Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, November 3, 2010

Bersyukurkah Kita?

Oleh: Najib 'Afif bin Arip



Peluang menjadi sukarelawan di sebuah rumah anak yatim bebrapa tahun yang lalu memberi pengalaman yang sungguh bermakna buat diriku. Walaupun telah bertahun ia berlalu, namun kenangan di sana masih segar di ingatanku. Pengalaman ini telah memberi aku pengajaran akan erti sebuah kesyukuran.


Masihku ingat lagi bagaimana keceriaan anak-anak penghuni rumah anak yatim tersebut menyambut ketibaanku. Walaupun aku merupakan pendatang baru di rumah anak yatim tersebut, namun kemesraan yang ditonjolkan oleh mereka membuatkan aku rasa selesa dan tidak janggal berada di sana. Tidak sampai sehari aku berada di sana, aku sudah mampu bergurau senda dengan penghuni rumah anak yatim tersebut yang kesemuanya merupakan penghuni lelaki.


Sepanjang berada di sana, pelbagai kisah duka yang aku dengari dari penghuni rumah anak yatim tersebut yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah. Tidak semua mereka yang berada di situ kerana kehilangan orang tua, ada juga di antara mereka yang menjadi mangsa
penceraian yang berlaku antara ibu dan bapa. Namun, apa jua perbezaan cerita yang mereka bawakan padaku mendorong aku memikirkan sebuah persoalan. Dan persolan inilah yang ingin aku kongsikan bersama rakan-rakan dalam coretanku ini. Apakah kita benar-benar bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita?


Sahabat-sahabat, dalam kalangan kita mungkin ada yang hidup dalam limpahan kemewahan, punyai ibu dan bapa sebagai tempat penggantungan. Tetapi sahabat-sahabat, anak-anak yatim tersebut tidak berpeluang hidup dalam kemewahan. Mereka tiada ibu bapa yang sentiasa memberi curahan kasih sayang seperti yang diterima oleh anak-anak lain seusia mereka. Tatkala mereka melihat kebahagiaan insan lain yang punya ibu dan bapa, hati mereka meruntun kesedihan. Bukan kerana cemburu tapi kerana mereka turut dambakan kasih sayang dari ibu dan bapa sebagaimana rakan-rakan mereka yang lain perolehi.


Mungkin juga ada dalam kalangan kita yang pernah merasai hidup dalam kepayahan. Namun, bersabarlah saudaraku kerana ujian Allah SWT itu adalah tanda kasihNya pada dirimu. Allah ingin dirimu seperti layang-layang yang semakin kuat angin menderu, semakin tinggi ia melayang. Semoga ujian yang dikau lalui meninggikan lagi keimananmu kepada Allah SWT. Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

“Keadaan orang mukmin menakjubkan kerana segala keadaan yang dihadapinya menjadi baik baginya. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur dan itu adalah baik baginya. Sebaliknya jika dia menghadapi kesusahan dia bersabar dan itu adalah baik baginya”


Justeru sahabat-sahabatku, menyedari hakikat ini bersyukurlah kita atas nikmat iman dan islam yang telah Allah kurniakan kepada kita. Apakah yang dikatakan dengan kesyukuran itu? Apakah kesyukuran itu cukup sekadar melafazkan “Alhamdulillah”.? Sheikh Muhammad ‘Abduh mena’rifkan syukur sebagai berikut, “Dan tidak dikatakan bersyukur kecuali jika seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat-nikmat itu dalam hal-hal untuk apa nikmat itu diberikan”. Ini bermakna, tidak cukup bersyukur itu sekadar dengan lafaz ‘Alhamdulillah’. Syukur itu perlu dibuktikan juga melalui perbuatan.


Maka, bolehlah kita katakan bahawasanya kesyukuran yang hakiki itu ialah bilamana kita melakukan suruhan Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Sebagaimana
pengertian iman adalah membenarkan dengan hati, diucapkan dengan lisan, dan diamalkan dengan tindakan (perbuatan), maka begitulah juga perihalnya dengan syukur. Justeru,perbuatan kita itu sebenarnya menggambarkan sejauh manakah kesyukuran kita kepada Allah SWT. Dicatatkan dalam Shahih al Bukhari, dari Aisyah radliyallah 'anha, dia berkata: "Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berdiri shalat (malam) hingga kedua kaki beliau bengkak." Lalu Aisyah berkata kepada beliau, "Kenapa engkau lakukan ini, ya Rasulullah, bukankah Allah telah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang?" Lalu baginda menjawab:
أَفَلَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا
"Apakah tidak boleh aku suka menjadi hamba yang bersyukur." (HR. Bukhari)


Sahabat-sahabatkuku, ayuh kita contohi Rasulullah SAW yang tekun beribadah. Walaupun baginda tahu hakikat bahawa dosanya telah diampunkan oleh Allah SWT. namun ianya tidak pernah mengurangkan ketaatannya berbadah kepada Allah. Bagaimana pula kita yang penuh dengan dosa, entah diampunkan entah tidak tapi masih lagi berat untuk beribadah memohon keampunan dari Allah SWT?



Kesyukuran tidak sekadar memutikkan bunga kecintaan kepada Allah SWT bahkan ianya mampu menambahkan rezeki seseorang. Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Dan ingatlah, tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih".
"

Sheikh Zarruq menyatakan “mensyukuri nikmat menjamin tiga perkara: Yang pertama, terpelihara nikmat daripada hilang dan berubah keadaan, iaitu dengan berpindah dan bertambah nikmat. Yang kedua berkat nikmat pada kesudahan. Yang ketiga berhubung hamba dengan tuannya secara selamat tanpa kecacatan”. Justeru janganlah kita lupa untuk mensyukuri nikmat Allah SWT dengan melakukan perkara ketaatan dan meninggalkan laranganNya.


Suatu ketika aku pernah ditanya oleh seseorang,“menurut ayat al-Quran Allah akan menambahkan nikmat kepada orang yang bersyukur. Tapi kenapa ramai orang yang tidak berpegang pada ajaran Islam yang dilimpahkan dengan nikmat kekayaan”. Jawapannya adalah nikmat itu bukanlah suatu anugerah sebaliknya adalah istidraj. Istidraj ialah suatu kelebihan atau keunggulan yang diberikan Allah kepada para hamba-Nya yang bukan daripada golongan orang yang bertaqwa dan soleh, termasuk juga sebahagian hambaNya yang kafir dan menentang Islam.


Allah SWT sengaja memberikan mereka kelebihan tersebut. Kelebihan ini akan menjauhkan lagi mereka daripada Allah SWT yang akhirnya mereka akan diazab dengan siksaan yang dahsyat daripada Allah SWT. Jadikanlah lipatan sejarah kisah Firaun yang dilimpahi dengan nikmat akhirnya mati dalam kehinaan sebagai pengajaran. Inilah balasan bagi mereka yang pada hatinya penuh keegoan dari mentaati Allah
SWT. Mereka dibiarkan Allah SWT berada di puncak seketika agar jatuhnya mereka dengan satu jatuhan yang lebih menyiksakan. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 44:

فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُواْ بِمَا أُوتُواْ أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka gembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa



Ibnu Ata’illah berkata di dalam kitab al-Hikam, “hendaknya engkau berasa takut jika engkau selalu mendapat kurnia Allah, sedangkan engkau tetap dalam perbuatan maksiat kepadanya, Jangan sampai kurnia itu semata-mata istidraj oleh Allah”. Justeru hendaklah kita memuhasabah diri selalu, apakah diri kita berada dalam ketaatan kepada Allah atau sebaliknya? Apatah lagi jika limpahan nikmat terus dimiliki sedang diri jauh dari Ilahi, lebih-lebih lagilah harus ditakuti.

Ayuhlah kita mengambil kesempatan untuk menjadi orang yang sentiasa bersyukur selagi nyawa belum terpisah dari jasad. Janganlah kita menjadi orang yang kufur tehadap Allah SWT. Ingatlah janji Allah SWT bahawa azab Allah amat pedih terhadap mereka yang kufur. Sesungguhnya Allah SWT itu maha adil. Ambillah pengajaran dari kisah umat-umat yang terdahulu yang telah dimusnahkan oleh Allah SWT akibat kekufuran mereka dan keegoan mereka dari mentati Allah SWT. Janganlah sehingga azab Allah tiba, barulah kita tersedar dari kelenaan. Apakah tatkala itu kita sempat bertaubat keranan kematian itu tidakmenunggu masa dan ia boleh datang secara tiba-tiba? Ingatlah Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 7:

ولَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُون

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka


Justeru sahabat-sahabatku, marilah kita bersama-sama memuhasabah diri kita. Renungilah diri kita dengan mata hati yang disuluhi keimanan. Selalulah mengingati Allah dan memohon keampunan dariNya agar kita selalu tergolong dalam kalangan mereka yang bersyukur.

Friday, June 11, 2010

Bahagia Dalam Derita

Oleh: Najib 'Afif bin Arip
Penderitaan umat palestin ujian dari Allah SWT. Bersabarlah wahai saudar-saudaraku


Tatkala ujian datang menimpa, hati mula gundah gulana. Fikiran jadi tak menentu. Mulalah emosi datang menghantui. Sedih, duka, pilu dan kecewa besarang di jiwa. Namun dengan adanya iman di jiwa dan kredhaan dalam menerima ketentuan Ilahi maka sudah tentulah ujian dan tekanan dapat dihadapi dengan tabah dan diurus dengan baik .Ianya tidak menjadi sebab bagi insan tersebut menjadi orang yang semakin jauh dari Allah SWT. Bahkan tekanan itu menambahkan lagi keakrabannya dengan Allah SWT. Akhirnya melalui keakraban tersebut membawa ketenangan kepada jiwa walau diuji pelbagai dugaan.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya:
orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram

(ar-Ra’d:28)


Saad bin Abi Waqqash pernah mengungkapkan: “Aku pernah bertanya, “Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang paling berat cobaannya?” Beliau menjawab: “Para nabi, kemudian orang-orang shalih, kemudian yang sesudah mereka secara berurut menurut tingkat keshalih-annya. Seseorang akan diberi ujian sesuai dengan kadar agamanya. Bila ia kuat, akan ditambah cobaan baginya. Kalau ia lemah dalam agamanya, akan diringkankan cobaan baginya.

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini tidak dapat dipisahkan daripada ujian dan cabaran. Menghadapi onak dan duri adalah sebahagian daripada kehidupan. Tidakkah kita sedar bahawasanya ujian dari Allah SWT ini sebenarnya adalah bicara peringatan dari Allah SWT buat kita. Namun bahasa ini tidak mungkin kita fahami melainkan dengan keimanan kepada Allah SWT. Tatkala Allah SWT menguji kita dengan kepayahan dan keperitan sebenarnya Allah SWT sedang bebicara kepada kita perihal kesabaran. Melalui ujian Allah juga Allah mengingatkan kepada kita supaya sentiasa berdoa dan bergantung harap kepada-Nya. Ujian Allah SWT jua merupakan penentu sejauh mana keimanan kita kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ


Maksudnya:

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
(al-Ankabut:2)

Namun ujian Allah SWT bukanlah untuk Allah yang menegtahui tahap keimanan kita kerana Allah SWT telah pun sedia mengetahui sejauh mana keimanan kita kepada-Nya. Namun ianya berguna buat kita untuk kita mengetahui di mana tahap keimanan kita dan juga untuk meninggikan lagi darjat kita melalui ujian tersebut. Misalnya dalam kita menghadapi peperiksaan akademik. Sekiranya tiada peperiksaan, maka kita sendiri tidak menyedari di mana tahap pengetahuan kita dalam sesuatu subjek. Melalui keputusan peperiksaan, kita akan sedar di mana tahap kita. Sekiranya masih belum berjaya mencapai kecemerlangan, maka kita perlu pertingkatkan lagi pengetahuan kita. Sekiranya kita ingin berjaya dalam peperiksaan, sudah tentulah kita kena rajin berusaha. Begitu jugalah dalam menghadapi ujian Allah SWT. Sekiranya kita ingin berjaya, kita perlu berusaha mengukuhkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT.

Ujian Allah SWT merupakan tanda kasih sayang Allah SWT terhadap kita. Ibu dan bapa yang sayangkan anak mereka sudah tentu akan memberi si anak kecilnya memakan ubat apabila si anak itu sakit. Walaupun si anak tidak mahu makan kerana ubat tersebut pahit dan tidak sedap, ibu bapa tersebut tetap menyuapkan ubat tersebut secara paksa. Begitu jugalah Allah SWT yang mendatangkan ujian yang tidak selari dengan keinginan dan kemahuan kita kerana Allah SWT sayangkan kita, namun hakikatnya kasih sayang Allah SWT terhadap kita lebih besar berbanding kasih sayang ibu bapa terhadap kita. Walaupun terasa perit menerima ujian namun kepasrahan terhadap ujian tersebut mampu mengubati jiwa yang derita kerana kita mengetahui pasti ada hikmah kebaikan di sebalik ujian Allah SWT itu.

Firman Allah SWT:

وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya:

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, ALLAH maha mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
(al-Baqarah:216)

Ujian yang ditimpakan kepada manusia mengikut tahap kemampuan seseorang dalam menghadapi ujian tersebut. Semakin kuat keimanan kita kepada Allah SWT, maka makin hebatlah ujian Allah SWT yang datang melanda. Allah SWT tidak akan membebani kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita tanggungi. Firman Allah SWT:

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا

Maksudnya:

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya
(al-Baqarah:286)

Jika begitu halnya mengapa masih ada kes bunuh diri? Bukankah situasi ini menggambarkan ketidaksanggupan seseorang itu dalam menerima ujian? Sebenarnya ketidaksanggupan dalam menerima ujian tersebut bukanlah kerana ujian itu tetapi kerana empunya diri yang berputus asa dalam menghadapi ujian itu walhal uijan itu sebenarnya mampu ditanggung olehnya. Namun perlulah ada sikap redha terhadap musibah yang menimpa diri. Sekiranya kita redha dan sedar hakikat musibah itu sebenarnya ujian dari Allah SWT maka kita tidak akan berputus asa dari rahmat Allah SWT dan akan membawa kepada ketenangan jiwa. Orang yang tidak sanggup menghadapi ujian Allah SWT sebenarnya adalah kerana tiada sifat redha dalam dirinya terhadap dugaan tersebut.

Apabila musibah datang melanda, tempuhilah ia dengan sabar dan redha. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Namun, bukanla redha dan sabar itu bermaksud bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian. Nabi Muhammad SAW juga bersedih atas kematian anak baginda, tetapi baginda tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama melainkan perkara yang diredahi Allah SWT.. Contohilah para nabi dalam menempuh ujian Allah SWT. Musibah yang melanda sepatutnya meningkatkan lagi keimanan seseorang itu kepada Allah, bukan mengurangkan lagi keimanannya. Ibarat layang-layang, semakin kuat angin bertiup semakin tinggi terbangnya di udara. Ingatlah sabda Nabi SAW yang diriwayatkan Muslim, “Keadaan orang mukmin menakjubkan kerana segala keadaan yang dihadapinya menjadi baik baginya. Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur dan itu adalah baik baginya. Sebaliknya jika dia menghadapi kesusahan, dia bersabar dan itu adalah baik baginya.”


Justeru berbahagialah tatkala Allah menimpakan musibah kerana sebenarnya itu adalah tanda kasih Allah terhadap kita. Terimalah ujian tersebut dengan hati yang redha dan jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Mudah-mudahan kita mendapat pahala atas ujian yang menimpa diri.

Monday, June 7, 2010

Israel Niat Membunuh

Komando Israel bawa senarai misi bunuh aktivis Mavi Marmara

Komando Israel yang menyerang dan menawan kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza – Mavi Marmara, seminggu lalu, mempunyai senarai nama serta gambar sukarelawan yang hendak dibunuh, sekali gus menguatkan lagi bukti bahawa serangan itu sudah dirancang lebih awal.

Mendedahkan rancangan tentera Yahudi itu, Ketua delegasi sukarelawan Malaysia, Noorazman Mohd Samsuddin, berkata aktivis yang terbunuh dalam serangan pada subuh 31 Mei lalu itu meliputi mereka yang dikenal pasti dalam senarai berkenaan.
Beliau yang selamat pulang ke tanah air bersama 11 sukarelawan Malaysia semalam, berkata senarai itu dijumpai daripada seorang daripada komando Israel yang menaiki kapal terbabit.

“Dalam kekalutan itu, anak kapal sempat memeriksa dan merampas senjata daripada tiga tentera sebelum membuangnya ke laut. Kami juga menjumpai senarai dipercayai sasaran yang dicari tentera Israel,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Noorazman dan 11 sukarelawan Malaysia itu dibebaskan Israel Rabu lalu, dua hari selepas kapal yang dinaiki untuk menghantar bantuan ke Gaza diserang mereka menyebabkan sembilan sukarelawan pelbagai negara terbunuh.

Noorazman berkata, beliau menyedari akan berlaku pertempuran berdarah atas kapal Turki itu sebaik saja tiga komando Israel menaiki Mavi Marmara dengan membawa senarai berkenaan.

“Kami percaya Israel mahu mencari dan membunuh sasaran tertentu kerana ada sukarelawan hanya menjadi mangsa peluru getah walaupun pada mulanya pancaran laser dihalakan tepat ke dahi dan kami boleh ditembak mati jika mereka mahu.
“Syukurlah, tidak ada rakyat Malaysia dalam senarai tentera Israel itu, tetapi ada antara kami cedera ketika tentera Zionis menyerbu kapal,” katanya.

Noorazman berkata, rancangan tentera Israel itu perlu didedahkan kepada umum supaya masyarakat antarabangsa tidak terpengaruh dengan dakyah rejim bahawa peluru hidup digunakan sebagai pilihan terakhir.

Katanya, anak kapal dan penumpang pula bertindak nekad mempertahankan diri kerana menyedari serangan itu sebenarnya adalah misi untuk membunuh.

“Kami tekad merampas senjata sebelum mereka berpeluang menembak. Walaupun dihujani peluru dan senjata disasarkan tepat ke dahi, kami kuatkan semangat serta memberanikan diri bagi merampas senjata mereka. Kami juga mengibarkan bendera putih sebaik saja tembakan bermula,” katanya.

Noorazman berkata, semua sukarelawan terbabit menjalani latihan minda dan psikologi mengenai bahaya yang mungkin dihadapi, termasuk serangan tentera Israel dan bersedia untuk mati ketika misi itu.

“Mereka yang terkorban ialah saudara yang makan sepinggan selama lima hari dan kami tangisi kematian mereka tetapi pengorbanan itu tidak sia-sia,” katanya.

Dipetik dari Berita Harian Online

Tuesday, April 13, 2010

Di kesempatan ini saya mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi buat semua mahasiswa/wi USIM. Semoga usaha kita diberkati Allah SWT. Selamat berusaha.

Friday, April 2, 2010

Permulaan yang Baik Bukan Jaminan Kesudahan yang Baik



oleh: Najib 'Afif Arip


“Nak, nanti masuk “U” belajar rajin2 yek. Jangan malas belajar. Banyakkan Ibadah pada Allah” Dialog ini mungkin merupakan dialog biasa seorang ibu atau bapa kepada anaknya yang bakal melangkahkan kaki ke menara gading. Mungkin skripnya tidak sama tetapi mesejnya tetap sama. Ibu dan bapa manalah yang tidak mahu melihat anaknya menjadi orang yang cemerlang sahsiah dan akademik. Semua ibu bapa menginginkan anaknya beroleh kejayaan.


Pastinya kejayaan memasuki universiti merupakan suatu permulaan yang baik dalam aturan langkah menuju kea lam dewasa. Namun, harus diingat bahawasanya permulaan yang baik bukanlah suatu jaminan bagi akhiran yang baik. Adakalanya permulaan yang menggembirakan berakhir dengan akhiran yang mengecewakan dan mendukacitakan. Inilah realiti yang berlaku dalam dunia “kemahasiswaan”. Ketika mula menjejakkan kaki ke menara gading, semuanya datang dengan wajah yang gembira dan bersemangat. Semuanya menyimpan azam untuk menamatkan pengajian dengan jayanya. Maklumlah, semangat tengah berkobar-kobar ketika itu.

“Disangka panas hingga ke petang rupanya gerimis di tengah hari’. Permulaan yang penuh dengan semangat akhirnya sedikit demi sedikit gugur dalam perjalanan merentas waktu menuju ke penghujung jalan penamat dalam usaha menggapai impian. Ada yang ketika di sekolah atau di institut pengajian yang terdahulu mendapat keputusan yang cemerlang tetapi berakhirnya pembelajaran di university dengan “result” paras hidung. Ada juga yang tak sempat habis belajar dah kena buang universiti.

Di manakah silapnya? Diri sendiri, ibu bapa, pensyarah, rakan.atau universiti? Walau kepada siapa kita cuba mengalihkan jawapannya, hakikatnya tuan punya badan yang akan menanggung akibat daripada kegagalan tersebut.Maka mahu tiadak mahu diri sendirilah yang harus berusaha dan diri sendirilah yang harus bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan dicapai

.

Kita harus sedar, sebagai remaja kita merupakan tunggak harapan agama, bangsa dan Negara. Bukankah sejarah islam telah membuktikan bahawa betapa anak muda merupakan golongan yang penting dalam proses pembangunan tamadun Islam. Lihat saja contoh di zaman Rasulullah SAW yang mana perjuangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW didukung oleh golongan belia yang sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan Islam. Antara kisah popular tentang contoh pengoraban seorang anak muda berjiwa kental ialah Kisah SaidinaAli bin Abi Talib sewaktu peristiwa hijrah. Saidina Ali RA sanggup menggantikan Rasulullah SAW di tempat pembaringan baginda bagi mengelirukan pihak kuffar walaupun beliau tahu nyawanya bakal menjadi taruhan.

Selain itu, sejarah juga telah merakamkan sumbangan belia-belia dalam mencipta kegemilangan ilmu pengetahuan,keamanan, perpaduan dan reformasi atau islah. Lihatlah insan-insan seperti Muhammad Al-Qasim, pemuda yang telah menerangi tanah India dengan nur Islam di zaman khilafah Umawiyah, Imam Asy-Syafe`i menjadi ilmuan ulung ketikamudanya, bahkan telah pun menjadi mufti ketika usianya dalam belasan tahun. Muaz bin Jabal, komendar perang yang menawan Kota Andalus daripada Kristian dan banyak lagi belia-belia Islam yang telah mamahat kejayaan besar dalam lipatan sejarah manusia.

Sewajarnya anak muda masa kini menyedari bahawasanya jatuh bangun agama, tamadun serta identiti umat bergantun kepada potensi belia. Sejarah telah menunjukkan kepada kita dengan adanya sokongan dan pengorbanan dari anak muda, banyak berlaku peristiwa-peristiwa yang telah mengubah perjalanan masa depan dunia dan tamadun kemanusiaan. Itulah hasilnya jika golongan belia menggunakan potensi yang ada pada diri mereka ke arah positif.

Dalam menghasilkan golongan remaja yang produktif, Prof Dr Sidek Baba dalam karyanya yang bertajuk Wahai Remaja Kembaramu Bermula di Sini telah menggariskan bebrapa perkara utama yang perlu dilakukan oleh remaja. Antaranya, remaja harus membina satu tekad yang tinggi bahawa mereka dilahirkn ke dunia bukan untuk menjadi beban, sebaliknya untuk menyumbang. Mereka harus sedar bahawa tempoh ni adalah tempoh yang kritikal sama ada mereka akan menjadi manusia yang berguna atau sebaliknya. Tempoh ini remaja amat sensitif tentang pengaruh persekitaran. Remaja cenderung mencuba sesuatu yang baru dan popular serta sering terikut-ikut dengan resam keremajaan berasaskan ‘trial’ and ‘error’ atau buat dulu kemudian tahulah rasanya. Kecenderungan inilah yang akhirnya akan membawa remaja kepada permasalahan gejala sosial seperti merempit, hisap dadah dan sebagainya.

Selain itu, apabila sudah jelas visi dan misi hidup, aturkan program-program diri supaya arahnya jelas. Sebagai remaja, kesediaan untuk belajar, bertanya, mengetahui dan berkongsi seharusnya menjadi landasan untuk maju. Oleh yang demikian, sikap meninggi diri, ego, melulu, bodoh sombong atau cerdik tak boleh diajar harus dijauhkan dalam usaha mencari identity dan kekuatan diri. Remaja harus bersedia untuk ditegur, dinasihati dan dibimbing.

Seterusnya, apabila remaja memiliki ilmu dan kepakaran tentang sesuatu, lakukan sumbangan dengan amanah. Remaja harus sedar bahawasanya kepakaran dan ilmu yang mereka miliki harus dimanfaatkan ke arah pembangunan masyarakat. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak manfaatnya untuk manusia.” Dengan kesedaran ini, maka remaja akan berdaya saing dan berkejar-kejar dalam mengerjakan kebaikan dalam usaha menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dan negara.

Namun, tiadalah bermakna sekiranya kesedaran yang ada tidak disusuli dengan usaha. Oleh yang demikian, untuk mencapai kejayaan memerlukan kepada usaha dan pengorbanan. Allah SWT berfirman di dalam surah an-Najm ayat 39 yang bermaksud “tiadalah bagi manusia itu melainkan apa yang diusahakannya”. Maka janganlah persiakan peluang belajar yang kita miliki ini dengan sifat malas berusaha yang akhirnya akan memberi kesudahan yang buruk buat kita.

Friday, March 5, 2010

Prihatinkah Kita?

Oleh: Najib `Afif Arip
Wajah comel adik Syafiah Humairah

Baru-baru ini Malaysia telah dikejutkan dengan peristiwa kematian adik Syafiah Humaira Sahri yang berumur 3 tahun. Lebih tragis lagi apabila kematian tersebut adalah berpunca daripda penderaan yang telah dilakukan sekian lama. Lantaran itu, pihak polis telah menahan bebrapa individu yang rapat dengan suspek termasuk ibu syafiah. Menurut laporan media, polis percaya beberapa individu tertentu yang rapat dengan suspek tahu berkenaan penderaan berulang tersebut.

Hati insan siuman mana yang tidak sedih dan sebak melihat si kecil yang tidak brdosa ini diperlakukan seperti benda yang tidak bernyawa. Pendarahan pada kulit kepala dan otak serta serta kerosakan yang teruk pada buah pinggangnya diketahui menjadi punca kematianya setelah bedah siasat. Keadaan ini cukup untuk menggambarkan betapa peritnya penderitaan yang tepaksa dilalui oleh anak kecil ini.

Media melaporkan syafiah Humaira meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu pada senja khamis lalu. Syafiah dibawa oleh teman lelaki ibunya yang juga suspek kejadian ke hospital dan dittinggalkan di wad kecemasan. Turut dilaporkan beberapa saksi sebagai berkata kanak-kanak malang itu ditampar, dipijak pada perut dan disepak beberapa kali oleh suspek di padang bola di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, sebelum dia dibawa ke hospital.

Kejadian sadis ini membawa kita kepada persoalan sejauh mana keperihatinan masyarakat kita dalam soal kemanusiaan? Apakah telah hilang nilai kemanusiaan dalam diri kita hinggakan anak kecil yang baru mengenal dunia ini tidak dipedulikan penderitaannya sedangkan jiran tetangga sudahpun mendapat petanda awal berlakunya unsur-unsur penderaan pada anak kecil ini. Malangnya apabila petanda-petanda tersebut tidak dipedulikan hingga akhirnya membawa kepada kehilangan jiwa barulah masing-masing mula membuka pekung. Alangkah baik sekiranya pekung ini dibuka sedari awal.

Persoalan menjadi lebih rumit apabila memikirkan tentang si ibu. Apakah si ibu benar-banar prihatin terhadap anak jagaannya? Si ibu pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia pernah ternampak luka dan lebam di badan syafiah namun apabila ditanya syafiah memberitahu bahawa kesan tersebut akibat terjatuh ketika bermain. Ringkas sungguh pemikiran si ibu ini. Jika diteliti hasil bedah siasat terhadap Syafia Humairah Sahari di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), doktor menemui kesan luka dan lebam seluruh badan, selain kesan penderaan lampau. Memetik kata-kata Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Bakhtiar Rashid, hasil bedah siasat mendapati kesan kecederaan lama akibat penderaan lampau, termasuk yang dikesan beberapa hari sebelum kematiannya menunjukkan mangsa didera secara berterusan.Kecederaan luaran yang baru dan lama itu dipercayai disebabkan pukulan dengan benda keras dan kesan hentakan kuat. Bahagian belakang tubuh mangsa juga ada kesan lebam selain leher, pipi dan bahunya

Tidakkah kenyataan-kenyatan yang disebutkan sebentar tadi menggambarkan keadaan kecederaan fizikal syafiah serius dan tidak sedikit? Bahkan kesan-kesan penderaan tersebut merupakan kesan lampau termasuk kesan baru yang menurut kata Bakhtiar berlakunya penderaan yang berterusan terhadap Syafiah. Namun mengapa kesan-kesan penderaan ini hanya terbongkar setelah jenazah syafiah yang tiba di hospital? Tidak adakah sebarang usaha yang telah dilakukan oleh si ibu untuk menghantar anaknya ke mana-mana pusat perubatan bagi merawat anaknya sebelum ini atau pun si ibu tidak perasan kesan-kesan di seluruh badan yang terdapat pada tubuh badan anaknya? Sesungguhnya Allah SWT yang lebih mengetahui jawapan kepada persoalan-persoalan ini.

Namun kes syafiah ini harus dijadikan iktibar. Dalam kehidupan bermasyarakat, apatah lagi sebagai seorang muslim seharusnya sifat mengambil peduli perlu ada dalam diri kita. Pepatah melayu yang mengatakan "jangan jaga tepi kain orang" harus diberi pentafsiran yang tepat, selari dengan syariat islam itu sendiri. Sememangnya Islam merupakan agama yang menghoramati hak peribadi individu hinggakan persoalan berkenaan masa larangan anak-anak untuk masuk ke dalam kamar ibu bapa turut dijelaskan di dalam al-Quran. Namun ini tidak bermakna seseorang individu itu boleh melakukan sebarang perkara yang dikehendakinya tanpa sebarang cegahan. Hal ini telah diperkukuhkan lagi berdasarkan firman Allah SWT:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُواْ يَعْتَدُونَ كَانُواْ لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُواْ يَفْعَلُونَ

yang bermaksud:

Telah dilaknat orang-orang kafir dari bumi Israil dengan lisan Daud dan Isa Putra Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka, satu dengan yang lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sessungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat.


Dewasa kini perpaduan dalam kalangan umat Islam kian terhakis baik dalam negara mahu pun luar. Budaya "aku aku, ngko ngko" kian menular dalam masyarakat. Adakalanya jiran sebelah rumah pun sukar untuk bertegur sapa apatah bertanya khabar. Inilah reaksi kepada hakisan iman yang kian meruncing dalam jiwa ummah ini. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya "Tidak sempurna iman seseorang kamu selagimana dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri." Sebagaimana kita mengambil berat dengan diri sendiri begitu jugalah kita seharusnya mengambil berat jua terhadap masyarakat di sekeliling kita.

Hakisan rasa kasih dan sayang sesama manusia yang kian ketara ini adalah berpunca daripada badai nafsu yang melanda manusia. Umat Islam kini kian leka. Al-Quran dan Sunnah tidak lagi menjadi pegangan. Sebaliknya material dan hiburan lebih diutamakan. Belajarlah kita daripada kisah-kisah umat terdahulu yang telah dibinasakan Allah SWT. Kebinasaan mereka adalah berpunca daripada keingkaran mereka dalam mematuhi suruhan Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Yang bermaksud:

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya (al-A'raf:96)



Program Khidmat Bakti Kampung Labu Hilir












27 Februari 2010- Kelab Pendidik, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dan Student Law Club (SLC), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) bersama Persatuan Wanita Labu dan JKKK Kampung Labu Hilir telah menganjurkan Program Khidmat Bakti di Kampung Labu Hilir. Program tersebut disertai oleh seramai lebih kurang 70 orang Mahasiswa yang terdiri daripada Kelab Pendidik dan SLC, beberapa orang pensyarah FPBU dan FSU serta warga Kampunng Labu Hilir. Program ini bermula seawal pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 5.30 petang

Objektif penganjuran program ini adalah bagi melahirkan mahasiswa yang mempunyai daya aktivisme yang tinggi serta peka terhadap masyarakat sekeliling. Ini bagi melahirkan golongan manusia yang mampu memberi manfaat kepada manusia di sekelilingnya. Seharusnya tidak wajar bagi seseorang yang mempunyai ilmu namun tidak mampu memberi manfaat kepada manusia lain dengan kelebihan yang telah dikurniakan kepadanya. Selain itu program ini juga dilihat mampu mengeratkan ukhwah antara dua pihak iaitu universiti dan masyarakat luar.Diharapkan melalui ukhwah yang telah terjalin ini mampu membuka ruang kerjasama yang lebih luas di masa hadapan dalam usaha membangunkan tamadun ummah.

Program tersebut secara umumnya telah dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama bermula dari pagi hingga pukul 2.30 petang. Pada sesi ini pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya gotong royong, sukaneka, dan pertandingan mewarna bagi anak-anak penduduk kampung. Pada sesi kedua yang bermula pada pukul 2.45 petang merupakan majlis perasmian penutupan program tersebut. majlis penutupan program tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hasim Rusdi ADUN labu yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Sembilan. Dalam ucapannya beliau melahirkan rasa kegembiraan atas kesudian pihak USIM untuk hadir ke kampung tersebut serta mengharapkan kerjasama yang berterusan dengan pihak USIM di masa hadapan.

Program tersebut diakhiri dengan majlis pemberian sumbangan kepada keluarga yang telah terpilih. Melalui sumbangan ini diharapkan sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan keluarga-keluarga tersebut. Sebelum pulang, para mahasiswa telah bergambar kenangan bersama Datuk Hasim.

"Jawatan Bukan Sebuah Keistimewaan Tetapi Sebuah Amanah"

Barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Islam Malaysia
Sesi 2009/2010

YANG DIPERTUA
Muhammad Hilmi Juhari (FEM)

NAIB YANG DIPERTUA 1
Abdullah Long (FSU)

NAIB YANG DIPERTUA 2
Nur Akalili Zubair (FEM)

SETIAUSAHA AGUNG
Mohd Hazimin Harun (FSU)

TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG
Sumaiyah Al Muniroh bt Mohd Fuad (FST)

BENDAHARI
Muhamad Tobrani bin Muhamad Yusof (FEM)


EXCO KEBAJIKAN DAN KHIDMAT KOMUNITI
Mohd Fakhruddin bin Adnan (FPBU)
Nur Zeta binti Mohd Zahari (FPBU)
Muhammad Rahimie bin Mustapa (FPSK)

EXCO PEMBANGUNAN SAHSIAH DAN KEROHANIAN
Mohamad Sahril bin A. Rahim (FPQS)
Nurul Mu’azzah Roalli (FEM)

EXCO AKADEMIK DAN INTELEKTUAL
Najib ‘Afif bin Arip (FPBU)
Siti Fatihah binti Khotil (FST)

EXCO EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN
Mohd Rafizi b. Roslan (FEM)
Mohamad Yusof bin Mahmod (FPQS)
Zaki Yamani Rosdi (FSU)

EXCO PERHUBUNGAN KORPORAT DAN PENGANTARABANGSAAN
Khairul Arafat bin Wahit (FPQS)
Abdul Baari Abd Rani (FSU)

EXCO SUKAN DAN KESENIAN
Mohd Nor Azly bin Mohd Jafry (FST)
Mohd Shah bin Che Ahmad (FKP)

EXCO PENERANGAN DAN MULTIMEDIA
Mohd Hanif Hazahari (FKP)
Syifak Mawaddah binti Abdul Jamil (FPg)

EXCO PERWAKILAN KHAS PANDAN INDAH
Sulaiman Taib (FPg)
Nuurain Amirah bt Mohd Razi (FPSK)







Thursday, February 25, 2010

Cintakah Kita kepada Nabi Muhammad SAW?

oleh: Najib `Afif b. Arip

12 Rabiulawal merupakan tarikh yang amat penting bagi umat Islam keseluruhannya yang mana telah lahir seorang kekasih Allah, pembawa rahmat ke seluruh alam. Itulah baginda Nabi Muhammad SAW. Tarikh keramat ini turut dikenali sebagai hari maulidurrasul. Menjadi kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia merayakan sambutan maulidurrasul saban tahun. Banyak acara yang akan diatur ketika sambutan tersebut. Antara upacara yang tidak asing lagi bagi umat Islam di Malaysia dalam meraikan sambutan tersebut adalah perarakan beramai-ramai sambil berselawat ke atas nabi Muhammad SAW. Semua ini dilakukan sebagai tanda kecintaan ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Persoalannya, apakah cukup untuk kita membuktikan kecintaan kita kepada baginda dengan sekadar menyambut perayaan Maulidurrasul?

Sabda Rasulullah SAW:

لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من ولده ووالده والناس أجمعين

Ertinya:

Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, orang tuanya dan manusia seluruhnya.

Sahabat-sahabat, apakah telah ada di hati kita perasaan cinta ini kepada baginda Nabi SAW?Cinta yang mengatasi cinta manusia seluruhnya? dan sekiranya kita mengaku kita cintakan Rasulullah SAW apakah sudah kita membuktikannya melalui amal dan perbuatan kita?

Sesungguhnya belumlah lagi dinamakan cinta sekiranya kita tidak menterjemahkan lafaz cinta itu melalui amal dan perbuatan kita. Cinta itu hanya akan terbukti dengan adanya pengorbanan. Pengorbanan melawan nafsu demi memenuhi tuntutan Islam dan meninggalkan larangannya selari dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Maka bukanlah kesungguhan kitadalam meraikan sambutan maulidurrasul itu yang menjadi ukuran kecintaan kita kepada baginda Nabi SAW. Apalah ertinya jika maulidurrasul dirai tetapi syariat diketepi. Namun apa yang utama ialah sejauh mana kita meneladani keperibadian yang ditonjolkan oleh baginda Nabi SAW dalam kehidupan kita.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرا

ُErtinya:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak.(al-ahzab:21)

Akhlak yang dibawa oleh Rasulullah SAW berjaya melembutkan hati manusia yang keras, menundukan sikap yang kasar, menimbulkan simpati orang ramai dan banyak lagi kesan positif yang terhasil dari tarikan akhlak nabi SAW. Ianya laksana besi baja yang mampu menarik jarum yang berserakan di sekitarnya.

Sememangnya antara tugas utama baginda Nabi SAW ialah mebina akhlak manusia. Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan " Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia". Maka bagi tujuan ini, langkah awal yang diambil oleh baginda ialah dengan menanamkan tauhid ke dalam jiwa manusia.Tauhid yang kukuh di jiwa insan ibarat sebuah pohon yang tegak berdiri dan sedap dipandang mata. Daunnya yang rendang dapat memberi teduhan tatkala matahari terik memancar. Padanya juga terdapat buah yang boleh dinikmati kelazatannya. Ianya berdiri tegap dan mantap serta tidak tergoncang apabila ditiup angin dek kerana akarnya yang tertancap menghunjam ke bumi.

Begitulah perumpamaan insan yang memiliki tauhid yang mantap. Manfaatnya bukan sahaja untuk dirinya bahkan orang lain juga turut mampu merasai manfaatnya. Sesungguhny tauhid merupakan asas dalam keimanan. Mana mungkin keimanan yang jitu mampu dilahirkan tanpa tauhid yang kukuh. Lihat saja pengertian iman itu sendiri ialah membenarkan dengan hati, mengaku dengan lisan dan membuktikannya dengan perbuatan. Semua ini memerlukan keyakinan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT yang mana kepercayaan dan keyakinan ini menjadi tunjang dalam pembinaan tauhid atau akidah.

Sebagai umat nabi Muhamad SAW, meskipun telah berkurun-kurun lamanya masa memisahkan kita dari zaman kehidupan baginda SAW, namun seharusnya Rasullah SAW terus hidup di hati kita. Kecintaan nabi Muhammad SAW terhadap umatnya begitu terserlah melalui kisah baginda dengan penduduk Thoif. Pertolongan yang diharapkan daripada penduduk Thoif bertukar sebaliknya. Rasulullah dihina dan dibaling dengan batu sehingga baginda cedera. Maka datanglah Malaikat Jibrail kepada baginda dengan arahan Allah SWT untuk membinasakan penduduk Thoif. Namun baginda masih lagi mahu memohon kepada Allah agar tidak dibinasakan penduduk Thoif bahkan memohon kepada Allah agar mereka diberikan petunjuk.

Renungkanlah betapa besarnya cinta baginda kepada umatnya hatta hingga ke saat akhir kehidupan baginda, sebelum ajal datang menjemput, baginda masih memikirkan tentang umatnya. Maka seharusnya kita membalas kecintaan baginda kepada kita dengan segenap upaya yang ada dan menjadikan baginda sebagai suri teladan dalam kehidupan kita. Persoalannya apakah cinta baginda terhadap kita terbalas? Apakah sudah kita menjadikan baginda sebagai suri teladan dalam kehidupan kita? Jawapannya ada pada hati kita. Fikir-fikirkanlah. Wallaua'lam