Baru-baru ini saya telah membeli buku yang dikarang oleh Ustaz Hasrizal Jamil yang bertajuk “Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai ke Syurga”. Saya belum menghabiskan lagi bacaan saya terhadap isi keseluruhan buku ini. Namun, mungkin saya boleh berkongsi sedikit dengan rakan-rakan berkenaan salah satu isi penulisan ustaz Hasrizal yang dimuatkan dalam buku tersebut.
“Syariatullah dan Sunatullah”. Itulah topik perbincangan yang menarik minat saya untuk dikongsikan bersama rakan-rakan.. Sebelum ini saya pernah mendengar ceramah beliau berkenaan topik tersebut di dalam kuliah beliau. Apabila saya membaca buku beliau dan menemukan topik tersebut menyebabkan ingatan saya menjelajah ke masa silam, mengingati kembali isi ceramah beliau yang pernah saya dengari.
Sememangnya beliau bijak dalam mengaitkan “Syariatullah dan Sunatullah” untuk kita melihatnya dari aspek realiti kehidupan. Tambahan pula kaedah penceritaan yang beliau bawakan melalui jalan cerita baik dalam penulisan mahupun ceramah memudahkan lagi kefahaman terhadap mesej yang cuba beliau sampaikan.
Di dalam buku tersebut, Ustaz Hasrizal membawa kita untuk melihat betapa peri pentingnya untuk kita memelihara kedua-dua peraturan Allah tersebut, Syariatullah dan Sunatullah. Apa syariatullah dan apa Sunatullah? Dan apa pula kaitan antara keduanya?
Syariatullah merupakan peraturan Allah yang terdiri daripada hukum yang lima iaitu wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Bagi seorang yang bertaqwa mereka akan menjagia hukam hakam ini. Namun harus kita ketahui bahawa hukum hakam ini adalah merupakan sebahagian daripada peraturan Allah kerana seperti yang telah disebutkan tadi, selain syariatullah, peraturan Allah yang lain ialah sunnatullah.
Sunnatullah adalah aspek yang besar dan penting yang terselindung di sebalik semua peristiwa sejarah. Sejarah bukan sekadar untuk mengetahui kisah lampau semata-mata, tetapi juga untuk melihat “enjin” di sebalik semua peristiwa yang berlaku. Enjin yang dimaksudkan di sini ialah sunnatullah. Dengan eri kata lain, Sunnatullah juga ialah peraturan alam. Contohnya sunnatullah bagi orang yang rajin berusaha ialah kejayaan.
Kembali kepada isi penulisan beliau, beliau membawa dua aspek ini, syariatullah dan sunnatullah untuk dilihat dalam dimensi kekeluargaan. Dalam kehidupan berumah tangga, tiadanya salah satu atau kedua-duanya mampu membawa kepada kemusnahan rumah tangga. Rumah tangga yang tidak memenuhi tuntutan sayariatullah, sudah tentunya akan jauh dari rahmat Allah. Masakan Allah akan menurunkan rahmatNya dalam sesebuah rumah tangga yang melanggar syariatullah seperti tidak menunaikan solat, tidak berpuasa dan sebagainya lagi yang melibatkan pelanggaran hukum Allah.
Ketahuilah bahawasanya hati dan perasaan itu milik Allah. Allahlah pemilik cinta di hati manusia. Kiranya dalam kehidupan berumah tangga, syariatullah tiada dijaga, maka akn tercabutlah rasa cinta kekeluargaan yang terpupuk dengan rahmat Ilahi. Mulalah ada yang tak kena antara pasangan suami isteri lantaran rasa cinta telah bertukar benci akibat dosa yang terus berdaki di hati.
Mungkin inilah jawapan kepada mengapa meningkatnya jumlah penceraiam yang berlaku pada masa kini. Sebelum berkahwin cinta bagai nak rak. Ke hulu ke hilir berdua-duaan macam belangkas. Bila melangkah ke alam perkahwinan, cinta yang dulunya mekar tiba-tiba menjadi hambar. Inilah natijahnya bila syariatullah disisihkan.
Kebahagian yang cuba dicari dengan jalan yang tidak diredhai menjadikan hidup tidak diberkati. Namun, apakah dengan sekadar kita menjaga syariatullah, sudah cukup untuk membawa kebahagiaan dalam berumah tangga? Di sinilah terletaknnya isi utama perbincangan yang cuba diketengahkan oleh beliau dalam topik perbincangan tersebut.
Dalam hal ini, menurut beliau ada di kalangan mereka yang kuat beragama juga turut dilanda badai dalam kehidupan berumah tangga hingga mengakibatkan penceraiaan. Mengapa terjadinya hal sedemikian rupa? Mungkin jawapannya inilah yang dinamakan ujian Allah. Sememangnya segala yang ada dalam kehidupan ini merupakan ujian Allah kerana kehidupan kita di dunia ini merupakan ujian dalam menentukan kehidupan kita di akhirat sana kelak.
Namun apakah ujian yang melanda itu cukup sebagai alasan tanpa ada muhasabah diri mencari punca silapnyan diri. Bukankah seorang hamba yang bertaqwa itu sering memuhasabah dirinya kepada Ilahi. Maka, akan tersingkaplah di sini hikamah di sebalik sunnatullah yang merupakan ketentuan Allah yang berlaku atas ikhtiar hambanya sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Inilah realiti yang ada kalanya berlaku dalam kehidupan rumah tangga mereka yang berpegang pada agama. Kefahamannya terhadap agama mungkin menyebabkan golongan ini tidak mengabaikan syariatullah, Namun mereka lupa aspek sunatullah juga penting dalam mencorakkan kebahagiaan . Memetik kata-kata beliau dalam buku tersebut “sebuah rumah tangga Bait Muslim itu, tetap merupakan perkahwinan antara seorang lelaki yang lelaki, serta perempuan yang perempuan. Antara lelaki dan perempuan, cara komunikasa, cara berfikir, cara bersikap, nyata amat berbeza, Maka sunnatullah jualah yang menjadi ketetapan Allah untuk keelokan hubungan antara lelaki dan perempuan.”
Mesej yang cuba beliau sampaikan di sini ialah sekiranya tiada komitmen tanggungjawab sebagai suammi dan isteri, sekalipun mereka merupakan golongan yang tidak mengabaikan hukum-hakam Allah, tiada jua mengecap kebahagiaan. Ini kerana, secara sunnatullahnya, sebuah keluarga yang bahagia memerlukan setiap pasangan masing-masing memberikan komitmen tanggungjawab antara satu sama lain.
Namun sebenarnya syariatullah dan sunnatullah merupakan dua perkara bertemu di bawah titik peraturan Allah. Dua perkara ini saling berkaitan antara satu sama lain. Hakikatnya seseorang yang benar-benar mematuhi syariatullah pastinya dia juga akan mematuhi sunnatullah. Contohnya dalam hal kejayaan. Telah kita sebutkan sebelum ini secara sunnatullahnya kejayaan milik orang yang berusaha. Kalau siapa nak jadi pandai dia mestilah rajin belajar, tidak cukup sekadar bertahajjud setiap malam menanti hadirnya kejayaan tanpa usaha. Kalau malas membaca dan mengulangkaji masakan akan beroleh kejayaan Inilah sunnatullah. Namun sekiranya orang ini memahami hakikat syariatullah bahawasanya belajar merupakan kewajipan sebagai seoarang umat Islam dan merupakan suatu ibadah, seharusnya dia juga akan rajin belajar. Sebagaimana dia percaya bahawamenurut syariatullah, sembahyang, puasa, zakat dan menunaikan haji itu suatu ibadah di sisi Allah, begitu jugalah sikap yang harus ditonjolkan dalam pembelajaran.
Maka sahabat-sahabat, seandainya kita meihat aspek syariatullah dan sunnatullah ini dari sudut pembelajaran sudah tentulah kita akan fahami bahawa untuk menjadi seoarang pelajar mukmin yang cemerlang, kita mestilah menyepadukan antara keduanya. Sifat mukmin sejati tidak akan terbentuk melainkan dengan ketaatan terhadap syariatullah. Manakala kecemerlangan dalam pelajaran pula memerlukan usaha yang tekun dalam menimba ilmu sebagai memenuhi tuntutan sunnatullah. Natijahnya lahirlah pelajar mukmin yang cemerlang.
Adakalanya mungkin terdapat pelajar yang bagus dalam ibadahnya seperti rajin solat sunat, rajin berpuasa, rajin membaca al-Quran dan rajin berdoa. Namun pelajar tersebut masih gagal lagi mencapai kecemerlangan dalam pelajarannya. Bukanlah bermakna di sini Allah tidak mengasihinya. Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang beriman dan bertaqwa pada-Nya. Namun di sini terlihat akan keadilan dan kasih sayang Allah itu dalam memberi hak kepada hamba-Nya . Andai ukuran kepada layaknya penerimaan rezeki seseorang itu daripada Allah dengan amal ibadah, nescaya akan ramailah manusia di dunia ini yang mati kebuluran. Seharusnya pelajar tersebut bertanyakan kepada dirinya sendiri p “apakah sudah cukup usaha aku dalam mengulang kaji pelajaran? Apakah ilmu itu akan datang bergolek di depanku selepas aku berdoa dan melakukan amal ibadah tanpa ada usaha membaca dan mengulangkaji?”
Bukanlah di sini saya mengatakan amal ibadah itu tidak bagus bahkan sangat bagus. Tetapi amal ibadah dan doa tersebut hendaklah disusuli dengan usaha. Mungkin adakalanya berlaku pula situasi yang mana ada pelajar yang cemerlang tetapi hubungannya dengan Allah gagal. Solat sekali sekala, puasa payah nak penuh apatah lagi nak bangun malam “berqiamullail”. Namun usahanya dalam pelajaran tidak dapat dinafikan lagi. Pagi petang siang malam menghadap buku. Mengulangkaji pelajaran hingga hamper terbit fajar. Seterusnya tidur hingga subuh pun sudah tidak dihiraukan dek kepenatan belajar samapi ke pagi.
Andainya orang begini cemerlang di dalam pelajarannya, mungkin di mata manusia dia cemerlang. Namun dia gagal di sisi Allah. Sebagaimana untuk dikatakan cemerlang di sisi manusia memerlukan piawaan tertentu yang perlu dilepasi, begitu jugalah piawaaian di sisi Allah. Orang begini mungkin berjaya memenuhi tuntutan sunnatullah atau hukum alam. Dia rajin belajar maka dia cemerlang. Namun harus kita sedari seandainya sunnatullah dipatuhi dengan membelakangkan syariatullah sesungguhnya amalan kita tidak akan dipandang oleh Allah SWT. Tetapi sekiranya sunnatullah dipenuhi berpaksikan syariatullah maka orang seperti inilah yang akan beroleh kecemerlangan dunia dan akhirat, Insyaallah.
Secara kesimpulannya, sahabat-sahabat marilah kita berusaha untuk mematuhi kedua-dua peraturan Allah ini demi mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Sesungguhnya persaingan kita dalam dunia serba canggih kini menuntut kita untuk melahirkan mukmin professional dalam usaha menandingi kaum kuffar. Julangkan Islam di mata dunia dengan usaha yang gigih. Sesungguhnya janji Allah itu pasti bahawasanya Islam pasti akan gemilang. Namun apakah kita tidak mahu menjadi sebahgaian daipada mereka yang tercatit namanya di sisi Allah sebagai orang yang berusaha untuk menggemilangkan agama Allah? Sesunngguhnya masa muda hanya datang sekali maka pergunakanlah peluang ini sebaik mungkin..
No comments:
Post a Comment