oleh Najib `Afif bin Arip
TANGGAL 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhan- nya.
Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah di- isytiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai 'nakba'.
Nakba bermaksud malapetaka atau ben- cana besar. Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800,000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar ne- gara, manakala 30,000 yang lain telah di- usir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.
Daripada 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 daripadanya serta terlibat dalam lebih 34 je- nayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Rejim Zionis telah bertindak di luar batas kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku sepanjang peristiwa Nakbah. Antara peristiwa yang paling tragis ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.
Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan Yahudi bermula apabila Britain melalui tiausaha Negara Hal Ehwal Luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2 November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanah airnya di Palestin. Pengisytiharan itu telah digelar sebagai Ominous Declaration (Pengisytiharan Celaka).
Isu Palestin menjadi isu antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.
Cadangan dasar jawatankuasa ini adalah pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitulmaqdis) diletakkan di bawah tanggung- jawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi boneka kepada Yahudi.
Penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin hingga kini masih belum berakhir. Rakyat Palestin telah mencuba pelbagai cara untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut. Antaranya ialah melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, semua cara itu menemui kegagalan dan rakyat Palestin memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad.
Dalam usaha untuk membebaskan negara sendiri daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas.
PengganasYahudi mendakwa bahawa mereka menjadi mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas sebenar adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah penduduk asal di bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa a.s lagi. Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke Palestin adalah sebagai imigran pada ke- tika itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi.
Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin untuk tempoh empat tahun sahaja sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636M - 1917M). Bangsa Yahudi juga suatu ketika dahulu ramai yang telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengannya terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M - kurun ke-20). Manakala penduduk asal Palestin pula tidak pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4500 tahun hinggalah kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun 1948. Namun mereka tidak pernah menyerah kalah malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin.
Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis. Ia adalah bumi suci di mana ramai para rasul Alaihissalam dilahirkan dan wafat di sana. Ia adalah medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah SWT dengan kewujudan Masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah SWT dan tanah suci ketiga setelah Mekah dan Madinah.
Rasulullah SAW bersabda, "Diutamakan (digandakan) solat di MasjidilHaram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitulmaqdis dengan lima ratus solat." (Riwayat at-Tabrani - martabat Hassan) Selain itu, Baitulmaqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan Baitulmaqdis sepanjang kehidupan Rasulullah SAW di Mekah sebelum hijrah dan juga selama 16 bulan pertama Rasulullah SAW di Madinah. Selepas itu Allah SWT mengarahkan agar kiblat bertukar arah ke Kaabah di Mekah. Baitulmaqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mik- raj. Firman Allah SWT:
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran kami." (al-Isra':1)
Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah SAW yang menggambarkan keistimewaan Baitulmaqdis di dalam Islam yang menunjukkan bahawa Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya. Ia juga menyebabkan para sahabat Rasulullah SAW sangat menyayangi bumi Palestin ini. Malah ketika Umar al-Khattab r.a menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah wakaf kepada generasi umat Islam akan datang.
Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitulmaqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufur berkurun lamanya. Kini, Baitulmaqdis kembali ke tangan kufur, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam?
Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitulmaqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidilaqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum Muslimin dari Timur sampai ke Barat. Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufur adalah perjuangan kita bersama.
Artikel ini pernah disiarkan di Utusan Malaysia yang bertarikh 15 Mei 2008
No comments:
Post a Comment