Kini kita telah pun
berada dalam penghulu segala bulan, iaitu bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan
merupakan bulan yang sangat-sangat dinantikan oleh orang yang soleh. Penantian Ramadhan oleh baginda Nabi SAW jelas terpamer melalui doa baginda yang bermaksud:
“Ya Allah berikanlah
berkah kepada kami dalam bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami pada
bulan Ramadhan”
Bulan Ramadhan
merupakan musim pesta ibadah. Ini adalah musim di mana rahmat Allah
mencurah-curah padanya. Kelebihan Ramadhan tergambar melalui hadis dari baginda
Nabi SAW yang baginda sabdakan saban kali tibanya Ramadhan. Sabda baginda,
“Telah datang kepadamu
Ramadhan, bulan penuh berkah dan Allah telah mewajibkan atas kalian untuk
berpuasa, pintu syurga akan dibuka selebar-lebar, dan pintu neraka akan
ditutup, para syaitan akan dibelenggu, ada sebuah malam yang lebih utama
dibandingkan seribu bulan, barangsiapa yang diharamkan dari (pahala) Ramadhan,
maka ia diharamkan (dari pahala kebaikan lainnya”
Menyedari kelebihan Ramadhan,
maka akan bergembiralah orang yang beriman untuk menyambut ketibaannya,
sedangkan orang yang kotor jiwanya akan
merasa gundah. Bagi mereka ini adalah bulan penyeksaan diri, terpaksa berlapar
dan dahaga. Golongan seperti ini ada juga yang turut mampu berpuasa selama
sebulan. Namun puasa mereka tidak lebih dari sekadar menahan lapar dan dahaga
tanpa mampu meraih kelebihannya. Amat rugilah mereka yang tidak dapat
menghayati kelebihan yang terkandung dalam Ramadhan.
Selain anugerah ibadah
puasa yang terkandung di dalam Ramadhan, Allah juga menganugerahkan malam
lailatul Qadr yang mana pada malam tersebut merupakan malam yang lebih baik
dari seribu bulan. Ibadah yang dilakukan pada malam tersebut akan berganda
ganjarannya bagaikan ganjaran amal ibadah yang dilakukan sekian lama, melebihi
seribu bulan. Namun lailatul Qadr ini bukan semua yang mampu memilikinya, hanya
mereka terpilih sahaja iaitu orang-orang yang akrab dengan Allah. Istimewanya
bulan Ramadhan juga dapat dilihat dengan adanya ibadah Solat Sunat Tarawikh.
Ibadah ini merupakan ibadah yang khusus untuk bulan Ramadhan yang tidak
terdapat pada bulan-bulan yang lain
Ibadah Puasa di
bulan Ramadhan
Berpuasa di bulan Ramadhan
termasuk dalam rukun Islam. Ini bermakna ibadah puasa termasuk dalam ibadah
pokok yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Kewajiban berpuasa telah
termaktub dalam al-Quran melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى
الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Yang bermaksud:
“Wahai sekalian orang
yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah
diwajibkan atas umat-umat yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”
(al-Baqarah:183)
Ayat di atas yang
diakhiri dengan maksud “mudah-mudahan kamu bertaqwa” memberi penjelasan kepada
kita bahawa ibadah puasa mampu menjadikan seseorang itu bertaqwa dan inilah tujuan
sebenar ibadah puasa. Namun tidak semua orang mampu menjadi oaring yang
bertaqwa dengan berpuasa. Justeru, puasa bagaimanakah yang mampu melahirkan
insan bertaqwa?
Nabi SAW pernah
bersabda:
ليس
الصيام من الطعام والشراب إنما الصيام من اللغو والرفث
Maksudnya:
“Bukanlah puasa itu
sekadar meninggalkan makan dan minum, namun puasa itu adalah menahan dari
perbuatan keji dan sia-sia”
(HR: Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)
Berdasarkan sabda nabi
SAW tersebut, dapat kita fahami bahawasanya puasa yang hakiki itu ialah puasa
yang turut meninggalkan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa dan juga perkara
yang tidak berfaedah. Maka sudah pastilah puasa yang sebeginilah yang akan
mampu melahirkan sifat ketaqwaan dalam diri manusia. Namun realitinya masih
ramai manusia yang terus bergelumang dengan dosa dan perkara yang tidak berfaedah
meskipun di bulan Ramadhan. Amat menyedihkan bilamana ada dalam kalangan umat
Islam yang tidak terkesan untuk melakukan perubahan di bulan mulia ini bahkan
perbuatan dosa yang dilakukan sebelum Ramadhan tetap diteruskan di bulan yang
mulia ini.
Betapa ruginya kita
jika bulan ini yang Allah permudahkan penambahan pahala dan penghapusan dosa
tidak kita gunakan sebaik mungkin untk menambah pahala dan menghapus dosa. Nabi
SAW pernah bersabda:
رغم أنف رجل دخل عليه رمضان ثم انسلخ قبل
أن يغفر له
Yang maksudnya:
“Betapa hina seseorang
jika Ramadhan datang, kemudian pergi sedangkan ia belum diberi ampunan”
(HR: at-Tirmidzi)
Amaran keras dari
baginda Nabi SAW ini harus kita ingati. Kita harus bermuhasabah mengenang diri
sama ada sudah bertaubatkah kita atau belum? Keampunan dari Allah harus kita
usahakan agar bila berlalu Ramadhan kelak kita menjadi orang yang lebih baik
dari sebelumnya. Seharusnya kita khuatir jika di bulan yang Allah bukakan
rahmatNYA dengan luas kita tidak mampu untuk meraih keampunan apatah bila kita
berada di bulan yang lain.
Sesungguhnya Allah
menyediakan ganjaran yang sangat besar terhadap mereka yang berpuasa dengan
sebenar-benar puasa. Dalam sebuah hadis dari abu hurairah, Rasulullah SAW
bersabda:
من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما
تقدم من ذنبه
Yang maksudnya:
“Barangsiapa yang
berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan
Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu”
(Muttafaq
Alaih)
\
Alangkah beruntungnya
kita jika diampunkan segala dosa-dosa kita yang lalu. Namun untuk meraihnya
memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dari diri kita. Puasa yang dilakukan
bukan sekadar puasa yang menahan lapar dan dahaga serta perkara yang boleh membatalkan
puasa, tetapi lebih dari itu kita juga turut menahan diri dari melakukan
perbuatan dosa.
Malam yang Lebih
Baik dari Seribu Bulan
Allah SWT memuliakan
Ramadhan dengan menganugerahkan Lailatul Qadr padanya. Lailatul al-Qadr merupakan
malam yang amat berkat. Lailatul Qadr menjadi buruan yang sangat diimpikan oleh
para solehin. Perihal kelebihan Lailatul Qadr telah dinyatakan oleh Allah SWT
melalu surah al-Qadr:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١) وَمَا
أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (٢) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ
شَهْرٍ (٣) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن
كُلِّ أَمْرٍ (٤ )سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (٥)
Maksudnya:
“Kami telah menurunkan
Quran pada suatu malam yang mulia. Tahukah kamu apakah malam yang mulia itu?
Malam itu adalah lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu,
malaikat-malaikat dan Jibrail turun ke bumi dengan izin Allah bagi mengatur
segala urusa. Malam itu penuh dengan kesejahteraan, sehingga terbit fajar.”
Al-Quran menegaskan
satu malam ketika lailatul Qadr lebih baik dari seribu bulan atau jika dikira
secara tahun tempohnya dalam lebih kurang 83 tahun 4 bulan. Ini bermakna ibadah
atau amalan kebaikan yang dilakukan pada malam tersebut akan memperolehi
ganjaran berganda yang banyaknya sehingga melebihi amalan atau ibadah yang
dilakukan melebihi 83 tahun 4 bulan.
Bayangkanlah betapa
hebatnya tawaran yang Allah berikan buat hamba-hambaNYA. Tempoh 83 tahun adalah
suatu tempoh usia yang tidak ramai umat Nabi Muhammad SAW melepasinya. Namun
demikian, dengan rahmat Allah, dihadiahkan kepada kita lailatul Qadr sebagai
jalan alternative untuk kita memperoleh ganjaran amalan untuk tempoh lebih 83
tahun meskipun jika usia kita tidak mencecah hingga ke tempoh selama itu.
Dengan tawaran sehebat ini dari Allah SWT untuk satu lailatul Qadr,
bayangkanlah betapa banyaknya ganjaran yang kita perolehi andainya dalam usia
kehidupan kita, kita berjaya memperolehi kelebihan Lailatul Qadr lebih dari
sekali apatah lagi jika berkali-kali.
Justeru kita harus
menanam azam untuk berjaya meraih kelebihan lailatul Qadr. Maka untuk
meraihnya, timbul persoalan bilakah berlaku malam yang mulia tersebut? Pelbagai
pandangan ulama’ berkenaan hari berlakunya lailatu Qadr dalam bulan Ramadhan.
Namun, antara pandangan yang kuat ialah berlakunya Lailatul Qadr antara
malam-malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan.
Hakikatnya Lailatul
Qadr itu hanya Allah SWT yang maha mengetahui masa berlakunya. Menyedari
hakikat ini, andai kita tidak mahu terlepas menikmati kelebihan malam tersebut
maka berusahalah untuk memenuhi malam-malam ramadhan dengan amal ibadah.
Sesungguhnya kerahsiaan Lailatul Qadr itu merupakan suatu hikmah. Ianya mampu
mendorong manusia untuk sentiasa menghidupkan setiap malam di bulan Ramadhan
dengan amal ibadah.