerana seperti yang telah disebutkan tadi, selain syariatullah, peraturan Allah yang lain ialah sunnatullah.


Sunnatullah adalah aspek yang besar dan penting yang terselindung di sebalik semua peristiwa sejarah. Sejarah bukan sekadar untuk mengetahui kisah lampau semata-mata, tetapi juga untuk melihat “enjin” di sebalik semua peristiwa yang berlaku. Enjin yang dimaksudkan di sini ialah sunnatullah. Dengan eri kata lain, Sunnatullah juga ialah peraturan alam. Contohnya sunnatullah bagi orang yang rajin berusaha ialah kejayaan.


Kembali kepada isi penulisan beliau, beliau membawa dua aspek ini, syariatullah dan sunnatullah untuk dilihat dalam dimensi kekeluargaan. Dalam kehidupan berumah tangga, tiadanya salah satu atau kedua-duanya mampu membawa kepada kemusnahan rumah tangga. Rumah tangga yang tidak memenuhi tuntutan sayariatullah, sudah tentunya akan jauh dari rahmat Allah. Masakan Allah akan menurunkan rahmatNya dalam sesebuah rumah tangga yang melanggar syariatullah seperti tidak menunaikan solat, tidak berpuasa dan sebagainya lagi yang melibatkan pelanggaran hukum Allah.


Ketahuilah bahawasanya hati dan perasaan itu milik Allah. Allahlah pemilik cinta di hati manusia. Kiranya dalam kehidupan berumah tangga, syariatullah tiada dijaga, maka akn tercabutlah rasa cinta kekeluargaan yang terpupuk dengan rahmat Ilahi. Mulalah ada yang tak kena antara pasangan suami isteri lantaran rasa cinta telah bertukar benci akibat dosa yang terus berdaki di hati.


Mungkin inilah jawapan kepada mengapa meningkatnya jumlah penceraiam yang berlaku pada masa kini. Sebelum berkahwin cinta bagai nak rak. Ke hulu ke hilir berdua-duaan macam belangkas. Bila melangkah ke alam perkahwinan, cinta yang dulunya mekar tiba-tiba menjadi hambar. Inilah natijahnya bila syariatullah disisihkan.


Kebahagian yang cuba dicari dengan jalan yang tidak diredhai menjadikan hidup tidak diberkati. Namun, apakah dengan sekadar kita menjaga syariatullah, sudah cukup untuk membawa kebahagiaan dalam berumah tangga? Di sinilah terletaknnya isi utama perbincangan yang cuba diketengahkan oleh beliau dalam topik perbincangan tersebut.


Dalam hal ini, menurut beliau ada di kalangan mereka yang kuat beragama juga turut dilanda badai dalam kehidupan berumah tangga hingga mengakibatkan penceraiaan. Mengapa terjadinya hal sedemikian rupa? Mungkin jawapannya inilah yang dinamakan ujian Allah. Sememangnya segala yang ada dalam kehidupan ini merupakan ujian Allah kerana kehidupan kita di dunia ini merupakan ujian dalam menentukan kehidupan kita di akhirat sana kelak.
Namun apakah ujian yang melanda itu cukup sebagai alasan tanpa ada muhasabah diri mencari punca silapnyan diri. Bukankah seorang hamba yang bertaqwa itu sering memuhasabah dirinya kepada Ilahi. Maka, akan tersingkaplah di sini hikamah di sebalik sunnatullah yang merupakan ketentuan Allah yang berlaku atas ikhtiar hambanya sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.


Inilah realiti yang ada kalanya berlaku dalam kehidupan rumah tangga mereka yang berpegang pada agama. Kefahamannya terhadap agama mungkin menyebabkan golongan ini tidak mengabaikan syariatullah, Namun mereka lupa aspek sunatullah juga penting dalam mencorakkan kebahagiaan . Memetik kata-kata beliau dalam buku tersebut “sebuah rumah tangga Bait Muslim itu, tetap merupakan perkahwinan antara seorang lelaki yang lelaki, serta perempuan yang perempuan. Antara lelaki dan perempuan, cara komunikasa, cara berfikir, cara bersikap, nyata amat berbeza, Maka sunnatullah jualah yang menjadi ketetapan Allah untuk keelokan hubungan antara lelaki dan perempuan.”


Mesej yang cuba beliau sampaikan di sini ialah sekiranya tiada komitmen tanggungjawab sebagai suammi dan isteri, sekalipun mereka merupakan golongan yang tidak mengabaikan hukum-hakam Allah, tiada jua mengecap kebahagiaan. Ini kerana, secara sunnatullahnya, sebuah keluarga yang bahagia memerlukan setiap pasangan masing-masing memberikan komitmen tanggungjawab antara satu sama lain.


Namun sebenarnya syariatullah dan sunnatullah merupakan dua perkara bertemu di bawah titik peraturan Allah. Dua perkara ini saling berkaitan antara satu sama lain. Hakikatnya seseorang yang benar-benar mematuhi syariatullah pastinya dia juga akan mematuhi sunnatullah. Contohnya dalam hal kejayaan. Telah kita sebutkan sebelum ini secara sunnatullahnya kejayaan milik orang yang berusaha. Kalau siapa nak jadi pandai dia mestilah rajin belajar, tidak cukup sekadar bertahajjud setiap malam menanti hadirnya kejayaan tanpa usaha. Kalau malas membaca dan mengulangkaji masakan akan beroleh kejayaan Inilah sunnatullah. Namun sekiranya orang ini memahami hakikat syariatullah bahawasanya belajar merupakan kewajipan sebagai seoarang umat Islam dan merupakan suatu ibadah, seharusnya dia juga akan rajin belajar. Sebagaimana dia percaya bahawamenurut syariatullah, sembahyang, puasa, zakat dan menunaikan haji itu suatu ibadah di sisi Allah, begitu jugalah sikap yang harus ditonjolkan dalam pembelajaran.


Maka sahabat-sahabat, seandainya kita meihat aspek syariatullah dan sunnatullah ini dari sudut pembelajaran sudah tentulah kita akan fahami bahawa untuk menjadi seoarang pelajar mukmin yang cemerlang, kita mestilah menyepadukan antara keduanya. Sifat mukmin sejati tidak akan terbentuk melainkan dengan ketaatan terhadap syariatullah. Manakala kecemerlangan dalam pelajaran pula memerlukan usaha yang tekun dalam menimba ilmu sebagai memenuhi tuntutan sunnatullah. Natijahnya lahirlah pelajar mukmin yang cemerlang.


Adakalanya mungkin terdapat pelajar yang bagus dalam ibadahnya seperti rajin solat sunat, rajin berpuasa, rajin membaca al-Quran dan rajin berdoa. Namun pelajar tersebut masih gagal lagi mencapai kecemerlangan dalam pelajarannya. Bukanlah bermakna di sini Allah tidak mengasihinya. Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang beriman dan bertaqwa pada-Nya. Namun di sini terlihat akan keadilan dan kasih sayang Allah itu dalam memberi hak kepada hamba-Nya . Andai ukuran kepada layaknya penerimaan rezeki seseorang itu daripada Allah dengan amal ibadah, nescaya akan ramailah manusia di dunia ini yang mati kebuluran. Seharusnya pelajar tersebut bertanyakan kepada dirinya sendiri p “apakah sudah cukup usaha aku dalam mengulang kaji pelajaran? Apakah ilmu itu akan datang bergolek di depanku selepas aku berdoa dan melakukan amal ibadah tanpa ada usaha membaca dan mengulangkaji?”


Bukanlah di sini saya mengatakan amal ibadah itu tidak bagus bahkan sangat bagus. Tetapi amal ibadah dan doa tersebut hendaklah disusuli dengan usaha. Mungkin adakalanya berlaku pula situasi yang mana ada pelajar yang cemerlang tetapi hubungannya dengan Allah gagal. Solat sekali sekala, puasa payah nak penuh apatah lagi nak bangun malam “berqiamullail”. Namun usahanya dalam pelajaran tidak dapat dinafikan lagi. Pagi petang siang malam menghadap buku. Mengulangkaji pelajaran hingga hamper terbit fajar. Seterusnya tidur hingga subuh pun sudah tidak dihiraukan dek kepenatan belajar samapi ke pagi.


Andainya orang begini cemerlang di dalam pelajarannya, mungkin di mata manusia dia cemerlang. Namun dia gagal di sisi Allah. Sebagaimana untuk dikatakan cemerlang di sisi manusia memerlukan piawaan tertentu yang perlu dilepasi, begitu jugalah piawaaian di sisi Allah. Orang begini mungkin berjaya memenuhi tuntutan sunnatullah atau hukum alam. Dia rajin belajar maka dia cemerlang. Namun harus kita sedari seandainya sunnatullah dipatuhi dengan membelakangkan syariatullah sesungguhnya amalan kita tidak akan dipandang oleh Allah SWT. Tetapi sekiranya sunnatullah dipenuhi berpaksikan syariatullah maka orang seperti inilah yang akan beroleh kecemerlangan dunia dan akhirat, Insyaallah.


Secara kesimpulannya, sahabat-sahabat marilah kita berusaha untuk mematuhi kedua-dua peraturan Allah ini demi mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Sesungguhnya persaingan kita dalam dunia serba canggih kini menuntut kita untuk melahirkan mukmin professional dalam usaha menandingi kaum kuffar. Julangkan Islam di mata dunia dengan usaha yang gigih. Sesungguhnya janji Allah itu pasti bahawasanya Islam pasti akan gemilang. Namun apakah kita tidak mahu menjadi sebahgaian daipada mereka yang tercatit namanya di sisi Allah sebagai orang yang berusaha untuk menggemilangkan agama Allah? Sesunngguhnya masa muda hanya datang sekali maka pergunakanlah peluang ini sebaik mungkin..

Saturday, June 20, 2009

Pengorbanan Seorang Ayah

Abah ketika berada di airport London

Telah sebulan lebih abah saya berada di perantauan. Buat pertama kalinya kami sekeluarga terpisah dengan abah yang jarak perpisahannya jauh hingga membatasi negara Malaysia. Abah kini berada di London kerana kursus. Kursus tersebut merupakan kursus untuk pengetua-pengetua sekolah KLUSTER. Baru-baru ini sekolah abah, SMKA Azlan Shah telah terpilih sebagai salah sebuah sekolah KLUSTER. Lantaran itu, abah yang merupakan pengetua sekolah tersebut terpaksa meninggalkan bumi Malaysia ini selama dua bulan.

Rindu rasanya hati ini untuk melihat senyuman abah yang sentiasa mendamaikan jiwa ini. Hari ini yang merupakan hari bapa sedunia menyebabkan kehangatan rinduku bertambah pada insan yang sentiasa berkorban buat diri ini. Rindu pada abah menyebabkan fikiranku sering melayang jauh menjelajah nostalgia silam jerih payah abah dan emak membesarkan saya dan adik beradik yang tidak sedikit bilangannya.

Bukan mudah untuk membesrkan anak-anak yang seramai 11 orang yang terdiri daripada 5 lelaki dan enam perempuan. Sudahlah ramai, kerenah pelbagai pulak tu. Masih jelas di ingatan saya kerenah kami adik beradik yang seringkali bergaduh sewaktu kecil khususnya 4 orang yang tertua. Saya merupakan anak keempat. Di atas saya ada dua orang abang, yang pertama dan kedua, serta seorang kakak. Abang saya yang kedua kembar dengan kakak saya.

Sewaktu kecil, ada sahaja perkara yang kami gaduhkan hingga adakalanya, bertumbuk berterajang serta bercakaran. Kalau dah bergaduh tu kami terpaksalah bersedia dengan hikmat sebatan abah yang akan hinggap di punggung ini. Biasanya sangkut bajulah yang akan hinggap di punggung kami. Selepas menangis kena sebatan abah, emak akan datang menenangkan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.

Abah seorang yang cukup tegas dalam mendidik anak-anaknya. Namun ketegasannya tidak pernah menjarakkan hubungan kami adik beradik dengan abah. Walaupun abah tegas kdalam mendidik kami khususnya perkara berkaitan soal agama seperti solat, namun abah sentiasa pandai mengambil hati kami. Abah tidak pernah memarahi kami tanpa kami mengetahui sebabnya. Bila abah marah abah mesti mahu anak-anaknya tahu sebab abah marah. "Abah marah ngkorang sebab abah sayangkan ngkorang". Inilah kata-kata yang sering abah ucapkan apabila kami dimarahi. Dengan ketagasan tersebutlah menjadikan hubungan adik beradik kami kini begitu erat. Ketegasan abah juga menjadikan kami anak-anak yang menghargai dan menyayangi diri abah dan ibu.

Kalau nak ceritakan pengorbanan abah dan emak memang takkan terdaya untuk diri ini menulis kesemuanya lantaran terlalu banyak pengorbanan yang telah mereka lakukan buat kami adik beradik. Antara pengorbanan abah yang cukup menyebabkan saya terharu ialah ketika abah menghidap demam denggi. Saya masih ingat lagi pagi itu, selapas sarapan abah muntah-muntah dan pening kepala. Abah kata memang sejak semalam lagi abah tak sihat. Hari itu juga merupakan hari jadi kakak saya. Lazimnya, abah dan emak akan sambut har jai kami adik beradik dengan majlis kesyukuran anta kami anak-beranak. Abah dan emak juga biasanya akan belikan kami hadiah hari jadi.

Pada hari itu, abah yang tidak sihat tetap menggagahkan dirinya untuk pergi keluar mencari kek hari jadi untuk kakak saya. Bayangkanlah abah yang ketika itu menghidap demam denggi berdarah sanggup bersusah payah keluar semata-mata nak menggembirakan hati anaknya walaupaun tuhan saja yang tahu penderitaan yang sedang dialaminya. Pada ketika itu kami sekeluarga termasuk abah sendiri tidak tahu yang dirinya sedang mengalami demam denggi berdarah.

Setibanya abah di rumah kami sekeluarga berkumpul bersama-sama untuk majlis kesyukuran. Abah membacakan doa selamat buat kakak saya. Selepas itu kakak saya memotong kek hari jadinya sambil diperhatikan kami semua. Pada ketika itu raut wajah abah kelihatan tersenyum. gembira. Kepuasan terpamer di wajah abah dan emak kerana berjaya menggembirakan hati anak-anaknya buat kesekian kalinya. Namun di sebalik senyuman abah terselindung keperitan menahan kesakitan akibat demam denggi.

Setelah selesai majlis kesyukuran kesihatan abah semakin teruk. Abah muntah lagi dengan banyaknya. Ketika itu abah kelihatan pucat dan badannya semakin lemah. Melihatkan penyakit abah yang tidak seperti biasa, kami semua bertambah risau. Maka, emak pun segera menemani abah ke klinik berhampiran. Setibanya abah dari klinik, emak memberitahu abah disyaki demam denggi berdarah dan perlu dibawa ke hospital.

Pada ketika itu hanya tuhan yang tahu perasaan ini. Kami adik beradik tidak mampu menahan linangan air mata. Kami semua menangis bila mengetahui abah disyaki demam denggi berdarah brdasarkan simptom-simptom yang terdapat pada abah. Tambahan pula kawasan kediaman kami sebelum ini pernah ada kes kematian akibat demam denggi. Ini menambahkan lagi kerisauan kami.

Setelah abah disahkan demam denggi berdarah, abah ditahan di wad hospital selama lebih kurang 11 hari. Pada ketika itu, emak menjadi peneman setia abah di hospital. Emak sentiasa memberi sokongan pada abah untuk berjuang. Kata emak pada abah "Abang, abang kene terus berjuang. Kalau abang takde siapa nak bantu Fa (nama panggilan yang abah gunakan terhadap emak) besarkan anak-anak kita". Emak memberitahu kami bahawa abah tak pernah lupakan kami semasa berada di hospital. Dalam perjuangan menanggung derita, abah sentiasa teringatkan anak-anaknya. Belum pun abah sembuh dari demam, abah telah meminta pertolongan rakan-rakannya untuk memindahkan kami dari tempat kediaman kami ketika itu ke tempat kediaman yang baru. Abah tak nak anak-anaknya ada yang terkena demam denggi sepertinya memandangkan tempat tersebut telah mempunyai rekod beberapa kes demam denggi.

Alhamdulillah, setelah 11 hari berjuang di wad, akhirnya abah disahkan sembuh dan boleh pulang semula. Kami menyambut berita kepulangan abah dengan gembira dan kesyukuran kepada Ilahi. Sesunnguhnya takdir Allah mengatasi segalanya. Akhirnya abah kembali sembuh. Senyuman abah berbunga kembali, mendamaikan jiwa seisi keluarga yang memandang.

Kisah ini kunukilkan untuk kita bersama-sama mengambil pengajaran. Hargailah kedua ibu bapa kita selagi masih ada di dunia ini. Sesungguhnya manusia sering leka dan terlupa. Apa yang berada di genggaman seringkali tidak dihiraukn sehingga ia hilang dari pandangan barulah datang penyesalan...

Terima kasih buat abah yang tidak pernah jemu mendidik kami. Begitu juga buat permaisuri hati abah, emak yang sentiasa berdiri teguh di belakang abah sebagai pembantu setia abah dalam membesarkan kami adik-beradik.

SALAM PERJUANGAN

Baru-baru ini result exam mahasiswa/i USIM telah pun diketahui oleh empunya diri masing2. Seperti biasa, adat dalam berjuang, adakala kita berjaya dan adakala kita mungkin tersungkur. Namun janganlah tersungkurnya kita terus rebah tanpa usaha untuk bangun semula.

Barangsiapa yang berjaya menggapai sasarannya jgnlah pula lupa melihat ke dataran hingga tersungkur dek terlanggarkan batu kegagalan. Bersyukurlah dengan nikmat kurniaan Allah. Sesungguhnya ilmu itu hak mutlak Allah SWT. Dia mampu memberi dan menariknya pada bila-bila masa.

Namun harus diingat bahawa secara sunnatullahnya, Allah akn memberikan kejayaan kepada hamba-Nya yang berusaha untuk mendapatkannya. Barangsiapa yang berusaha dia akan berjaya. Maka sama-samalah kita berusaha wahai sahabat-sahabatku demi mencapai kejayaan yang diredhai Allah.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat menghadapi exam buat sahabat-sahabat yang mengikuti "short sem". SALAM PERJUANGAN dariku...




SELAMATKAN PALESTIN


oleh Najib `Afif bin Arip


TANGGAL 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhan- nya.


Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah di- isytiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai 'nakba'.
Nakba bermaksud malapetaka atau ben- cana besar. Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800,000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar ne- gara, manakala 30,000 yang lain telah di- usir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.


Daripada 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 daripadanya serta terlibat dalam lebih 34 je- nayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.


Rejim Zionis telah bertindak di luar batas kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku sepanjang peristiwa Nakbah. Antara peristiwa yang paling tragis ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.

Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan Yahudi bermula apabila Britain melalui tiausaha Negara Hal Ehwal Luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2 November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanah airnya di Palestin. Pengisytiharan itu telah digelar sebagai Ominous Declaration (Pengisytiharan Celaka).


Isu Palestin menjadi isu antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.


Cadangan dasar jawatankuasa ini adalah pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitulmaqdis) diletakkan di bawah tanggung- jawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi boneka kepada Yahudi.


Penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin hingga kini masih belum berakhir. Rakyat Palestin telah mencuba pelbagai cara untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut. Antaranya ialah melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, semua cara itu menemui kegagalan dan rakyat Palestin memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad.


Dalam usaha untuk membebaskan negara sendiri daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas.


PengganasYahudi mendakwa bahawa mereka menjadi mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas sebenar adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah penduduk asal di bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa a.s lagi. Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke Palestin adalah sebagai imigran pada ke- tika itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi.


Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin untuk tempoh empat tahun sahaja sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636M - 1917M). Bangsa Yahudi juga suatu ketika dahulu ramai yang telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengannya terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M - kurun ke-20). Manakala penduduk asal Palestin pula tidak pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4500 tahun hinggalah kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun 1948. Namun mereka tidak pernah menyerah kalah malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin.


Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis. Ia adalah bumi suci di mana ramai para rasul Alaihissalam dilahirkan dan wafat di sana. Ia adalah medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah SWT dengan kewujudan Masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah SWT dan tanah suci ketiga setelah Mekah dan Madinah.


Rasulullah SAW bersabda, "Diutamakan (digandakan) solat di MasjidilHaram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitulmaqdis dengan lima ratus solat." (Riwayat at-Tabrani - martabat Hassan) Selain itu, Baitulmaqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan Baitulmaqdis sepanjang kehidupan Rasulullah SAW di Mekah sebelum hijrah dan juga selama 16 bulan pertama Rasulullah SAW di Madinah. Selepas itu Allah SWT mengarahkan agar kiblat bertukar arah ke Kaabah di Mekah. Baitulmaqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mik- raj. Firman Allah SWT:
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran kami." (al-Isra':1)


Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah SAW yang menggambarkan keistimewaan Baitulmaqdis di dalam Islam yang menunjukkan bahawa Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya. Ia juga menyebabkan para sahabat Rasulullah SAW sangat menyayangi bumi Palestin ini. Malah ketika Umar al-Khattab r.a menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah wakaf kepada generasi umat Islam akan datang.


Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitulmaqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufur berkurun lamanya. Kini, Baitulmaqdis kembali ke tangan kufur, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam?
Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitulmaqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidilaqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum Muslimin dari Timur sampai ke Barat. Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufur adalah perjuangan kita bersama.

Artikel ini pernah disiarkan di Utusan Malaysia yang bertarikh 15 Mei 2008